Sebagai ibu bapa, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kesejahteraan anak-anak dan melindungi mereka daripada semua bentuk bahaya, bukan sahaja daripada kuman dan penyakit, tetapi juga daripada persekitaran dan faktor luaran lain. Sama ada di rumah atau di jalan raya, situasi yang berbeza memerlukan pendekatan yang berbeza dalam mencegah kecederaan dan memastikan keselamatan si kecil kita.
Rumahku Selamat
Apa kata pakar…
Datuk Dr Zulkifli Ismail
Pakar Perunding Pediatrik & Kardiologi Pediatrik
“Rumah sering melambangkan keselesaan dan keselamatan, tetapi ia juga boleh mendatangkan bahaya tersembunyi bagi kanak-kanak kecil yang suka meneroka. Sebagai ibu bapa, memastikan persekitaran rumah yang selamat untuk anak-anak adalah sangat penting. Ketika anak-anak melalui pelbagai tahap perkembangan, pemahaman mereka tentang risiko turut berubah, oleh itu ibu bapa perlu menjadi penjaga yang proaktif.”
“Malangnya, sedikit kelalaian juga boleh membawa kepada kecederaan yang seharusnya boleh dielak. Dengan meluangkan masa untuk mengenal pasti potensi bahaya dan melaksanakan langkah keselamatan, anda bukan saja melindungi anak-anak daripada bahaya, tetapi juga menyediakan persekitaran untuk mereka meneroka dan belajar dengan lebih selamat.”
Tip keselamatan di rumah
Berikut adalah beberapa tip penting untuk membantu anda menjadikan rumah lebih selamat untuk anak-anak:
Ruang tamu dan bilik tidur:
- Kukuhkan perabot: Tambat perabot tinggi atau tidak stabil seperti rak buku dan almari ke dinding untuk mengelakkan ia tumbang.
- Uruskan wayar: Letakkan wayar elektrik di luar jangkauan dan ikat wayar yang longgar untuk mengelakkan risiko tersandung atau terjerut. Gunakan penutup wayar atau tali pengikat.
- Keselamatan tingkap: Pasang jeriji atau jaring keselamatan pada tingkap, terutamanya di tingkat atas. Pastikan tingkap berkunci apabila tidak digunakan dan jauhkan perabot daripada tingkap untuk mengelakkan kanak-kanak memanjat.
- Benda kecil: Simpan barang kecil seperti butang, syiling, dan bateri di luar jangkauan kerana ini boleh menyebabkan risiko tercekik.
Bilik air:
- Pencegahan lemas: Jangan sekali-kali meninggalkan bayi dan kanak-kanak kecil tanpa pengawasan di dalam tab mandi, walaupun sekejap.
- Suhu air: Tetapkan pemanas air anda pada suhu maksimum 49°C untuk mencegah melecur. Sentiasa periksa suhu air sebelum meletakkan anak anda dalam tab mandi. Sediakan air mandian bayi dengan memasukkan air sejuk terlebih dahulu diikuti dengan air panas.
- Cegah dari tergelincir: Gunakan alas anti-gelincir di dalam tab mandi dan di lantai bilik air untuk mengelakkan jatuh.
- Ubat-ubatan dan kelengkapan mandian: Simpan semua ubat-ubatan, produk pembersih, dan kelengkapan mandian di kabinet berkunci atau tempat yang tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak.
- Keselamatan elektrik: Jauhkan peralatan elektrik seperti pengering rambut dan pengeriting rambut daripada air dan pastikan ia dicabut apabila tidak digunakan.
Dapur:
- Keselamatan dapur: Sebaik-baiknya gunakan penunu belakang dan halakan pemegang periuk ke dalam supaya kanak-kanak tidak dapat mencapainya.
- Benda tajam: Simpan pisau, gunting, dan peralatan tajam lain di dalam laci berkunci atau di luar jangkauan.
- Cecair panas: Jauhkan cerek panas atau minuman daripada tepi meja dan kaunter. Jangan sekali-kali memegang minuman panas semasa mendukung anak.
- Keselamatan peralatan: Pastikan peralatan dicabut selepas digunakan dan letakkan peralatan kecil seperti pembakar roti dan pengisar jauh dari tepi kaunter.
Di Luar Rumah
Apa kata pakar…
Datuk Dr Zulkifli Ismail
Pakar Perunding Pediatrik & Kardiologi Pediatrik
“Persekitaran luar rumah boleh menjadi bilik darjah untuk kanak-kanak, yang memupuk perkembangan fizikal, rasa ingin tahu, dan semangat berdikari. Namun, persekitaran ini juga mendatangkan cabaran keselamatan baru yang memerlukan persediaan dan kesedaran daripada ibu bapa dan anak-anak.”
“Matlamatnya bukan untuk mengehadkan penerokaan mereka, tetapi untuk memperkasakan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran supaya dapat meneroka dunia dengan yakin dan selamat. Dengan mengajar mereka peraturan mudah dan mengekalkan pengawasan rapi, anda boleh menjadikan setiap aktiviti luar sebagai pengalaman selamat dan bermanfaat.”

Tip keselamatan di luar rumah
Berikut adalah tip penting untuk memastikan keselamatan anak anda dalam pelbagai keadaan luar rumah:
Taman permainan:
- Pengawasan aktif: Jangan sekali-kali meninggalkan anak anda tanpa pengawasan di taman permainan. Duduk di mana anda boleh melihatnya dengan jelas setiap masa.
- Periksa permainan: Sebelum membenarkan anak bermain, periksa permainan di taman untuk memastikan tiada bahagian rosak, berkarat, atau tajam. Pastikan juga permukaan lantai adalah lembut (cth: getah, serpihan kayu, atau pasir) untuk menyerap jatuhan.
- Pakaian sesuai: Elakkan pakaian dengan tali, hud, atau apa-apa yang boleh tersangkut pada peralatan permainan. Pastikan kasut diikat dengan betul untuk mengelakkan tersandung atau jatuh.
Tempat awam:
- Pegang tangan: Ajar anak anda untuk memegang tangan anda di kawasan awam yang sibuk seperti tempat letak kereta, kaki lima, dan pusat beli-belah. Ini cara terbaik untuk mengelakkan mereka daripada sesat.
- Sentiasa berada dekat: Di kawasan sesak, tetapkan peraturan agar anak anda sentiasa berada berdekatan anda. Jika terpisah, tetapkan tempat pertemuan semula lebih awal dan ajar anak anda untuk kekal di situ serta meminta bantuan daripada “orang asing yang selamat”.
Bahaya orang asing:
- “Jerit, Lari, Beritahu”: Ajar anak anda jika orang asing mendekati mereka dan meminta mereka datang lebih dekat, mereka perlu menjerit “TIDAK!”, lari segera, dan beritahu orang dewasa yang dipercayai tentang apa yang berlaku.
- Kenal pasti orang asing selamat: Beritahu kepada siapa mereka boleh minta bantuan jika mereka sesat, seperti polis, bomba, atau pekerja kedai yang memakai lencana nama.
- Tiada rahsia: Jelaskan kepada anak anda bahawa orang dewasa yang selamat tidak akan meminta mereka menyimpan rahsia daripada ibu bapa, dan mereka harus segera memberitahu anda jika ada sesiapa cuba berbuat demikian.
Di Jalan Raya
Apa kata pakar…
Dr Rakhee Yadav
Pakar Perunding Pediatrik
“Jalan raya adalah persekitaran di mana deria yang sedang berkembang dan sifat impulsif kanak-kanak menjadikan mereka amat terdedah. Mereka mungkin tidak memahami konsep seperti kelajuan kenderaan atau jarak membrek, dan saiz mereka yang kecil menyukarkan pemandu untuk melihat mereka.”
“Perjalanan seorang anak, sama ada berjalan ke taman, menaiki kereta, atau menaiki bas, adalah peluang berterusan untuk pelajaran keselamatan. Dengan mengamalkan tabiat mudah dan konsisten serta mengajar anak anda peraturan utama, anda boleh mengurangkan risiko kemalangan dengan ketara dan memupuk rasa hormat terhadap keselamatan jalan raya sepanjang hayat.”
Tip keselamatan jalan raya
Berikut adalah tip penting untuk memastikan anak selamat di jalan raya:
Keselamatan pejalan kaki:
- Pegang tangan dan kekal bersama: Sentiasa pegang tangan anak anda dengan kuat ketika berjalan berhampiran jalan, di tempat letak kereta, atau di laluan masuk. Ajar mereka berjalan di bahagian dalam kaki lima, jauh dari tepi jalan.
- Berhenti, lihat, dan dengar: Amalkan rutin ini sebelum melintas jalan. Ajar mereka berhenti di tepi jalan, lihat kanan, kiri, dan kanan semula untuk memastikan tiada kenderaan datang, dan peka dengan lalu lintas. Tekankan untuk membuat hubungan mata dengan pemandu sebelum melintas.
- Gunakan lintasan pejalan kaki: Terangkan bahawa hanya selamat untuk melintas di lintasan pejalan kaki yang ditetapkan atau di persimpangan dengan lampu isyarat. Jangan benarkan mereka meluru keluar di antara kereta yang diletakkan.
Dalam kereta:
- Tali pinggang keselamatan betul: Pastikan anak anda menggunakan kerusi kereta atau tempat duduk tambahan (booster seat) yang sesuai dengan umur, berat, dan ketinggian mereka. Sentiasa pasang kerusi dengan betul dan pastikan talinya ketat.
- Tempat duduk belakang paling selamat: Kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah harus sentiasa duduk di tempat duduk belakang. Ini adalah tempat paling selamat kerana melindungi mereka daripada beg udara hadapan yang terbuka.
- Keselamatan kenderaan: Gunakan kunci keselamatan kanak-kanak pada pintu dan tingkap kereta untuk mengelakkan mereka membukanya secara tiba-tiba. Jangan sekali-kali meninggalkan anak tanpa pengawasan dalam kenderaan.
Pengangkutan awam:
- Keselamatan platform: Semasa menunggu tren atau bas, berdiri pada jarak selamat di belakang garisan keselamatan atau jauh dari tepi jalan. Pegang tangan anak anda dengan erat untuk mengelakkan mereka menghampiri trek.
- Pegangan kukuh: Setelah naik, cari tempat duduk segera. Jika berdiri, pastikan anak anda berpegang pada palang atau tali, dan jangan biarkan mereka berkeliaran atau berdiri dekat pintu.
- Berhati-hati ketika turun/naik: Ajar anak anda menunggu sehingga kenderaan berhenti sepenuhnya sebelum cuba naik atau turun. Berhati-hati dengan ruang antara kenderaan dan platform.
Pertolongan Cemas Asas
Apa kata pakar…
Dr Rakhee Yadav
Pakar Perunding Pediatrik
“Kemalangan kecil adalah sebahagian daripada proses membesar, tetapi ia tidak perlu menjadi punca panik bagi ibu bapa. Dengan kit pertolongan cemas yang lengkap dan pengetahuan asas, anda boleh berasa yakin dan bersedia apabila anak anda mengalami luka atau bengkak. Persediaan bukan sahaja membolehkan anda memberikan rawatan segera dan berkesan, tetapi juga menenangkan anak anda dan meyakinkan mereka bahawa mereka selamat.”
Tip pertolongan cemas
Berikut adalah tip penting untuk membantu anda bersedia menghadapi kecederaan biasa:
Keperluan kit pertolongan cemas:
- Bekalan rawatan luka: Sediakan pelbagai jenis plaster, pad kain kasa steril, dan pita pelekat perubatan. Sertakan tisu antiseptik atau sebotol kecil larutan garam (saline) untuk membersihkan luka.
- Ubat dan alat: Simpan ubat tahan sakit kanak-kanak (seperti paracetamol) dan pek sejuk. Sertakan juga gunting kecil untuk memotong pita atau pakaian serta penyepit halus untuk mengeluarkan serpihan.
- Maklumat kecemasan: Simpan senarai nombor kecemasan, termasuk pusat kawalan racun, pakar pediatrik anda, dan perkhidmatan kecemasan tempatan di dalam kit.
- Sarung tangan dan pensanitasi tangan: Sentiasa gunakan sarung tangan pakai buang untuk melindungi diri anda dan anak daripada kuman semasa memberi pertolongan cemas. Simpan pensanitasi tangan berhampiran.
Menghadapi kecederaan biasa:
- Luka dan calar: Basuh kawasan luka dengan sabun dan air. Tekan perlahan menggunakan kain bersih atau kain kasa untuk menghentikan pendarahan. Setelah berhenti, sapukan ubat antibiotik dan tutup dengan plaster.
- Bengkak dan lebam: Letakkan pek sejuk atau beg ais yang dibalut dengan tuala pada kawasan yang cedera selama 15-20 minit. Ini membantu mengurangkan bengkak dan kesakitan. Tinggikan anggota badan yang lebam jika boleh.
- Hidung berdarah: Minta anak duduk atau berdiri dan tunduk sedikit ke hadapan (jangan mendongak). Picit bahagian lembut hidung di bawah tulang hidung selama 10-15 minit sambil bernafas melalui mulut.
- Luka melecur kecil: Untuk melecur kecil akibat cecair panas atau permukaan panas, segera sejukkan kawasan tersebut di bawah air paip yang sejuk (bukan ais) selama sekurang-kurangnya 10 minit. Jangan letakkan ais.
Situasi mengancam nyawa
Segera hubungi perkhidmatan kecemasan jika anak anda:
- Tidak sedarkan diri atau tidak memberi respons.
- Mengalami kesukaran bernafas atau berubah menjadi kebiruan.
- Mengalami sakit dada yang teruk.
- Mengalami sawan.
- Mengalami kecederaan kepala yang teruk.
- Berdarah dengan banyak dan pendarahan tidak dapat dihentikan.
- Tertelan bahan beracun.
- Mengalami reaksi alahan yang teruk.
- Jatuh dari tempat tinggi.




