Pengasuhan Positif

Kepentingan Ikatan Awal

Bayi manusia lemah dan tak berdaya. Sebagai bayi, anak-anak kita bergantung kepada kita untuk segalanya – makan, membersihkan diri, keselamatan, keselesaan, dan pelbagai keperluan lagi. Maka, ikatan atau pertalian emosi awal dengan orang yang menjaga mereka – biasanya ibu bapa kandung – amatlah penting, bukan saja semasa membesar, malah dalam membentuk perhubungan mereka pada masa depan setelah dewasa.

Apakah itu ikatan?
Ikatan ialah hubungan emosi yang kuat dan berkekalan antara dua individu di mana kehadiran atau kerapatan masing-masing memberikan rasa selesa dan selamat kepada satu sama lain. Ini boleh dilihat dalam hubungan, contohnya antara ibu bapa dan anak-anak, adik-beradik, dan teman hidup.

Teori ikatan (attachment theory) pertama kali dijelaskan oleh John Bowlby (1950), seorang pakar psikiatri dan psikoanalisis British, sebagai salah satu penjelasan psikologi terawal yang menekankan peranan penting ikatan awal antara bayi dan ibu bapa atau penjaga (figura ikatan) dalam perkembangan sosio-emosi.

Teori ikatan mencadangkan bahawa bayi memiliki kecenderungan semulajadi untuk membentuk ikatan dengan penjaganya. Naluri untuk membina ikatan ini penting untuk bertahan hidup semasa bayi kerana kanak-kanak yang rapat dengan figura ikatan lebih berkemungkinan untuk mendapat keselesaan dan perlindungan, lalu bertahan sehingga dewasa. Maka, apabila bayi tertekan, terancam, atau ketakutan, mereka biasanya akan menunjukkan kelakuan ikatan (cth. menangis, merapatkan diri) untuk menarik perhatian figura ikatan utama.

Apabila penjaga hadir dan bertindak balas kepada keperluan bayi dan kelakuan ikatannya, mereka memberikan keselesaan dan membolehkan bayi rasa selamat. Ini mengajar bayi bahawa mereka boleh bergantung kepada penjaga dan membolehkan mereka meneroka dunia dengan lebih yakin. Teori ini juga mencadangkan bahawa ikatan awal antara penjaga dan anak ialah faktor utama dalam pembentukan hubungan kanak-kanak tersebut sepanjang hayatnya.

Peringkat ikatan

  • Asosial / praikatan (0 – 6 minggu): Bayi baru lahir belum menunjukkan ikatan kepada mana-mana individu. Kebanyakan rangsangan mencetuskan tindak balas baik daripadanya, seperti senyuman. Bayi mula belajar bahawa isyarat seperti menangis dan merengek boleh menarik perhatian penjaganya.
  • Ikatan umum (6 minggu – 7 bulan): Bayi membina kepercayaan bahawa penjaganya akan memenuhi keperluannya. Pada awalnya, kebanyakan bayi akan bertindak balas dengan sama rata kepada mana-mana penjaga. Bermula umur tiga bulan, bayi mula membezakan antara orang yang dikenali dan tidak dikenali. Bayi masih menerima jagaan daripada orang lain tapi bertindak balas dengan lebih positif kepada penjaga utama.
  • Ikatan khusus (7 – 9 bulan): Bayi mencari orang tertentu untuk rasa selesa dan selamat apabila tertekan. Bayi menunjukkan ikatan yang kuat dan kecenderungan kepada seseorang yang khusus (figura ikatan utama). Bayi menunjukkan rasa tidak gembira apabila terpisah daripada figura ikatan utama (keresahan pemisahan) dan kelihatan gelisah dengan orang yang tidak dikenali (keresahan orang asing).
  • Ikatan berbilang (10 bulan ke atas): Bayi mula lebih berdikari dan boleh membentuk banyak ikatan dengan pengasuh lain, seperti bapa, saudara lebih tua, nenek dan datuk. Ikatan-ikatan ini berbeza dari segi kekuatan dan kepentingan kepada bayi.

Gaya ikatan
Apabila kanak-kanak mencapai umur petatih, mereka mula menetapkan gaya ikatan mereka, iaitu cara khusus seseorang terikat dengan orang lain. Berikut adalah empat gaya ikatan:

  • Ikatan kukuh: Kanak-kanak dengan ikatan kukuh menunjukkan keresahan apabila terpisah daripada penjaga dan mudah ditenangkan apabila penjaga kembali. Mereka yakin bahawa penjaga akan bertindak balas sesuai dengan keperluan mereka dan menganggap penjaga sebagai pangkalan selamat untuk pulang setelah meneroka persekitaran. Ini gaya ikatan paling biasa.
  • Ikatan resah / ambivalen: Kanak-kanak dengan ikatan resah jadi amat resah apabila terpisah daripada penjaga dan sukar ditenangkan apabila penjaga kembali. Mereka tidak pasti jika penjaga bersedia dan boleh bertindak balas sesuai dengan keperluan mereka. Mereka juga kurang yakin untuk meneroka persekitaran dan takut dengan orang asing.
  • Ikatan tidak acuh / mengelak: Kanak-kanak dengan ikatan mengelak tidak menunjukkan keresahan apabila terpisah daripada penjaga dan biasanya tidak peduli atau mengelakkan penjaga apabila mereka kembali. Mereka kelihatan mampu menguruskan keresahan sendiri dan tidak menunjukkan isyarat mencari keselesaan. Mereka juga biasanya tidak membezakan antara penjaga dan orang asing.
  • Ikatan bercelaru / takut: Kanak-kanak dengan ikatan bercelaru menunjukkan tindak balas yang mengelirukan, seperti kaku atau kelihatan tidak keruan, apabila penjaga pergi atau kembali. Mereka tidak mampu menguruskan keresahan berdasarkan hubungan mereka dengan penjaga. Gaya ikatan ini berkait dengan tindak balas penjaga yang tidak konsisten, apabila penjaga menjadi sumber bagi keselesaan dan ketakutan. Ini gaya ikatan paling jarang.

Kesan ikatan awal ke atas hubungan masa depan
Kanak-kanak yang terikat secara kukuh biasanya lebih berdikari dan berdaya tahan, lebih berkeyakinan diri, dan mempunyai prestasi lebih baik di sekolah. Gaya ikatan semasa zaman kanak-kanak juga boleh mempengaruhi kebolehan untuk membentuk hubungan sihat apabila dewasa, termasuklah hubungan romantik.

Kajian menunjukkan bahawa gaya ikatan boleh mempengaruhi komunikasi antara pasangan, risiko keganasan dalam hubungan, serta kualiti perkahwinan secara amnya. Dan apabila mereka sendiri menjadi ibu bapa, gaya ikatan mereka mungkin berperanan dalam membentuk ikatan mereka dengan anak mereka sendiri. Maka, tanpa perubahan atau pembelajaran baru, gaya ikatan seseorang boleh diwariskan dan berulang merentas generasi.

Namun, terdapat pelbagai faktor lain juga yang membentuk hubungan kita dengan orang lain, bukan hanya gaya ikatan. Contohnya, gaya pengasuhan anda, sama ada autoritarian, autoritatif, permisif, atau tidak terlibat, juga berperanan penting dalam memupuk perkembangan konsep diri dan keyakinan diri anak anda.

Sebagai ibu bapa, perkara terbaik yang boleh dilakukan adalah membina ikatan kukuh dengan anak anda dengan menjadi peka terhadap isyarat ikatan mereka dan bertindak balas sesuai dengan keperluan mereka. Jika anda risau tentang kelakuan anak anda, rujuk pakar kesihatan, seperti pakar psikologi klinikal, bagi menilai situasi dengan tepat dan merancang pelan rawatan untuk menguruskan masalah tersebut dengan berkesan.

Langgani surat berita pengasuhan kami.