Pengasuhan Positif

“Bodyguard” Anak Anda Yang Hilang: Panduan Untuk Ibu Bapa Tentang Kekurangan G6PD

Adam baru berumur kurang daripada 24 jam ketika ibunya, Puan Siti, menerima berita tersebut. Jururawat bukan sahaja membawa bayi tetapi juga satu pesanan: “Doktor perlu bercakap dengan puan. Adam kekurangan G6PD.” Siti memandang anaknya yang sempurna dan sedang tidur lena, lalu diselubungi rasa panik. “Kekurangan? Ada yang tak cukup? Adakah dia akan okay?”

Jika anda juga antara ibu bapa yang pernah mengalami situasi yang sama, tarik nafas dalam-dalam. Anda tidak keseorangan. Keadaan ini adalah biasa di Malaysia dan melibatkan kira-kira 3-4% bayi baru lahir. Yang penting, anak anda bukan “sakit”, mereka hanya memerlukan sedikit perlindungan tambahan. Dalam sesetengah kes, keputusan ujian awal mungkin tidak jelas atau ‘tidak konklusif’. Jika doktor mencadangkan ujian diulang pada masa hadapan, jangan risau – ini hanya untuk memastikan diagnosis adalah tepat.

G6PD ialah enzim semula jadi dalam sel darah merah yang bertindak seperti perisai yang membantu sel menghadapi bahan kimia dan tekanan tertentu. Bagi kanak-kanak yang kekurangan G6PD, perisai ini lemah atau tiada, jadi sel darah mereka memerlukan perlindungan tambahan.

Analogi “bodyguard” atau pengawal

Untuk lebih mudah difahami, bayangkan setiap sel darah merah mempunyai seorang pengawal peribadi atau “bodyguard”. Tugasnya adalah melindungi sel daripada tekanan akibat makanan atau bahan kimia tertentu. Bagi kanak-kanak seperti Adam, pengawal ini sama ada hilang atau sedang “tidur”. Tanpanya, sel darah merah menjadi lemah. Jika bertemu “pencetus” yang salah, sel ini boleh rosak dan pecah. Berita baiknya: jika anda mengelakkan pencetus tersebut, sel darah merah akan kekal selamat dan anak anda akan sihat.

Tiga peranan utama anda

Oleh kerana keadaan ini bersifat genetik (biasanya diwarisi oleh anak lelaki), ia tidak boleh disembuhkan tetapi boleh diurus dengan mudah. Tugas utama anda adalah menghindari perkara dalam “Senarai Perlu Elak”:

  1. Kenal pasti apa yang dimakan (jauhi kacang parang)
    Pencetus paling terkenal ialah kacang parang (fava beans). Walaupun enak, ia mengandungi bahan yang boleh merosakkan sel darah anak anda.
    Tip: Sentiasa periksa label bahan-bahan pada snek dan campuran kekacang. Ingatkan anak supaya berhati-hati dengan kacang parang sewaktu menghadiri majlis atau acara sekolah.
  2. Periksa almari (jauhi ubat gegat)
    Ini sering mengejutkan ibu bapa. Bau ubat gegat berbahaya bagi anak yang kekurangan G6PD. Bahan kimia di dalamnya, iaitu naftalena, boleh mencetuskan reaksi walaupun hanya melalui bau atau menyentuh pakaian yang disimpan bersamanya.
    Tip: Gunakan alternatif semula jadi untuk mengawal serangga perosak, bekas simpanan kedap udara, atau jemur pakaian di bawah matahari.
  3. Berhati-hati dengan pengambilan ubat
    Tidak semua ubat selamat. Sesetengah antibiotik, ubat malaria, dan ubat herba tradisional boleh memudaratkan.
    Tip: Sentiasa maklumkan kepada setiap doktor, doktor gigi, atau ahli farmasi: “Anak saya ada kekurangan G6PD.” Minta mereka semak ubat baru dengan “senarai tidak selamat” dan simpan senarai tersebut sama ada bercetak atau digital.

“Senarai Perlu Elak” untuk kanak-kanak dengan kekurangan G6PD

Makanan dan herba yang perlu dielakkan

  • Kacang parang
  • Ubat/herba Cina tertentu seperti:
    • Chuen Lin
    • San Chi
    • 13 herba
    • 12 herba
  • Herba atau ubat tradisional lain (kecuali atas nasihat doktor)

 

Bahan kimia yang perlu dielakkan

  • Naftalena (ubat gegat)
  • Lingkaran ubat nyamuk dan penghalau serangga yang mengandungi piretrium

Ubat yang perlu dielakkan (kontraindikasi)

  •  Acetanilide
  • Doxorubicin
  • Furazolidene
  • Methylene Blue
  • Nalidixic acid
  • Niridazole
  • Nitrofurantoin
  • Phenazopyridine
  • Primaquine
  • Sulfamethoxazole
  • Bactrim

Bila perlu mendapatkan rawatan

Walaupun dengan penjagaan rapi dan berhati-hati, perkara yang tidak disengajakan boleh berlaku. Anda perlu kenal pasti tanda amaran bahawa sel darah anak sedang terjejas. Jika ini berlaku, segera ke hospital:

  • Tanda “teh”: Air kencing berwarna gelap seperti teh pekat atau Coca-Cola
  • Kulit pucat: Kelihatan sangat pucat, letih, atau lemah
  • Kuning (jaundis): Mata atau kulit menjadi kekuningan

Kesudahan yang menggembirakan

Tujuh tahun kemudian, Adam kini Darjah 1. Dia boleh bermain bola sepak, pergi berkhemah, dan cemerlang dalam mata pelajaran matematik. Adakah kekurangan G6PD menjejaskan kecerdasannya? Tidak sama sekali. Bolehkah dia bersukan? Ya.

Keresahan ibunya pada hari pertama kini digantikan dengan rutin yang mudah. Selagi Adam mengelakkan bahan pencetus (trigger), dia boleh menjalani kehidupan yang normal, sihat, dan ceria seperti kanak-kanak lain.

Kepada semua ibu bapa: bertenanglah. Anak anda akan baik-baik sahaja. Mereka hanya memerlukan anda sebagai “bodyguard” mereka sehingga mereka cukup besar untuk menjaga diri sendiri. Jangan lupa untuk berkongsi maklumat ini dengan datuk dan nenek, pengasuh, guru, dan sesiapa sahaja yang menjaga anak anda.

Langgani surat berita pengasuhan kami.