Dalam cuaca Malaysia yang panas dan lembap, mengekalkan tahap hidrasi bukan hanya penting – malah hal yang wajib. Kebanyakan ibu bapa memberi sepenuh perhatian pada pemakanan anak-anak, namun ramai yang terlepas pandang apa yang mereka minum.
Mengapa hidrasi penting
Kanak-kanak lebih sensitif terhadap dehidrasi berbanding orang dewasa. Kehilangan cecair walaupun sedikit boleh menjejaskan tahap tenaga, mood dan fokus mereka.
Tidak minum air kosong yang mencukupi boleh menyebabkan keletihan, sakit kepala dan sembelit – masalah kesihatan yang sering diambil ringan. Kanak-kanak yang mengalami dehidrasi juga mungkin kelihatan mudah marah atau meragam “tanpa sebab”, sedangkan badan mereka hanya memerlukan lebih banyak cecair.
Dehidrasi bukan saja menjejaskan apa yang anak anda rasa, tetapi juga bagaimana mereka belajar dan bermain. Otak yang haus sukar untuk fokus, manakala otot mudah letih, lalu mengurangkan ketahanan semasa bersukan atau kelas Pendidikan Jasmani.
Perangkap manis minuman bergula
Air kosong adalah satu-satunya minuman yang benar-benar diperlukan oleh anak anda. Ia bebas kalori, bebas gula dan menyokong setiap fungsi tubuh – daripada pencernaan hingga kawalan suhu badan.
Sebaliknya, banyak minuman popular di Malaysia – jus, teh boba, susu berperisa – dipenuhi gula tersembunyi. Hanya satu hidangan boleh melebihi pengambilan gula harian yang disyorkan untuk anak anda!
“Kalori kosong” ini bukan sahaja meningkatkan risiko pertambahan berat badan dan diabetes mellitus jenis 2 pada masa depan, tetapi gula dan asid juga merosakkan enamel gigi dan menyebabkan kaviti.
Lebih teruk lagi, lonjakan gula tersebut hanya sementara dan diikuti dengan kejatuhan tenaga yang membuatkan anak anda letih, mudah marah dan lapar semula.
5 cara untuk galakkan kanak-kanak minum lebih banyak air kosong
Mengajar kanak-kanak untuk menyukai air kosong memerlukan kreativiti dan konsistensi. Berikut beberapa strategi mudah dan sesuai di rumah:
- Jadikan ia menyeronokkan dan berperisa: Campurkan air kosong dengan hirisan lemon/ oren, timun, tembikai atau daun pudina untuk sedikit rasa manis semula jadi. Anda juga boleh bekukan hirisan buah menjadi kiub ais – ia kelihatan menarik dan memastikan air kekal sejuk lebih lama.
- Beri mereka botol sendiri: Benarkan anak memilih botol air dengan warna atau watak kartun kegemaran mereka. Sama ada di sekolah atau taman permainan, anak lebih cenderung minum jika ia rasa seperti milik mereka.
- Tetapkan rutin minum air: Galakkan minum air kosong pada masa-masa tertentu – selepas bangun tidur, sebelum sekolah, ketika bermain dan semasa makan. Walaupun mereka tidak rasa haus, ini membantu membentuk tabiat.
- Pastikan air mudah dicapai: Di rumah, letakkan jag air sejuk (boleh tambah hirisan buah untuk warna) di tempat rendah supaya anak boleh mengambil sendiri pada bila-bila masa. Lebih mudah ia diakses, lebih tinggi kemungkinan mereka minum.
- Jadi contoh teladan: Kanak-kanak meniru apa yang mereka lihat. Jika mereka nampak anda memilih segelas air kosong berbanding teh o ais limau atau soda, mereka akan mengikut anda. Jadikan ia tabiat keluarga – “Kami semua minum air kosong semasa makan!”
Tabiat sihat sepanjang hayat
Pilihan kecil setiap hari boleh membawa perubahan besar. Menggalakkan anak minum air kosong berbanding minuman manis bukan sahaja memastikan mereka sihat hari ini – ia membentuk tabiat lebih baik sepanjang hayat, gigi lebih kuat, minda lebih tajam dan mood lebih ceria.
Oleh itu, jika anak anda minta minuman manis lagi, mulakan dengan langkah kecil. Tawarkan segelas air kosong yang sejuk dan menyegarkan – mungkin dengan hirisan oren – dan tunjukkan bahawa minuman terbaik di dunia tidak datang dalam kotak.

