Pernahkah anda mendengar tentang apa-apa masalah atau kerisauan berkaitan vaksin daripada rakan atau dalam talian? Adakah ini menjejaskan pandangan dan keyakinan anda terhadap vaksin? Ini boleh menyebabkan keraguan vaksin dan memberi kesan besar pada kesihatan awam.

Semasa menggunakan media sosial, kadangkala anda mungkin terlihat komen rambang tentang bagaimana vaksin menyebabkan penyakit atau bagaimana vaksinasi merupakan agenda tersembunyi pihak tertentu. Komen ini boleh menjejaskan persepsi pembaca pada vaksin, lalu menyebabkan keraguan vaksin. Malah, akibat risiko peningkatan penyakit berjangkit, keraguan vaksin telah dimasukkan dalam senarai ancaman kesihatan sedunia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 2019.

Untuk melawan keraguan vaksin, adalah penting untuk menggalakkan keyakinan vaksin dalam masyarakat, terutamanya di kalangan ibu bapa, kerana merekalah yang menentukan sama ada anak mereka divaksin atau tidak. Sebagai ibu bapa, anda harus sedar tentang hal ini dan melengkapkan diri anda dengan pengetahuan yang sahih tentang vaksin, supaya anda tidak terpengaruh dengan berita palsu dan maklumat salah.
Kenapa seseorang mungkin ragu-ragu terhadap vaksin?
- Maklumat salah dan teori konspirasi: Penyebaran maklumat palsu atau mengelirukan tentang vaksin melalui media sosial dan saluran lain boleh menghakis kepercayaan umum pada vaksinasi. Antara contohnya ialah teori palsu bahawa vaksin MMR boleh menyebabkan autisme, yang sebenarnya telah dibuktikan salah oleh banyak kajian lain.
- Kepercayaan dan nilai peribadi: Budaya, agama, atau falsafah hidup boleh mempengaruhi pandangan seseorang terhadap vaksinasi. Contohnya, sesetengah orang mungkin risau tentang hukum mengambil vaksin dalam Islam. Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan kebanyakan ulama Islam, vaksin adalah harus dalam Islam selagi ia diperbuat daripada bahan yang halal, bersih, dan suci.
- Tidak percaya pada autoriti: Individu yang tidak percaya pada pakar kesihatan, agensi kerajaan, atau syarikat farmaseutikal lebih berkemungkinan untuk meragui vaksin.
- Pandang ringan: Dalam komuniti yang mempunyai kadar vaksinasi yang tinggi dan jangkitan yang rendah, seseorang mungkin memandang ringan keperluan untuk mengambil vaksin.
Apakah kesan negatif keraguan vaksin?
- Peningkatan penyakit: Kadar vaksinasi yang menurun boleh menyebabkan wabak penyakit boleh dicegah seperti demam campak, difteria, polio, dan pertusis, lalu mengakibatkan penyakit serius, ketidakupayaan, serta kematian.
- Imuniti kelompok yang lemah: Imuniti kelompok menjadi lemah apabila kadar vaksinasi menurun, sehingga individu yang telah divaksin juga terdedah pada risiko jangkitan yang lebih tinggi.
- Peningkatan kos jagaan kesihatan: Wabak penyakit boleh dicegah meletakkan beban kewangan yang besar ke atas keluarga dan sistem penjagaan kesihatan.
- Pandemik berpanjangan: Keraguan vaksin boleh menghalang usaha mengawal pandemik.

Vaksin adalah selamat dan berkesan!
Terdapat prosedur yang ketat dan menyeluruh bagi memastikan keselamatan dan keberkesanan vaksin sebelum dan selepas ia diluluskan untuk penggunaan awam. Berikut sebab-sebab anda harus yakin terhadap vaksin:
- Ujian terperinci: Vaksin melalui ujian terperinci semasa percubaan klinikal yang melibatkan ribuan peserta sebelum ia diluluskan untuk penggunaan awam. Percubaan ini direka dengan teliti untuk menilai kebolehan vaksin untuk mencegah penyakit (keberkesanan) dan kesan sampingan yang mungkin berlaku (keselamatan).
- Pemantauan berterusan: Walaupun setelah vaksin diluluskan, ia akan terus dipantau bagi mengesan kesan sampingan yang jarang berlaku atau tidak dijangka dan menilai keberkesanannya di dunia sebenar.
- Terbukti berkesan: Banyak kajian menunjukkan bahawa vaksin berjaya mengurangkan kes penyakit berjangkit dengan ketara, dan ini termasuklah penyakit yang pernah menjadi penyebab utama kematian dan ketidakupayaan, cth. tuberkulosis, polio, dan difteria. Malah, penyakit cacar (smallpox) telah dibasmi di seluruh dunia pada 1980 selepas program vaksinasi sedunia.
- Menjawab kerisauan: Seperti ubat-ubatan lain, vaksin juga mungkin mempunyai kesan sampingan. Kebanyakan kesan sampingan adalah ringan dan sementara, dan kesan sampingan serius pula amat jarang berlaku. Bagi kebanyakan individu, manfaat vaksinasi lebih besar berbanding risikonya.
Apa anda perlu buat apabila terdapat kerisauan tentang vaksin?
- Rujuk pakar berkelayakan dalam bidang perubatan dan kesihatan untuk memahami lebih jelas tentang vaksinasi.
- Dapatkan maklumat daripada sumber sahih seperti WHO, Kementerian Kesihatan Malaysia, dan institusi/program kesihatan lain, seperti Immunise4Life (www.ifl.my).
- Berhati-hati dengan maklumat yang ditemui di media sosial dan laman web yang tidak sah.
- Tanya sumber apabila menerima berita atau maklumat meragukan daripada rakan dan keluarga.
Kini, penggunaan media sosial yang meluas telah merancakkan lagi penyebaran maklumat salah dan propaganda antivaksin di kalangan orang awam sehinga meningkatkan keraguan vaksin. Ibu bapa harus sedar tentang kesan negatif keraguan vaksin. Merujuk kepada sumber maklumat sahih akan membantu menjelaskan keraguan dan menjawab persoalan, lalu meningkatkan keyakinan kita pada vaksin.
References
- https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC7227637/
- https://www.vaccineconfidence.org/
- https://www.cdc.gov/vaccines/covid-19/vaccinate-with-confidence/strategy.html
- https://www.immunize.org/clinical/vaccine-confidence/
- https://www.lung.org/getmedia/babf2919-37c1-46cb-9e94-fd4842498f84/ALA_HCP_Vaccine_Confidence_factsheet_web.pdf
