Menangis ialah cara bayi berkomunikasi. Tangisan bayi mengisyaratkan penjaga untuk segera memberi perhatian kepada mereka. Namun begitu, si kecil akan terus meragam jika punca tangisan tidak berjaya dikenal pasti dan ini bakal meresahkan seluruh isi rumah. Ibu bapa juga akan mula ragu-ragu akan kemahiran pengasuhan mereka jika mereka berulang kali gagal menenangkan bayi yang sedang menangis.
Punca-punca bayi menangis
Ibu bapa tidak berupaya untuk berada di samping bayi mereka setiap masa, jadi tidak mengapa jika anda biarkan si kecil meminta bantuan apabila diperlukan. Antara punca bayi menangis adalah:
- Kelaparan
Bayi kerap rasa lapar disebabkan kadar tumbesaran yang cepat dan saiz perut yang kecil. Dalam keadaan ini, tangisan mereka akan bernada rendah serta berulang-ulang.
- Lampin kotor
Lampin yang basah dan kotor boleh menyebabkan kerengsaan pada kulit mereka yang halus dan sensitif. Jika dibiarkan terlalu lama atau kulit tidak dibersihkan dengan sempurna, bayi anda boleh mendapat ruam lampin yang menyebabkan ketidakselesaan.
- Kepenatan
Bayi memerlukan tidur 12-18 jam setiap hari. Gangguan berulang kali dalam bentuk bunyi, sentuhan, dan cahaya akan mengakibatkan tidur serta rehat yang tidak mencukupi dan membuatkan mereka meragam.
- Ketidakselesaan
Tag pakaian atau cadar di tempat yang tidak sesuai, atau benang pakaian yang kasar, akan kerap bergesel dengan kulit dan membuat mereka rimas, begitu juga dengan pakaian yang terlalu ketat.
- Jatuh sakit
Bayi biasanya akan menangis apabila jatuh sakit, dan kesakitan yang teruk akan membuatkan tangisan mereka bernada tinggi. Perhatikan tanda-tanda penyakit yang lain seperti demam, muntah, ruam, kelemahan badan, kurang selera makan, tidur yang terganggu, dan kurang aktif berbanding biasa.
- Kolik
Perkataan ini merujuk kepada tangisan berpanjangan yang sukar diredakan dalam kalangan bayi yang sihat dan cukup makan, yang mana merupakan situasi biasa sepanjang tiga bulan pertama kelahiran. Kolik bayi biasanya akan hilang sendiri semakin bayi anda membesar.
| Formula 3 untuk mengenal pasti kolik bayi
Menangis: · Lebih daripada 3 jam sehari · Lebih daripada 3 hari seminggu · Lebih daripada 3 minggu |
5 cara menenangkan bayi menangis
Selepas punca tangisan dikenal pasti, langkah seterusnya adalah membantu bayi anda dengan sewajarnya. Menenangkan bayi bukan sahaja dapat mengukuhkan hubungan anda dengan anak anda tetapi juga dapat membina kepercayaan dan mengurangkan kekerapan tangisan si kecil dari semasa ke semasa. Berikut ialah 5 tips yang boleh diamalkan:
- Tangani punca
Kebanyakan masa, penyelesaiannya adalah jelas. Tangani punca kesulitan mereka dengan memberi makan, menukar lampin, dan mendodoikan mereka sehingga tidur. Ini dapat menenangkan dan meredakan tangisan bayi anda dengan mudah.
- Sediakan persekitaran yang selesa
Oleh kerana kebanyakan masa bayi dihabiskan dengan berbaring, pakaian mereka harus diperbuat daripada bahan yang lembut dan telap udara seperti kapas, dan tidak terlalu ketat atau terlalu longgar, manakala bilik tidur mereka pula haruslah tidak terlalu sejuk, panas, atau terang.
- Jalin ikatan dengan bayi anda
Mendukung serta mengurut tubuh bayi kadangkala dapat menghentikan tangisan. Sentuhan kulit ke kulit terbukti dapat menenangkan bayi dan ibu bapa. Salah satu teknik untuk mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak ialah Penjagaan Ibu Kanggaru, yang dilakukan dengan mendukung bayi anda rapat ke dada supaya kedua-dua kulit dapat bersentuhan.
- Gunakan strategi 5S
Mengeluarkan bunyi shh (shushing), membedung (swaddling), mendodoi (swinging), menghisap jari atau payudara (sucking), dan mendukung dari sisi atau perut (side or stomach) mengingatkan bayi akan waktu mereka di dalam rahim dan membuatkan mereka tenang.
- Dapatkan pertolongan
Apabila semua cara di atas gagal, ibu bapa harus segera berunding dengan pakar perubatan, lebih-lebih lagi apabila bayi mereka menangis terlalu lama dan menunjukkan kurang selera makan atau gejala-gejala lain. Jika bayi anda tidak sakit dan anda rasa terlalu tertekan atau penat dengan tangisannya, anda boleh meminta orang lain untuk mengambil alih penjagaan buat sementara waktu. Waktu rehat adalah penting bagi menjamin kesihatan serta keselamatan bayi dan ibu bapa.
Ibu bapa akan lebih mahir dalam mengurus bayi menangis apabila pengalaman mereka semakin bertambah. Mengetahui pelbagai sebab mengapa si kecil anda menangis dan mengunakan teknik yang betul ketika menenangkannya dapat mengelakkan masalah di samping meningkatkan keyakinan anda sebagai ibu bapa.

