Pengasuhan Positif

Kanak-kanak Juga Boleh Menghidap Artritis

Artritis dalam kalangan kanak-kanak dikenali sebagai Artritis Idiopatik Juvenil (JIA). JIA didiagnosis apabila radang sendi berlaku pada kanak-kanak berumur bawah 16 tahun dan berlanjutan sekurang-kurangnya enam minggu atau lebih. JIA ialah sejenis penyakit autoimun, di mana sistem imun badan menjadi terlalu aktif dan menyerang sendi yang sihat. Ini menyebabkan sendi menjadi bengkak dan sakit. Jika keradangan tidak dirawat atau dikawal, ia boleh merosakkan rawan dan tulang di sekitar sendi secara beransur-ansur.

Berapa kerap JIA berlaku?

Berdasarkan data global, kira-kira satu dalam setiap 1000 kanak-kanak menghidap artritis. Di Malaysia, kes JIA semakin meningkat setiap tahun. Dahulu, apabila kanak-kanak mengalami sakit atau bengkak sendi, ia sering dianggap sebagai “sakit semasa tumbesaran” atau jangkitan virus ringan. Namun kini, kesedaran tentang artritis kanak-kanak semakin meningkat. Rujukan awal daripada doktor, ibu bapa, dan guru juga semakin kerap kerana tanda-tanda dapat dikesan lebih awal.

Apakah punca JIA?

Perkataan “idiopatik” dalam JIA bermaksud punca sebenar penyakit ini masih belum diketahui. Kita tahu keradangan sendi berlaku akibat proses autoimun, tetapi punca tepatnya masih tidak jelas. Walau bagaimanapun, beberapa faktor risiko seperti gen tertentu atau sejarah keluarga dengan penyakit autoimun boleh meningkatkan risiko. Dalam kanak-kanak yang mempunyai kecenderungan genetik, pencetus persekitaran seperti jangkitan, stres, pencemaran, atau toksin boleh mengaktifkan penyakit ini.

Apakah gejala biasa JIA?

  • Sakit sendi
    Sesetengah kanak-kanak mengadu sakit sendi, tetapi mungkin ada yang tidak mengadu dan sekadar menyesuaikan diri. Mereka mungkin kurang berlari, berhenti menaiki tangga, atau hanya menggunakan sebelah tangan. Ibu bapa atau guru mungkin perasan anak berjalan tempang, cepat letih, atau kurang aktif.
  • Bengkak sendi
  • Kekakuan sendi
    Kekakuan merupakan tanda penting JIA. Contohnya, apabila bangun pagi, sendi terasa “kaku” atau sukar digerakkan. Kanak-kanak mungkin mengambil masa lebih lama untuk bangun atau berpakaian. Kekakuan ini biasanya berkurang selepas bergerak, tetapi jika tidak dirawat, ia boleh menjejaskan kehidupan harian.

Apakah jenis-jenis JIA?

JIA bukan satu penyakit tunggal tetapi merangkumi beberapa jenis artritis dalam kanak-kanak. Secara amnya, JIA dibahagikan kepada tujuh subjenis:

  • JIA Oligoartikular: Melibatkan empat atau kurang sendi.
  • JIA Poliartikular Faktor Rheumatoid Negatif: Sekurang-kurangnya lima sendi terlibat, tetapi ujian faktor rheumatoid negatif.
  • JIA Poliartikular Faktor Rheumatoid Positif: Sekurang-kurangnya lima sendi terlibat dan faktor rheumatoid positif.
  • JIA Entesitis: Artritis bersama radang pada tendon atau ligamen yang bersambung dengan tulang.
  • JIA Psoriatik: Artritis bersama ruam psoriasis.
  • JIA Sistemik: Apabila keradangan menjejaskan seluruh badan, lalu anak bukan saja menghidap artritis, malah gejala seperti demam, ruam, dan kelenjar bengkak.
  • Artritis Tidak Khusus: Tidak dapat diklasifikasikan dalam mana-mana kategori di atas.

Bagaimana JIA didiagnosis?

Doktor akan meneliti sejarah perubatan lengkap, termasuk maklumat tentang sendi yang terlibat dan gejala lain. Pemeriksaan fizikal menyeluruh juga akan dilakukan. Seterusnya, doktor mungkin menjalankan ujian darah dan ujian pengimejan untuk menyokong diagnosis. Oleh kerana JIA juga boleh menjejaskan mata, semua kanak-kanak dengan JIA perlu menjalani pemeriksaan mata.

Bagaimana JIA dirawat?

Matlamat rawatan JIA adalah untuk mengurangkan keradangan, melegakan kesakitan, dan melindungi sendi daripada kerosakan lanjut. Antara rawatan yang biasa digunakan ialah:

  • NSAIDs (ubat anti-radang bukan steroid): Contohnya ibuprofen dan naproxen untuk mengurangkan sakit dan bengkak.
  • Steroid: Boleh diberi melalui infusi, melalui mulut, atau disuntik terus ke sendi yang terjejas. Digunakan sebagai rawatan perantara untuk mengawal gejala sehinggalah ubat lain seperti DMARD dan biologik memberi kesan.
  • DMARD (ubat antirheumatik pengubah penyakit): Bertindak lebih perlahan berbanding steroid, tetapi membantu mengawal artritis dalam jangka panjang, lalu membolehkan doktor untuk mengurangkan dan menghentikan dos steroid.
  • Rawatan biologik: Rawatan lebih khusus yang menyasarkan laluan sistem imun tertentu untuk mengawal keradangan dengan lebih berkesan.

Apa yang boleh berlaku jika JIA tidak dirawat awal?

Jika tidak dirawat dengan betul, JIA boleh menyebabkan komplikasi seperti:

  • Kerosakan dan kecacatan sendi
  • Masalah pertumbuhan (contohnya panjang anggota badan tidak sekata atau pertumbuhan terbantut)
  • Kekakuan kekal dan kehilangan fungsi sendi
  • Osteoporosis akibat keradangan kronik atau penggunaan steroid jangka panjang

Diagnosis awal dan rawatan yang lebih baik telah banyak mengubah kehidupan kanak-kanak yang menghidap artritis. Dengan rawatan yang betul, kanak-kanak ini kini boleh menjalani kehidupan yang aktif dan bebas daripada kesakitan.

Langgani surat berita pengasuhan kami.