Jika anda pernah mengandung sebelum ini, ada kemungkinan tinggi bahawa anda pernah mengidam makanan semasa hamil. Malah, anda tidak keseorangan! Dianggarkan bahawa sekitar 50-90% wanita hamil mengidam makanan sekurang-kurangnya sekali semasa hamil. Mari ketahui lebih lanjut tentang fenomena ini!
Mengidam semasa hamil
Mengidam semasa hamil merupakan satu keinginan kuat untuk makan sejenis makanan tertentu semasa hamil. Keinginan yang kuat ini tidak semestiya kerana lapar. Biasanya, wanita hamil mengidam makanan pada trimester kedua (minggu 13-27 kehamilan), yang juga tempoh apabila rasa mengidam paling kuat. Rasa mengidam adalah pelbagai dan berbeza bagi setiap orang, dan biasanya makanan tinggi karbohidrat dan protein menjadi makanan idaman. Ini termasuklah:
- Manisan, seperti coklat, ais krim, gula-gula
- Buah, seperti strawberi, mangga
- Makanan pedas, masin, masam, atau berlemak
- Makanan selesa, seperti bijirin, kentang lecek, jejari kentang
Punca mengidam
Sebab sebenar munculnya rasa mengidam masih tidak jelas. Namun terdapat beberapa kemungkinan:
- Keperluan pemakanan: Kehamilan meningkatkan permintaan tubuh terhadap tenaga dan sesetengah nutrien seperti asid folik, zat besi, kalsium, natrium, dan kalium. Beberapa kajian mencadangkan bahawa mengidam makanan semasa hamil merupakan cara tubuh menangani kekurangan nutrien akibat peningkatan permintaan. Maka, wanita hamil biasanya mengidam makanan kaya tenaga dan makanan yang mengandungi nutrien tertentu.
- Perubahan hormon: Sesetengah kajian mencadangkan bahawa hormon kehamilan boleh meningkatkan rasa lapar serta deria bau dan rasa, lalu mencetuskan rasa mengidam dan jelek. Malah, wanita hamil sering menyatakan bahawa makanan dan minuman terasa berbeza semasa mengandung, seperti rasa sayuran yang makin pahit dan rasa buahan yang makin manis. Gabungan rasa lapar dan perubahan rasa makanan mungkin menyebabkan seseorang mengidam makanan, terutamanya bagi makanan manis seperti buah.
- Pengaruh sosial: Wanita hamil di kawasan berbeza di dunia mungkin mengidam makanan yang berbeza bergantung pada jenis makanan yang mudah didapati dan yang biasa bagi mereka. Tambahan pula, terdapat pendapat umum bahawa wanita hamil “makan untuk dua orang”, oleh itu masyarakat lebih mudah menerima apabila wanita hamil menikmati makanan idaman, walaupun ia melibatkan makanan yang berbeza, aneh, kurang sihat, atau berjumlah banyak. Malah, ini mungkin meningkatkan lagi keinginan untuk menikmati makanan tersebut semasa hamil.
Kerisauan dan nasihat
Walaupun wanita hamil boleh memenuhi rasa mengidam mereka, mereka tidak seharusnya berlebih-lebihan. Secara puratanya, wanita hanya memerlukan 200-300 kalori tambahan semasa trimester kedua dan ketiga.

Pertambahan berat berlebihan dan pemakanan kurang sihat boleh memberi kesan negatif ke atas kesihatan ibu dan anak. Ibu berisiko lebih tinggi mendapat komplikasi semasa proses bersalin, diabetes, dan tekanan darah tinggi semasa hamil. Pada masa sama, bayi lebih berisiko mempunyai berat kelahiran yang tinggi, obesiti semasa kanak-kanak, dan obesiti semasa dewasa pada masa depan.
Satu lagi kerisauan ialah apabila wanita hamil mengidam benda bukan makanan seperti tanah, sabun, atau ais. Ini dikenali sebagai pika, masalah pemakanan yang jarang berlaku apabila seseorang berselera terhadap bahan yang tidak mempunyai nilai pemakanan. Mungkin terdapat masalah lain yang tersembunyi, seperti kekurangan kalsium atau zat besi dalam diet. Sesiapa yang mengalami masalah ini perlu mendapatkan nasihat doktor.
Secara amnya, mengidam makanan semasa hamil bukanlah satu masalah dan wanita tidak perlu risau untuk menikmati makanan yang diidamkan. Kuncinya ialah keseimbangan dan kesederhanaan. Pilih alternatif lebih sihat sebaik mungkin dan hadkan pilihan kurang sihat. Dan jika anda mempunyai kerisauan terhadap mana-mana aspek kehamilan anda, sila maklumkan kepada doktor anda.

