Pengasuhan Positif

Mencegah VTE Semasa Mengandung

Tromboembolisme vena (venous thromboembolism, VTE) berlaku apabila darah beku terbentuk dalam salur darah vena, lalu menghalang aliran darah di bahagian tersebut. Sesiapa sahaja boleh mengalami VTE, tetapi sesetengah orang lebih berisiko termasuklah wanita mengandung.

Menurut Jabatan Statistik, embolisme obstetrik, termasuk VTE, merupakan penyebab utama bagi kematian ibu mengandung di Malaysia. Antara 1 dalam 500 dan 1 dalam 2000 kehamilan terjejas oleh VTE, lebih-lebih lagi semasa tempoh enam minggu selepas kelahiran (postnatal).

Peratus kematian ibu mengandung di Malaysia akibat embolisme obstetrik:

2016: 23%

2017: 26%

Jenis VTE

  1. Trombosis vena dalam (deep vein thrombosis, DVT) ialah darah beku yang terbentuk di vena dalam, biasanya di kaki atau pelvis, tetapi juga boleh berlaku di lengan. Gejalanya termasuklah bengkak, sakit, rasa panas dan kemerahan pada kulit, tetapi 50% kes DVT tidak menunjukkan gejala. DVT berlaku tiga kali ganda lebih kerap berbanding embolisme pulmonari semasa mengandung.
  2. Embolisme pulmonari (pulmonary embolism, PE) berlaku apabila darah beku DVT pecah dan bergerak ke peparu. Ini boleh membawa maut dan menyebabkan kesukaran bernafas, sakit dada, degupan jantung yang cepat atau tidak teratur, batuk darah, pening atau pengsan.

Kehamilan meningkatkan risiko VTE sebanyak empat atau lima kali ganda akibat kecenderungan penggumpalan darah yang tinggi (hypercoagulability) dalam wanita mengandung, iaitu keadaan di mana darah membeku dengan lebih mudah untuk mengurangkan kehilangan darah semasa kelahiran bayi. Sebab lain termasuklah stasis vena (vena di sekeliling pelvis termampat akibat uterus yang membesar) dan juga kecederaan salur darah semasa kelahiran.

Setiap wanita mengandung harus dinilai untuk faktor risiko VTE di awal kehamilan dan selepas kelahiran. Mereka akan dikategorikan kepada kumpulan risiko tinggi, pertengahan atau rendah dan dinasihatkan untuk mengambil langkah pencegahan termasuklah mengambil ubatan profilaktik serta diminta untuk sentiasa bergerak dan mengelakkan dehidrasi.

Faktor risiko

Pelbagai faktor meningkatkan risiko VTE semasa mengandung dan postnatal. Ini termasuklah:

  • Pernah mengalami VTE
  • Sejarah VTE dalam keluarga
  • Umur (risiko lebih tinggi jika lebih tua)
  • Obesiti
  • Masalah pembekuan darah yang diwarisi
  • Penyakit kronik tertentu, contohnya penyakit jantung/peparu, kanser, masalah keradangan, SLE, dsb.
  • Kecederaan vena, contohnya akibat pembedahan besar, patah tulang atau kecederaan otot
  • Tidak dapat bergerak, contohnya akibat lumpuh, terlalu lama di atas katil, perjalanan jauh
  • Peningkatan estrogen, contohnya akibat pil kawalan kelahiran, terapi penggantian hormon
  • Pembedahan Caesarean semasa kelahiran

Merawat VTE

Heparin berat molekul rendah (low molecular weight heparin, LMWH) ialah ubatan profilaktik dan terapeutik yang disyorkan untuk VTE semasa mengandung. Ubat antigumpal yang lain kurang berkesan – contohnya, heparin tidak bertapis (UFH) dikaitkan dengan risiko komplikasi lebih tinggi dan fondaparinux tidak disyorkan kerana boleh merentasi plasenta. Dalam kes lebih serius, ubatan trombolitik boleh digunakan untuk mencairkan darah beku dan pembedahan mungkin diperlukan untuk membuang darah beku.

Apabila didiagnosis dengan VTE, rawatan LMWH harus diteruskan sepanjang kehamilan. Bagaimanapun, rawatan itu harus dihentikan apabila proses kelahiran bermula atau 24 jam sebelum kelahiran yang dirancang. Rawatan harus diteruskan selepas kelahiran selama enam minggu, sama ada dengan LMWH atau warfarin (satu lagi jenis ubat). Kedua-dua ubat itu selamat untuk penyusuan.

Stoking mampatan (stoking ketat khas) boleh disyorkan untuk membantu aliran darah dan melegakan sakit dan bengkak. Sebagai langkah pencegahan, stoking itu harus dipakai pada kaki yang terjejas selama sekurang-kurangnya dua tahun selepas mengalami VTE. Ini juga mengurangkan risiko sindrom pascatrombosis (PTS), satu komplikasi VTE yang menyebabkan kesakitan, kulit pucat, menggelupas atau ulser di kawasan terjejas, serta boleh mengakibatkan kecacatan.

Kebimbangan setempat

LMWH sudah terbukti secara klinikal sebagai rawatan antigumpal paling berkesan dan selamat untuk wanita mengandung. Bagaimanapun, kandungan porsin (khinzir) dalam LMWH boleh menjadi kebimbangan bagi sesetengah Muslim di Malaysia. Ini mungkin menjejaskan pengambilan LMWH dan menjadi salah satu faktor kepada kadar kematian VTE yang meningkat.

Bagaimanapun, ujian menunjukkan selepas proses penghasilan yang rumit, tiada lagi unsur porsin ditemui dalam LMWH. Banyak negara Islam lain membenarkan penggunaan LMWH kerana faedah dan kelebihannya berbanding alternatif lain, terutamanya bagi wanita mengandung. Ilmuwan Islam bersetuju bahawa LMWH dibenarkan bagi kes VTE berisiko tinggi kerana dianggap sebagai kecemasan kesihatan dan perlu untuk menyelamatkan nyawa.

Masalah ini antara risiko utama yang harus dihadapi oleh wanita mengandung, dan ini menekankan keperluan untuk tromboprofilaksis (penggunaan ubatan untuk mencegah VTE) dan rawatan yang optimum apabila disyorkan.

Dengan kerjasama Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen