Saat anak remaja anda mula menyebut tentang ‘buah hati’ atau asyik dengan mesej lewat malam, ianya mungkin mengejutkan. Dalam banyak budaya Asia, isu tentang cinta tidak selalu dibincang secara terbuka dalam keluarga. Ini menjadikan perbualan mengenai ‘buah hati’ remaja sesuatu yang asing bagi ibu bapa dan anak-anak. Namun, bimbingan awal amat penting untuk membantu mereka mengurus emosi yang kuat ini dengan selamat.
Mengemudi hubungan cinta pertama
Cinta remaja boleh dikatakan latihan awal untuk perhubungan realistik apabila dewasa nanti. Daripada menolaknya sebagai “cinta monyet”, cuba akui perasaan mereka:
- Sedia mendengar, kurangkan bercakap: Tanya soalan terbuka seperti “Apa yang kamu suka tentang dia?” dan “Macam mana perasaan kamu bila bersama dia?”
- Kekal ingin tahu, bukan mengkritik: Elakkan mengejek pilihan mereka kerana ini hanya akan menyinggung perasaan mereka dan membuatkan mereka menyimpan rahsia.
- Jangan terlalu reaktif: Jika anda bertindak dengan panik, remaja akan bertindak balas dengan “lawan atau lari” dan menutup ruang komunikasi. Kekal tenang walaupun anda tidak bersetuju dengan hubungan atau pilihan tersebut.
Tiga asas utama
Perbualan tentang cinta juga merangkumi keizinan (consent), hormat, dan batasan. Jangan biarkan remaja mencari jawapan sendiri – jadilah panduan yang jelas untuk mereka:
- Keizinan: Terangkan bahawa “Tidak” bermaksud “Tidak”, dan “Mungkin” juga bermaksud “Tidak”. Ini melibatkan pelbagai hal seperti berpegangan tangan hinggalah berkongsi gambar dalam talian.
- Hormat: Bincangkan bagaimana pasangan sepatutnya membuatkan mereka rasa dihargai dan selamat, bukannya tertekan atau diperkecilkan.
- Batasan: Pastikan mereka faham bahawa mereka berhak mengawal ruang peribadi. Secara fizikal, mereka berhak berkata “Tidak” terhadap sebarang sentuhan. Ingatkan juga bahawa jejak digital sukar dipadam dan jelaskan risiko berkongsi maklumat atau gambar peribadi.
Sokongan semasa suka dan duka
Putus cinta selalunya pengalaman pertama remaja dengan kesakitan emosi yang mendalam. Menguruskan emosi ini memerlukan sokongan dan bimbingan. Anda boleh menyokong mereka secara berikut:
- Akui perasaan: Bagi remaja, ia terasa seperti dunia sudah berakhir. Elakkan berkata “Nanti kamu jumpa orang lain” dan sebaliknya akui perasaan mereka
- Jadi tempat berlindung: Kadangkala mereka hanya perlukan bahu untuk menangis dan sebekas ais krim untuk bertenang, bukan ceramah tentang kenapa hubungan itu tidak sesuai
- Perhatikan tanda amaran: Kesedihan adalah normal, tetapi awasi tanda kemurungan seperti tidak selera makan, prestasi akademik merosot, atau menjauhkan diri daripada rakan. Jika mood, tidur, atau tabiat pemakanan tidak kembali stabil selepas berpisah dua minggu, atau mereka meluahkan rasa tidak berharga atau keinginan mencederakan diri, segera dapatkan bantuan pakar. Kadangkala, pihak ketiga yang neutral (seperti kaunselor atau doktor) lebih mudah didekati oleh remaja.
Kesimpulan
Anak remaja perlu tahu bahawa tidak kira siapa yang mereka suka atau siapa yang melukai hati mereka, kasih sayang ibu bapa tetap menjadi hubungan paling stabil dalam hidup mereka. Selain itu, ibu bapa juga boleh membentuk contoh hubungan yang sihat dengan menunjukkan interaksi yang penuh hormat dan kasih sayang dalam rumah tangga. Apabila ibu bapa kekal tenang, terbuka, dan sentiasa ada secara emosi, remaja lebih cenderung untuk mendapatkan bimbingan apabila mereka paling memerlukannya.

