Pengasuhan Positif

Mencegah Remaja Daripada Melarikan Diri

Di Malaysia, seperti di tempat-tempat lain di dunia, kebanyakan kanak-kanak yang hilang atau lari dari rumah adalah berasal daripada keluarga yang sedang dalam keadaan konflik (akibat keganasan domestik, penyalahan gunaan dadah/penderaan seks oleh ibu bapa, pengabaian, dll) dan pengaruh rakan sebaya, terdapat juga sebab-sebab lain:

faktor-faktor-menyebabkan-remaja-hilang

Remaja yang lari dari rumah terdedah kepada perkara seperti dadah, alkohol, keganasan seks dan fizikal yang boleh mengakibatkan keadaan mental mereka merudum. Selain itu, kanak-kanak mungkin mengalami kesan secara langsung penderitaan fizikal dan emosi kerana kurangnya sokongan keluarga, atau kekangan kewangan.

Tanda-tanda yang anak remaja anda mungkin sedang berfikir untuk melarikan diri:

  • Perubahan mood yang keterlaluan atau suka melawan
  • Perasaan harga diri yang amat rendah
  • Menjadi tidak responsif, suka memencilkan diri dan sentiasa kemurungan
  • Menyisihkan diri daripada masyarakat.
  • Prestasi di sekolah merudum dan kerap ponteng sekolah.
  • Perubahan penampilan yang ketara seperti pengurangan berat badan yang ketara atau kurang memberi perhatian kepada kebersihan diri.
  • Berbohong atau mencuri
  • Penggunaan dadah atau alkohol.
  • Mempunyai kecendurangan atau pernah menyatakan hasrat untuk membunuh diri.
  • Memiliki senjata atau peralatan berbahaya lain (contohnya pisau buatan sendiri, parang, dll.).

Kajian Menunjukkan

Kanak-kanak lebih cenderung kepada tingkah laku yang menyimpang seperti lari dari rumah apabila ibu bapa kurang berkemahiran dalam menjaga dan menunjukkan kasih sayang , atau berkasar dan tidak konsisten.

Mencegah Masalah Dari Awal

  • Baiki hubungan dengan anak anda sebelum ia bertukar menjadi satu krisis. Tidak kira apa perbalahannya, sentiasa yakinkan anak remaja anda bahawa anda menyayangi mereka tanpa belah bahagi.
  • Jadilah pendengar yang baik dan cuba lebih empatik terhadap masalah mereka.
  • Berbincang secara matang, anak remaja anda akan menghargainya.
  • Wujudkan hubungan yang boleh dipercayai di antara ibu bapa dan anak dengan memberi sedikit kebebasan mengikut kesesuaian umur dan berikan lebih banyak ruang untuk mereka menerokai diri mencari peluang.
  • Bertanyakan mengenai aktiviti harian mereka, apa yang membuat mereka risau, mengenali rakan-rakan mereka atau berbincanglah mengenai sebarang perkara peribadi.
  • Mengajar kemahiran menyelesai dan mengatasi masalah (seperti bertanggungjawab, akauntabiliti, dll). Pastikan mereka mengetahui bahawa adalah lebih baik untuk berhadapan dengan sesuatu masalah daripada melarikan diri darinya.
  • Pastikan mereka berasa selesa untuk mendekati anda bagi mendapatkan sokongan, bimbingan atau nasihat ketika mereka memerlukannya – jangan terlalu cepat untuk menghakimi atau merendah-rendahkan mereka.
  • Kenalpasti pencetus-pencetus yang boleh menyebabkan anak anda membuat keputusan berisiko dan ambil tindakan awal untuk mengelakkan masalah daripada menjadi lebih teruk.
  • Jangan cabar anak anda untuk melarikan diri.

Bagaimana Untuk Bertindak Balas/Respon Apabila/Jika Mereka Kembali

  • Jangan berbincang secara terperinci lagi, mulakan dengan beritahu mereka bahawa anda bimbang dan perlu berbincang mengenai apa yang telah berlaku.
  • Jangan mengatakan perkara seperti “Dah agak dah, mesti balik punya!” Hindarkan daripada menempelak mereka dengan mengatakan bahawa anda betul atau idea anda adalah lebih baik. Sebaliknya, cuba bersikap lebih matang dan gunakan bahasa yang lebih meyakinkan dan lembut.
  • Jika anak remaja anda lambat balik ke rumah, jangan memarahi atau memukulnya. Sebaliknya, gunakan pendekatan yang lebih tenang, sabar dan kreatif. Ia bukan satu kelemahan; malah anda akan mempamerkan kematangan dalam kewibawaan dan akan dihormati oleh anak anda tanpa perlu mengangkat satu jaripun.
  • Cuba berusaha bersama-sama untuk membuat perubahan dan jangan mengelakkan masalah yang menyebabkan anak remaja anda lari dari rumah asalnya. Kunci hubungan yang baik ialah toleransi, komunikasi, memahami antara satu sama lain dan kepercayaan. Justeru, jangan bersifat terlalu defensif atau egotistik.
  • Berbincang mengenai masalah, bukan kesalahan yang dilakukan-elakkan dari tuduh-menuduh.
  • Jika anak remaja anda enggan bercakap dengan anda atau anda tidak dapat berbuat sebarang kemajuan, dapatkan seseorang yang anda dan anak anda hormati sebagai pengantara perbincangan.

preventing-teen-runaways-2

Usah Bimbang

Adakalanya, yang terbaik diantara kita pun membuat kesilapan & mengata/melakukan sesuatu yang dikesali. Ia tidak bermakna anda bukan ibubapa yang baik.

Paling utama, ibu bapa perlu melengkapkan diri mereka dengan kemahiran pengasuhan yang positif, mengendalikan stres dengan baik, meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan lebih terbuka untuk mendengar masalah anak-anak. Teruskan usaha anda untuk memperbaiki hubungan anda dan libatkan anak anda dalam menetapkan peraturan dalam rumah. Melarikan diri mungkin tanda bahawa terdapat masalah yang lebih serius; oleh itu jangan malu untuk mendapatkan bantuan profesional.

Dengan kerjasama Persatuan Kesihatan Remaja Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen