Pengasuhan Positif

Menjaga Diri Dan Kandungan Anda

Ketika mengandung, anda dan bayi berhubung rapat dan kesihatan serta kesejahteraan anda berdua turut berkait. Atas sebab inilah, anda perlu menghadiri pelbagai pemeriksaan antenatal bermula dengan trimester pertama, sebelum minggu ke 12, bagi membantu doktor anda memantau keadaan anda dan perkembangan bayi.

Seperti kebanyakan ibu, anda mungkin keliru dengan ujian-ujian yang perlu diambil. Anda mungkin berasa risau terutama jika doktor mengarahkan supaya anda mengambil ujian khas bukan rutin. Berikut adalah penerangan tentang pemeriksaan antenatal dan ujianujian yang dilakukan supaya anda faham kepentingannya.

Pemeriksaan Ibu

Pemeriksaan antenatal yang pertama.

Doktor anda akan meneliti sejarah perubatan, dengan penekanan kepada tahap kesihatan dan gaya hidup anda sekarang. Anda juga akan menjalani pemeriksaan kesihatan fizikal yang merangkumi ujian tekanan darah, jantung, paru-paru, tiroid, payudara dan gigi. Ujian darah turut dilakukan bagi mengesan kemungkinan anemia dan status anda berkenaan jangkitan sesetengah penyakit (seperti status imunisasi rubella, Hepatitis B dan status pembawa HIV).

Pemeriksaan rutin selanjutnya.

Kecuali anda mempunyai sebarang masalah kesihatan (yang mungkin menyebabkan anda perlu membuat pemeriksaan kesihatan dengan lebih kerap), anda akan berjumpa doktor sekali sebulan sehingga minggu ke 28, setiap dua minggu selepas minggu ke 28 hingga minggu ke 36, dan setiap minggu selepas minggu ke 36 sehingga bayi dilahirkan.

Setiap kali, doktor anda akan menimbang berat badan, mengambil tekanan darah dan menganalisa air kencing. Prosedur ini membantu beliau mengenalpasti sebarang tanda amaran pra-eklamsia – sejenis kombinasi tekanan darah tinggi, simpanan cecair berlebihan dan protein di dalam air kencing. Turut dikenali dengan nama pre-eclamptic toxaemia, kejadian ini berlaku kepada 1 atau 2 daripada setiap 20 orang ibu, terutama di trimester kedua kandungan mereka. Pra-eklamsia yang tidak teruk boleh dirawat, tetapi jika tidak dikawal ia boleh mengakibatkan eklamsia dan sawan serta koma.

Sampel air kencing anda juga akan diuji untuk mengesan sebarang jangkitan dan gejala diabetes kehamilan. Diabetes jenis ini disebabkan oleh kandungan dan perlu disahkan dengan ujian lanjut. Ubatan-ubatan dan perubahan diet seharian yang diselia oleh doktor mungkin diperlukan bagi mengawal kandungan gula di dalam darah.

Anda juga mungkin diberi suntikan vaksin tetanus, biasanya selepas minggu ke 22, bertujuan untuk melindungi bayi anda daripada jangkitan kancing gigi selepas lahir. Jika anda mengandung anak sulung, suntikan ini diulang sebulan kemudian.

Pemeriksaan Bayi

Dengan sentuhan.

Dengan tekanan jari yang lembut ke atas abdomen anda, doktor akan mengesan kedudukan bahagian atas rahim bagi menilai tumbesaran janin. Bermula dari minggu 34 atau 36, doktor mungkin meminta anda memantau pergerakan bayi. Jika bayi mendapat bekalan oksigen yang secukupnya, dia patut bergerak sekurang-kurangnya 10 kali di dalam tempoh 12 jam. Walau bagaimanapun, bayi mungkin kurang bergerak jika dia mempunyai kembar atau jika ibu merokok, menghidap diabetes atau tekanan darah tinggi.

Dengan mendengar.

Masuk minggu ke 14, doktor anda akan mendengar degupan jantung bayi dengan menggunakan sonicaid elektronik atau menggunakan stetoskop janin berbentuk trumpet selepas minggu ke 22. Di tempoh 2 bulan terakhir kandungan, dan jika perlu, doktor mungkin menjalankan ujian kardiotokografi yang mengukur degupan jantung bayi dengan monitor elektronik. Bunyi, rentak degupan dan kadar degupan yang ganjil bermaksud bayi mungkin tidak sihat.

Dengan imbasan.

Imbasan ultrabunyi (ultrasound) akan dilakukan seawal mula hamil. Imej janin di skrin boleh menenangkan anda dan mengesan tahap tumbesaran janin. Imbasan mungkin dilakukan dengan lebih kerap jika anda pernah mengalami keguguran atau mengalami pendarahan atau kesakitan. Begitu juga jika doktor mengesyaki janin tidak membesar seperti sepatutnya.

caringunborn2

Ujian-ujian khas untuk mengesan keganjilan kromosom.

Jika anda berusia 35 tahun ke atas, atau terdapat risiko penyakit keturunan atau bayi terdahulu dilahirkan tidak normal, doktor mungkin menasihatkan anda untuk menjalani ujian-ujian khas seperti berikut.

  • Ujian Darah. Ujian Triple di minggu 14-16 mengukur tiga jenis komponen kimia darah (AFP, estriol dan hormon kehamilan yang dinamakan hCG) untuk mengesan kemungkinan kecacatan tiub neural (seperti spina bifida) dan sindrom (seperti Down).
  • Imbasan. Imbasan Nuchal Translucency mengukur pengumpulan cecair di belakang leher bayi. Ia dijalankan di minggu 10-12 bagi mengesan pelbagai gejala seperti sindrom Down (sejenis keganjilan kromosom yang membantutkan perkembangan) dan Turner (keganjilan kromosom yang membantutkan tumbesaran dan perkembangan kelamin bagi bayi perempuan).
  • Ujian Invasif. Amniosentesis, yang boleh dilakukan bila-bila masa selepas minggu ke 13, ialah sejenis ujian di mana jarum dicucuk ke dalam abdomen untuk mengambil sampel cecair di dalam rahim. Cecair ini digunakan untuk mengesan sindrom Down dan keganjilan kromosom yang lain. Sejenis lagi ujian invasif ialah Persampelan Vilus Korion (Chorionic Villus Sampling) yang boleh dilakukan di hujung trimester pertama atau lebih lewat dari itu. Jarum digunakan bagi mengambil sedikit sampel tisu dari uri (plasenta) bagi mengesan sindrom Down dan penyakit darah seperti talasemia. Ujian-ujian invasif ini sangat penting terutama jika bayi disyaki mempunyai masalah kromosom atau keturunan.

Semua ibu berdoa untuk mendapat bayi yang normal dan sihat. Oleh itu anda perlu bekerjasama dan bersedia untuk menjalani pemeriksaan antenatal dan ujian-ujian lain yang mungkin anda perlukan. Tidak ada ujian yang sempurna dan kadangkala keputusan yang diperolehi kurang tepat. Walau bagaimanapun, adalah penting bagi anda mengetahui status dan perkembangan diri anda serta bayi. Maklumat ini membantu anda menyiapkan diri bagi memelihara kedua-dua ibu dan bayi, dan membolehkan anda mengambil langkah awal jika salah seorang berada di dalam keadaan yang membimbangkan.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen