Pengasuhan Positif

Apabila Rumah Terasa Jauh: Memahami dan Menyokong Remaja yang Lari dari Rumah

Sebagai ibu bapa, kita berusaha mencipta persekitaran yang penuh kasih sayang dan selamat untuk anak-anak. Namun, kadangkala, walaupun dengan usaha terbaik, remaja tetap terdorong untuk lari dari rumah. Mendengar berita tentang remaja yang lari dari rumah boleh menimbulkan kebimbangan, dan banyak persoalan timbul: Mengapa ini berlaku? Apakah risiko yang mereka hadapi? Dan yang paling penting, apa yang boleh dilakukan ibu bapa jika anak mereka melarikan diri?

Memahami ‘mengapa’ remaja lari dari rumah
Remaja jarang melarikan diri secara tiba-tiba. Kebanyakan insiden melibatkan pelbagai faktor seperti tekanan emosi, masalah peribadi, dan persekitaran yang mencabar. Memahami faktor-faktor ini dapat membantu keluarga bertindak dengan empati dan sokongan.

Antara sebab-sebab biasa termasuk:

  • Konflik keluarga: Pertengkaran berterusan di kalangan ahli keluarga, perceraian ibu bapa, atau perasaan tidak dilayani di rumah boleh mendorong remaja melarikan diri daripada ketegangan atau pengabaian emosi.
  • Penderaan atau pengabaian: Penderaan fizikal, emosi, atau seksual – serta pengabaian secara amnya – boleh menjadikan rumah terasa tidak selamat.
  • Masalah kesihatan mental: Kemurungan, kebimbangan, atau perasaan harga diri yang rendah, ditambah pula dengan tekanan di sekolah atau kekurangan sokongan, boleh membebankan remaja.
  • Hubungan romantik: Hubungan dengan teman yang tidak diterima oleh ibu bapa boleh mendorong remaja meninggalkan rumah.
  • Tingkah laku berisiko tinggi: Penglibatan dengan kegiatan berbahaya atau terlarang dan aktiviti berisiko atas talian boleh menimbulkan konflik di rumah.
  • Pengaruh rakan sebaya: Rakan yang menggalakkan keingkaran terhadap ibubapa atau kebebasan dai inubapa boleh mempengaruhi remaja untuk lari.
  • Penolakan identiti jantina: Remaja yang bergelut dengan identiti jantina atau seksual, mungkin lari dari rumah jika mereka rasa tidak selamat atau didiskriminasi.
  • Mengelakkan hukuman: Ada remaja yang lari untuk mengelakkan konfrontasi atau takut dimarah.

Tanda amaran dan risiko
Remaja yang berfikir untuk lari biasanya menunjukkan tanda-tanda tekanan emosi. Ini termasuk pengasingan diri, perubahan mood mendadak, meminggirkan diri daripada aktiviti keluarga, atau
meluahkan rasa tidak difahami serta putus asa.

Jika tidak ditangani, masalah ini boleh menjadi lebih serius. Remaja yang meninggalkan rumah berdepan pelbagai bahaya – daripada eksploitasi, pemerdagangan manusia, penyalahgunaan dadah, hinggalah keganasan fizikal dan krisis kesihatan mental. Tanpa tempat tinggal atau sumber kewangan, ramai terpaksa mengambil tindakan lebih berisiko untuk bertahan hidup.

Apa yang boleh dilakukan ibu bapa
Jika anak remaja anda lari dari rumah, bertenang dan bertindak segera:

  • Hubungi pihak polis dengan segera. Buat laporan tentang kehilangan anak anda dan berikan gambar terkini serta butiran penting.
  • Hubungi rakan, ahli keluarga, dan pihak sekolah yang mungkin ada maklumat tentang mereka.
  • Semasa menunggu berita, jangan saling menyalahkan satu sama lain. Cuba bertenang dan fokus bagi mengekalkan komunikasi yang terbuka.

Apabila dia pulang, dengar dahulu tanpa menghakimi. Cuba memahami sebab mereka lari dan akui emosi mereka. Membina semula kepercayaan mengambil masa, dan sokongan pakar sangat penting. Anda boleh dapatkan bantuan daripada organisasi seperti Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) yang menawarkan kaunseling dan panduan.

Akhir sekali, komunikasi terbuka, empati dan sokongan emosi yang konsisten amat penting untuk mencegah remaja daripada rasa ingin larikan diri. Wujudkan ruang untuk perbualan jujur, tunjukkan minat sebenar terhadap kehidupan mereka, dan ingatkan bahawa mereka sentiasa disayangi – tidak
kira apa jua yang berlaku.

Langgani surat berita pengasuhan kami.