Pengasuhan Positif

Pemeriksaan dan Ujian-ujian Antenatal

Amalan perubatan moden menggalakkan pemeriksaan antenatal secara berkala (lebih kurang setiap 4 minggu) mulai sekitar minggu ke-11. Semasa pemeriksaan yang pertama doktor akan merekod sejarah perubatan anda dan pasangan anda, serta keluarga kedua-duanya. Pemeriksaan fizikal seperti berat badan, tinggi, kadar jantung dan ukuran tekanan darah akan diambil dan direkodkan. Doktor juga akan melakukan pemeriksaan ke atas organ-organ lain termasuk paru-paru, jantung dan payu dara.

Melalui ujian darah, akan diketahui kumpulan darah anda, dan sama ada anda telah mempunyai imuniti kepada penyakit seperti Hepatitis B dan Rubella (German measles). Ujian air kencing dilakukan untuk mengesan kehadiran protein, gula atau tanda-tanda jangkitan.

Semasa pemeriksaan susulan, doktor anda mengukur berat badan dan tekanan darah sekali lagi. Perkara yang penting diketahui adalah sama ada anda dan bayi anda berada dalam keadaan sihat atau tidak. Apabila kehamilan semakin melangkah, doktor anda akan merekod pertumbuhan, saiz, kedudukan dan pergerakan bayi dalam rahim. Doktor akan memberitahu anda sama ada kelahiran anda memerlukan pembedahan Caesarean atau tidak, serta persediaan-persedian lain yang anda perlukan untuk menghadapi kelahiran.

Pengesan Ultrasonik

Sebelum tahun 1970an, para doktor tiada cara untuk meneliti perkembangan janin di dalam rahim. Dengan penciptaan pengesan ultrasonik, doktor dapat memantau pertumbuhan janin dan mengesan keabnormalan, dan dengan ini juga dapat membantu ibu bapa membuat keputusan tentang rawatan yang diingini berdasarkan maklumat yang ada. Pengesanan ultrasonik adalah selamat untuk ibu dan bayi. Sejenis alat yang dikenali sebagai transduser akan diletakkan pada abdomen ibu, dan gelombang ultrasonik yang memantul balik daripada rahim dapat dikesan. Hasilnya adalah imej hitam putih janin yang terpapar pada skrin.

Jadual di bawah menunjukkan bila biasanya pengesanan ultrasonik dilakukan dan sebab-sebabnya.

Usia kehamilan Mengapa dilakukan Apa yang dikesan
12 minggu ke bawah Untuk menenangkan hati ibu bapa
  • Kehadiran denyutan jantung janin
  • Jumlah janin
  • Usia janin
  • Di mana letaknya janin (sama ada kehamilan di dalam atau di luar rahim [kehamilan ektopik])
Ibu berasa sakit atau berdarah
  • Kehamilan abnormal (cth kehamilan ektopik, di mana embrio terletak di luar rahim)
  • Keguguran
18-20 minggu Untuk memeriksa bahawa janin membesar dan dalam keadaan normal
  • Perkembangan organ, tangan dan kaki atau kecacatan

Bila Perlu Menimbulkan Kebimbangan

Selain daripada rasa loya pada sebelah pagi, sakit pada hulu hati dan sedikit perubahan fizikal, kehamilan tidak seharusnya membuat anda berasa tidak sihat atau menunjukkan gejala yang teruk. Jika anda mengalami sebarang daripada gejala-gejala berikut, jumpa doktor anda secepat mungkin.

  • Pendarahan daripada faraj atau keluar darah bercak-cak, yang berlaku lebih daripada sehari dan/atau disertai dengan demam, menggigil dan rasa sakit.
  • Pening yang berterusan disertai dengan rasa pitam atau pengsan.
  • Sakit pada bahagian pelvis.
  • Jika muntah-muntah melebihi dua atau tiga kali sehari, dan disertai oleh rasa sakit dan demam.
  • Demam.
  • Sakit semasa kencing.
  • Lelehan berair faraj yang berterusan atau banyak.
  • Bengkak pada pergelangan kaki, tangan dan muka yang terjadi dengan tiba-tiba.
  • “Gangguan Penglihatan” – tiba-tiba kelam, kabur dan buta buat sementara.

Apakah Tindakan Anda Terhadap Keputusan Yang Diterima?

Apakah yang anda harus lakukan sekiranya doktor memberitahu anda terdapatnya masalah dalam kehamilan? Bertenanglah, dan:

  • Tanya soalan. Minta doktor menerangkan tentang apakah masalah yang dihidapi janin anda ataupun risiko untuk keadaan itu, jangka hayat bayi dan apakah masalah yang mungkin dihadapi, dari segi fizikal dan mental.
  • Lakukan penyelidikan sendiri. Minta doktor anda mengesyorkan pakar untuk keadaan ini, baca buku dan artikel yang ditulis oleh pakar lain, dan cuba hubungi ibu bapa lain yang mempunyai anak yang mengalami masalah yang sama.
  • Harus bersyukur. Ini sememangnya sukar dilakukan, tetapi anda perlu ingat bahawa dengan saringan perubatan dan teknologi rawatan terkini, bayi anda mempunyai prognosis yang lebih baik berbanding dengan bayi yang dilahirkan dengan keadaan yang sama walaupun hanya 10 tahun lalu.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen