Penyakit pernafasan kanak-kanak (childhood respiratory diseases, CRD) bukan sekadar masalah perubatan. Ia membawa beban fizikal, emosi, dan kewangan yang sering kali tidak disedari, namun boleh mengubah dinamik keluarga secara mendalam.
Mendefinisikan CRD
Apa kata pakar…
Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik & Kardiologi Pediatrik
“Saya ingin meyakinkan ibu bapa walaupun batuk dan selesema adalah perkara biasa dalam proses tumbesaran, namun amat penting untuk memahami penyakit pernafasan serius yang menjejaskan kanak-kanak. Penyakit pernafasan kanak-kanak merangkumi pelbagai jenis penyakit yang menjejaskan hidung, tekak, salur pernafasan, dan paru-paru. Penyakit ini kebanyakannya disebabkan oleh virus, bakteria, alahan, atau faktor genetik.”
“Oleh kerana sistem imun kanak-kanak masih berkembang dan salur pernafasan mereka lebih kecil, mereka lebih mudah terdedah kepada jangkitan dan keradangan. Penyakit pernafasan kanak-kanak, walaupun yang ringan seperti selesema biasa, merupakan punca utama ketidakhadiran ke sekolah. Mengenal pasti perbezaan antara selesema ringan dan masalah yang lebih serius seperti bronkiolitis atau radang paru-paru adalah langkah pertama untuk melindungi kesihatan jangka panjang anak anda.”
Contoh penyakit dan akibatnya
Penyakit pernafasan kanak-kanak ialah masalah akut atau kronik yang menjejaskan salur pernafasan, daripada sinus (salur pernafasan atas) hinggalah ke salur udara kecil dan paru-paru (salur pernafasan bawah). Berikut ialah beberapa contoh yang paling lazim serta akibatnya:
- Asma: Masalah kronik yang menyebabkan keradangan dan penyempitan salur udara. Ia merupakan penyakit kronik paling lazim dalam kalangan kanak-kanak di seluruh dunia, menjejaskan kira-kira 1 daripada 10 kanak-kanak di sesetengah negara. Asma menjadi punca utama ketidakhadiran ke sekolah dan kemasukan ke unit kecemasan.
- Radang paru-paru: Jangkitan yang menyebabkan radang pada kantung udara di satu atau kedua-dua paru-paru, yang boleh dipenuhi cecair atau nanah. Ia merupakan salah satu punca utama kematian dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun di seluruh dunia. Rawatan selalunya memerlukan antibiotik atau kemasukan ke hospital, terutamanya jika berpunca daripada bakteria.
- Bronkiolitis: Keradangan dan penyumbatan pada salur udara terkecil dalam paru-paru (bronkiol). Ia merupakan punca utama kemasukan ke hospital bagi bayi dan kanak-kanak kecil. Jangkitan Respiratory Syncytial Virus (RSV), yang menyebabkan gejala seperti selesema, ialah satu-satunya punca utama bronkiolitis dan sering menyebabkan kemasukan ke hospital bagi bayi bawah umur satu tahun.
- Krup (croup): Jangkitan yang menyebabkan bengkak pada peti suara dan salur udara, hingga menyebabkan batuk kuat yang kedengaran seperti “menyalak”. Ia selalunya berpunca daripada virus parainfluenza.

Faktor Risiko
Apa kata pakar…
Dato’ Dr Rus Anida Awang, Pakar Perunding Pediatrik dan Pakar Pernafasan Pediatrik
“Saya sering memberitahu ibu bapa bahawa paru-paru kanak-kanak bukan sekadar versi kecil paru-paru orang dewasa – ia sedang berkembang secara aktif dan amat terdedah kepada ancaman persekitaran. Walaupun genetik merupakan faktor bagi masalah pernafasan seperti asma, persekitaran tempat kanak-kanak membesar juga sama penting, malah boleh jadi lebih berpengaruh.”
Faktor risiko persekitaran dan sosial
Risiko kanak-kanak menghidap penyakit pernafasan akut atau kronik sering dipengaruhi oleh pelbagai faktor yang saling berkaitan, kebanyakannya daripada persekitaran atau sosial.
- Pendedahan kepada asap rokok:
- Asap rokok sekunder: Pendedahan kepada asap daripada rokok yang sedang dibakar boleh menjejaskan pertumbuhan paru-paru, meningkatkan risiko menghidap asma, dan memburukkan lagi gejala sedia ada (cth: bronkitis, pneumonia).
- Asap rokok tertier: Sisa asap rokok yang melekat pada pakaian, perabot, dan permukaan juga boleh menyumbang kepada masalah pernafasan.
- Pencemaran udara:
- Luar rumah: Tinggal berhampiran jalan raya yang sibuk atau kawasan dengan tahap bahan zarahan (particulate matter, PM) atau nitrogen dioksida yang tinggi dikaitkan dengan peningkatan risiko menghidap dan memburukkan asma kanak-kanak.
- Dalam rumah: Pendedahan kepada kulapuk, kelembapan, penggunaan bahan api pepejal untuk memasak, dan alergen (seperti hama habuk dan serangga perosak) meningkatkan risiko jangkitan serta masalah kronik.
- Kurang pemakanan dan faktor imun: Kurang pemakanan, termasuk kekurangan Vitamin D dan pengambilan antioksidan yang rendah, boleh melemahkan sistem imun dan menyebabkan kanak-kanak lebih mudah mendapat jangkitan pernafasan yang teruk dan berulang.
- Pendedahan awal di pusat jagaan: Kerap terdedah kepada virus dalam persekitaran sesak seperti taska atau prasekolah di kawasan bandar menyebabkan jangkitan berulang (sering dipanggil “sindrom taska” atau “nursery school syndrome”). Walaupun ini membantu membina imuniti, ia juga meningkatkan jumlah beban penyakit, risiko dimasukkan ke hospital, dan penggunaan antibiotik pada awal usia.
- Faktor perumahan dan sosioekonomi: Kanak-kanak yang tinggal di rumah yang sesak atau dalam keadaan sosioekonomi rendah menghadapi risiko lebih tinggi disebabkan pengudaraan yang buruk, lebih terdedah kepada kuman, dan akses terhad kepada rawatan perubatan awal.
- Masalah sedia ada: Kelahiran pramatang, berat lahir rendah, dan sejarah keluarga yang mempunyai asma atau alahan meningkatkan risiko kanak-kanak menghidap masalah pernafasan kronik seperti displasia bronkopulmonari (BPD).
Beban Tersembunyi Pada Keluarga
Apa kata pakar…
Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik & Kardiologi Pediatrik
“Apabila seorang kanak-kanak sukar bernafas, seluruh keluarga seolah-olah turut menahan nafas. Penyakit pernafasan kronik atau berulang pada kanak-kanak, seperti asma teruk atau jangkitan RSV yang kerap, memberi kesan jauh melebihi gejala fizikal kanak-kanak itu sendiri. Sebagai seorang pakar pediatrik, saya melihat bagaimana kebimbangan berterusan, gangguan tidur, dan tekanan kewangan meletakkan beban besar yang sering tidak kelihatan ke atas ibu bapa dan adik-beradik. Inilah yang dipanggil ‘beban tersembunyi’. Mengenal pasti tekanan ini amat penting kerana unit keluarga yang sihat adalah sistem sokongan terbaik bagi seorang kanak-kanak yang sakit. Memahami dan menangani kesan mendalam ini merupakan langkah pertama untuk meningkatkan kualiti hidup semua yang terlibat.”
Beban emosi, kewangan dan gaya hidup
Kemasukan ke hospital yang kerap, lawatan ke unit kecemasan, serta pengurusan penjagaan kronik melibatkan penyakit pernafasan kanak-kanak memberi tekanan besar kepada keluarga, menjejaskan kestabilan emosi, psikologi, dan kewangan.
- Beban emosi dan psikologi:
- Kebimbangan ibu bapa: Ibu bapa sering mengalami tahap keresahan dan tekanan yang tinggi akibat kerisauan berterusan tentang pernafasan anak dan kemungkinan serangan tiba-tiba yang mengancam nyawa (cth: serangan asma).
- Kurang tidur: Batuk malam yang kerap, rawatan pernafasan, dan lawatan kecemasan menyebabkan kekurangan tidur kronik bagi ibu bapa dan anak yang terjejas, sekali gus menjejaskan mood serta keupayaan mengawal emosi.
- Kesan terhadap adik-beradik: Adik-beradik mungkin rasa terpinggir atau menyimpan rasa tidak puas hati kerana anak yang sakit memerlukan lebih banyak masa, perhatian dan sumber daripada ibu bapa, hingga boleh menimbulkan konflik dalam keluarga.
- Beban kewangan dan gaya hidup:
- Kos perubatan: Keperluan ubat-ubatan berterusan, peralatan khas (seperti nebuliser), temujanji doktor yang kerap, serta rawatan kecemasan berkos tinggi boleh menyebabkan tekanan kewangan atau beban hutang.
- Gangguan kerja dan sekolah: Kadar ketidakhadiran ke sekolah yang tinggi bagi kanak-kanak sering memaksa ibu bapa mengambil cuti kerja, hingga menjejaskan prestasi, pendapatan, dan perkembangan kerjaya mereka.
- Gaya hidup terhad: Keluarga sering mengelak aktiviti, perjalanan, atau acara sosial yang boleh mendedahkan anak kepada pencetus (seperti debunga atau tempat sesak), lalu menyebabkan pengasingan sosial dan penurunan kualiti hidup keluarga. Keperluan untuk sentiasa memantau persekitaran menjadi sumber tekanan berterusan.
Membina Daya Tahan
Apa kata pakar…
Dr Patrick Chan, Pakar Perunding Perubatan Pernafasan Pediatrik
“Ibu bapa sering bertanya, ‘Bagaimana saya boleh mengelakkan anak saya daripada kerap jatuh sakit?’ Jawapannya terletak pada cara kita menyokong sistem imun mereka yang sedang berkembang. Bayangkan imuniti seperti satu rangkaian keselamatan yang kompleks: ia memerlukan latihan, tenaga, dan persekitaran yang tepat untuk berfungsi secara optimum. Walaupun kita tidak dapat menghapuskan semua risiko, langkah proaktif seperti memastikan pemakanan yang baik dan persekitaran yang bersih merupakan kaedah paling berkesan. Tabiat ini bukan sahaja mengurangkan kekerapan anak jatuh sakit, tetapi juga membantu mereka melawan jangkitan dengan lebih berkesan, mengurangkan gejala, mencegah komplikasi serius, dan mempercepatkan pemulihan daripada penyakit pernafasan kanak-kanak yang lazim.”
Strategi utama untuk menyokong sistem imun
Membina sistem imun yang kuat adalah usaha jangka panjang yang bergantung kepada tabiat sihat dan konsisten bagi membantu tubuh anak melawan virus serta bakteria penyebab penyakit pernafasan.
- Vaksinasi dan imunisasi:
- Pastikan anak menerima semua vaksin rutin dan disyorkan, termasuk suntikan influenza tahunan dan vaksin pneumokokus yang melindungi daripada penyakit pernafasan serius seperti pneumonia.
- Pemakanan optimum:
- Penyusuan susu ibu: Memberikan antibodi dan faktor peningkat imun yang penting untuk melindungi daripada jangkitan, terutamanya jangkitan salur pernafasan awal.
- Makanan pelengkap: Perkenalkan makanan yang kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh untuk memastikan pengambilan vitamin C dan D, zink, serta mikronutrien lain yang penting bagi fungsi sel imun.
- Amalan kebersihan yang baik:
- Ajar dan biasakan anak mencuci tangan dengan sabun dan air dengan kerap (langkah paling penting untuk mengelak penyebaran virus).
- Amalkan etika batuk dan bersin (cth: menutup mulut dengan tisu atau siku) bagi mengurangkan penularan kuman di udara.
- Persekitaran yang lebih bersih:
- Kurangkan pencemaran dalam rumah dengan menghapuskan pendedahan kepada semua bentuk asap rokok.
- Pastikan pengudaraan mencukupi untuk mengurangkan alergen (habuk, hama, kulapuk) dan virus di udara. Penggunaan penapis HEPA mungkin boleh membantu.
- Senaman dan gaya hidup aktif:
- Galakkan aktiviti fizikal harian, sebaiknya di luar rumah, untuk meningkatkan kesihatan kardiovaskular yang boleh menguatkan fungsi dan sistem imun.
- Tidur yang cukup:
- Utamakan waktu tidur yang konsisten dan sesuai dengan usia anak. Tidur berkualiti membantu tubuh menghasilkan sitokin yang penting untuk melawan jangkitan.
Kepentingan sokongan dan daya tahan emosi
Selain kesihatan fizikal, daya tahan emosi anak juga berperanan penting dalam menyokong sistem imun mereka.
- Bina daya tahan: Ajar anak bahawa jatuh sakit adalah sebahagian daripada proses membesar, tetapi menjaga tubuh mereka membantu pemulihan lebih cepat. Ini dapat mengurangkan kebimbangan terhadap penyakit.
- Utamakan rehat: Ketika pemulihan, tekankan kepentingan rehat dan pengambilan air yang mencukupi. Persekitaran yang tenang dan bebas tekanan membantu sistem imun berfungsi dengan lebih baik.
- Kesejahteraan ibu bapa: Menangani penyakit kronik atau kerap berulang boleh memberi tekanan. Dapatkan sokongan daripada keluarga, rakan, atau pakar agar anda kekal bertenaga dan stabil secara emosi untuk menyokong dan menjaga anak dengan baik. Keluarga yang kuat dan tabah adalah pertahanan terbaik terhadap beban penyakit kanak-kanak.

