Pengasuhan Positif

Pemeriksaan Pranikah Demi Hubungan Berkekalan

Perkenalan anda kini akan menjadi sesuatu yang berkekalan. Anda dan pasangan telah memutuskan bahawa perkahwinan ialah langkah seterusnya dalam perhubungan anda, dan kini anda berdua sudah bersedia. Namun, pelbagai perkara perlu dipertimbangkan sebelum berkahwin, antaranya pemeriksaan kesihataan pranikah, yang penting agar pasangan bersedia menghadapi masa depan bersama.

Apa itu pemeriksaan pranikah?

Pemeriksaan pranikah ialah pemeriksaan kesihatan bagi pasangan yang akan berkahwin. Pemeriksaan ini mungkin melibatkan pelbagai ujian klinikal yang bertujuan untuk mengesan masalah kesihatan seseorang pada masa kini dan masa depan.

Kenapa pemeriksaan pranikah penting?

  1. Pemeriksaan ini penting bagi memberitahu pasangan masalah yang mungkin timbul jika mereka mahu mendapatkan anak kelak. Contohnya, pengesanan awal masalah keturunan (genetik) boleh memberikan maklumat penting kepada pasangan untuk membuat keputusan dalam mencegah masalah tersebut.
  2. Ia membantu anda saling memahami keadaan kesihatan pasangan (cth: kesihatan seks, jenis dan tekanan darah, tahap kolesterol, dll.), yang memudahkan anda dan pasangan untuk saling menjaga satu sama lain.

Apakah pemeriksaan pranikah yang diwajibkan di Malaysia?

Di Malaysia ketika ini, cuma ada satu ujian pranikah yang wajib, iaitu ujian HIV (human immunodeficiency virus). Pasangan Muslim diwajibkan untuk menghantar keputusan ujian HIV mereka sebelum berkahwin. Namun begitu, semua orang yang ingin berkahwin juga disarankan untuk mengambil ujian HIV.

Apakah pemeriksaan pranikah yang disarankan di Malaysia?

Tiada pemeriksaan pranikah tertentu yang “disarankan”. Namun, ujian berikut sering disertakan dalam pakej pemeriksaan kesihatan pranikah.

  • Ujian umum: Untuk maklumat kesihatan umum yang asas, seperti tekanan darah, ketinggian, berat badan dan indeks jisim tubuh (BMI).
  • Ujian darah: Untuk memeriksa kesihatan keseluruhan, mengesan penyakit darah (cth: talasemia, anemia sel sabit, dll.), dan ujian jenis darah (ujian ABO dan rhesus).
  • Ujian hepatitis: Untuk mengetahui jika anda atau pasangan menghidap hepatitis B atau C.
  • Ujian kesihatan seks: Untuk memeriksa jika ada penyakit bawaan seks (STD).

Saya telah dapat keputusan, seterusnya apa?

Jika ada keputusan yang merisaukan, doktor anda akan menerangkan dan memberi nasihat yang sewajarnya. Langkah seterusnya ialah berkongsi keputusan itu dengan pasangan anda, agar anda berdua saling memahami keadaan kesihatan masing-masing.

Perkahwinan bukan hanya sekadar cinta. Ia juga tentang saling menjaga satu sama lain untuk sepanjang hayat. Pemeriksaan pranikah membolehkan anda menjaga pasangan dan keluarga anda dengan lebih baik.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen