Pengasuhan Positif

Vaksin Mana yang Perlu Diambil Sebelum Melancong ke Luar Negara?

Percutian keluarga sememangnya mengujakan – tetapi sebelum anda mengemas bagasi, pastikan keluarga anda telah divaksin. Perjalanan ke luar negara mendedahkan anda dan anak-anak kepada persekitaran, makanan dan orang baharu – yang kadangkala boleh membawa risiko kesihatan baharu.

Penting: Sentiasa berunding dengan doktor atau pakar pediatrik sekurang-kurangnya empat hingga lapan minggu sebelum perjalanan untuk mendapatkan nasihat yang sesuai dengan destinasi dan umur anak anda.

Vaksin rutin yang diperlukan semua orang

Sebelum melancong ke mana-mana, pastikan orang dewasa dan kanak-kanak telah menerima vaksin rutin berikut:

  • MMR (campak, beguk, rubela)
  • Polio (IPV/OPV)
  • Tdap (tetanus, difteria, batuk kokol)
  • Influenza (vaksin influenza bermusim)
  • Pneumokokus (disyorkan untuk kanak-kanak kecil dan warga emas)
  • Meningokokus

Menunaikan Haji atau Umrah?

Perhimpunan besar jemaah meningkatkan risiko penyakit berjangkit, jadi Arab Saudi menetapkan syarat kesihatan yang ketat. Untuk semua jemaah berumur satu tahun ke atas:

  • Wajib: Vaksin meningokokus kuadrivalen (MenACWY) – perlu sijil vaksinasi
  • Bersyarat:
    • Demam kuning: Bagi jemaah dari negara berisiko
    • Polio: Bagi jemaah dari negara yang masih mempunyai penularan polio
  • Disyorkan:
    • Influenza bermusim: Terutama bagi kanak-kanak atau individu dengan penyakit kronik
    • Pneumokokus
    • Hepatitis A dan tifoid: Disebabkan risiko pencemaran makanan dan air

Menuju ke Afrika atau Amerika Selatan?

Wilayah ini mempunyai risiko demam kuning dan malaria, serta penyakit yang merebak melalui makanan dan air tercemar.

  • Demam kuning: Wajib untuk sesetengah negara, cth: Argentina, Brazil, Congo (juga diberi di Sarawak)
  • Influenza, hepatitis A dan tifoid: Penting untuk semua pelancong
  • Rabies: Amat penting bagi kanak-kanak, kerana mereka cenderung bermain dengan haiwan
  • Meningokokus (MenACWY): Disarankan untuk perjalanan ke “jalur meningitis” di Afrika sub-Sahara (cth: Senegal, Ethiopia)
  • Profilaksis malaria: Ubat preskripsi (bukan vaksin) untuk pencegahan juga penting bagi sesetengah negara di Afrika

India & China: Kawasan bandar vs. luar bandar

Keperluan vaksin berbeza bergantung kepada lokasi dan tempoh anda berada di sana.

  • Influenza: Penting untuk semua pelancong, terutama di kawasan sesak atau tertutup
  • Tifoid & hepatitis A: Sangat disyorkan untuk semua peringkat umur
  • Rabies: Risiko tinggi di kawasan luar bandar – terutamanya bagi kanak-kanak
  • Japanese encephalitis (JE): Perlu jika tinggal lama di kawasan luar bandar (cth: berhampiran sawah padi)
  • Hepatitis B: Disyorkan untuk lawatan panjang atau berulang

Melancong ke negara Barat?

Walaupun di negara maju, wabak tetap boleh berlaku.

  • Vaksin rutin: Pastikan vaksin MMR dan polio telah dikemas kini
  • Influenza bermusim: Penting jika melancong semasa musim influenza
  • Hepatitis A: Masih berisiko di beberapa bahagian Eropah Selatan dan Timur

 

Perlukah anda ambil vaksin tambahan sebelum melancong?

Tidak semestinya – tetapi kadangkala perlu. Ia bergantung kepada destinasi, tempoh, dan aktiviti semasa perjalanan. Berikut panduan mudah untuk anda:

  • Jika melancong ke destinasi berisiko rendah (seperti US, UK, Australia, atau Eropah Barat) dan vaksin rutin keluarga anda sudah lengkap, secara amnya anda telah dilindungi. Vaksinasi influenza mungkin perlu diperbaharui.
  • Jika pergi ke tempat dengan iklim, tahap kebersihan, atau pendedahan haiwan yang berbeza, sistem imun anak anda mungkin terdedah kepada penyakit yang tiada di negara asal – ketika inilah vaksin tambahan penting.
  • Sesetengah vaksin diwajibkan oleh undang-undang untuk kemasukan (contohnya vaksin meningokokus bagi Haji atau vaksin demam kuning bagi negara Afrika dan Amerika Selatan tertentu). Anda tidak akan dibenarkan masuk tanpa bukti vaksinasi.
  • Vaksin lain sangat disyorkan, bukan kerana diwajibkan, tetapi kerana ia melindungi anak anda daripada penyakit serius yang sukar dirawat di luar negara (seperti influenza, tifoid, hepatitis A, atau rabies).

 

Perjalanan sihat bermula dengan persediaan. Menyemak rekod vaksinasi keluarga dan berunding dengan doktor lebih awal boleh menjimatkan perjalanan anda serta melindungi orang tersayang daripada penyakit yang boleh dicegah.

Fikirkan begini: Vaksin rutin melindungi anak anda di rumah. Vaksin perjalanan memastikan mereka selamat ketika jauh dari rumah, di mana risikonya berbeza.

Langgani surat berita pengasuhan kami.