Pengasuhan Positif

Bekal Bijak, Anak Gembira

Apa yang kanak-kanak makan di sekolah boleh memberi kesan yang besar kepada mereka. Bekal makan tengahari yang seimbang menguatkan badan, memastikan tahap tenaga yang stabil, dan membantu mereka peka serta fokus sepanjang hari.

Bekal makan tengahari yang mengandungi makanan bergula, bergaram, atau berminyak boleh menyebabkan “sugar crash”, kelesuan, dan lemah tumpuan. Makanan seperti coklat, kuih, dan minuman bergula boleh memberikan lonjakan tenaga segera, namun sering menyebabkan kanak-kanak letih tidak lama kemudian. Tambahan pula, makanan seperti mi segera, nuget goreng, dan keropok biasanya tinggi garam, lemak, dan bahan tambahan, dan ini bukan saja menjejaskan tenaga, tetapi juga kesihatan, imuniti, dan kesejahteraan.

Apa yang patut ada dalam bekal seimbang?

  1. Buah-buahan dan sayur-sayuran: Kaya dengan serat pemakanan, vitamin, dan antioksidan. Sasarkan kepelbagaian warna dan tekstur.
    • Contoh: potongan timun, hirisan epal, tomato ceri.
  2.  Bijirin penuh: Memberikan tenaga yang stabil dan tahan lama.
    • Contoh: beras perang, roti gandum penuh, roti pita atau pasta bijirin penuh.
  3. Protein: Menyokong pertumbuhan, membina otot, dan memastikan anak kenyang lebih lama.
    • Contoh: ayam panggang, telur, tauhu, ikan, tempe.
  4. Lemak sihat: Menyokong perkembangan otak.
    • Contoh: avokado, mentega kacang, kacang dan bijian.

Nota: Sentiasa peka terhadap alahan jika kanak-kanak berkongsi makanan di sekolah.

Contoh kombinasi hidangan bekal

Kombinasi 1

  • Sate ayam mini (tanpa tulang, tanpa lidi)
  • Potongan timun dan tomato ceri
  • Sandwic roti gandum penuh dengan sapuan nipis kuah kacang
  • Hirisan epal

Kombinasi 2

  • Nasi perang goreng dengan kacang pis, lobak merah, ikan bilis, dan telur (kurang minyak)
  • Potongan betik

Kombinasi 3

  • Mihun goreng dengan sayur-sayuran dan ayam carik
  • Telur rebus
  • Pisang

Idea kreatif untuk hidangan menyeronokkan

Untuk hidangan utama:
Popia mini DIY (do-it-yourself)

  • Sapu sedikit sos manis pada kulit popiah.
  • Isi dengan lobak merah parut, salad carik, tauhu lenyek, atau telur

Untuk hidangan utama:
Bento nasi kerabu

  • Nasi biru (guna bunga telang), kobis carik, lobak merah parut, hirisan telur.
  • Hidang dengan kepingan kecil ikan panggang.
  • Tambah serunding kelapa sebagai perisa.

Untuk pencuci mulut:
Buah cucuk

  • Cucuk potongan nanas, tembikai susu, dan jambu air.
  • Hidang dengan pencicah yogurt.

Mengatasi pemakan cerewet

Untuk menggalakkan tabiat makan yang lebih sihat dan mengurangkan cerewet makan, libatkan anak anda semasa menyediakan bekal. Beri mereka peluang merancang menu dan minta mereka pilih antara dua atau tiga pilihan sihat. Makanan yang kelihatan menarik juga boleh membantu – guna acuan biskut untuk membuat bentuk yang menyeronokkan atau sediakan bekal menggunakan kotak bento yang mempunyai bekas pencicah sendiri. Rutin mudah, seperti meluangkan masa sekali seminggu untuk menyediakan makanan bersama, bukan saja boleh memupuk kemahiran hidup yang berharga tetapi juga membuatkan kanak-kanak lebih cenderung menikmati makanan yang mereka bantu sediakan.

Senarai semak untuk ibu bapa

  • Pastikan saiz hidangan sesuai dengan umur
  • Elakkan makanan ringan bergula, bergaram, atau berminyak
  •  Sertakan air kosong
  • Guna bekas berpenebat untuk makanan panas atau sejuk
  • Label semua bekas bekal dengan nama anak anda

Sedikit perubahan pada bekal makan tengahari boleh mendatangkan kesan besar pada cara kanak-kanak belajar, bermain, dan membesar sepanjang hari.

Langgani surat berita pengasuhan kami.