Pengasuhan Positif

Membesarkan Kanak-Kanak Kelainan Upaya

Kanak-kanak yang terencat akal sering dikaitkan sebagai mempunyai kekurangan keupayaan intelektual. Hal ini dikategorikan oleh kecerdasan bawah purata atau kemampuan mental (seperti pembelajaran, pemikiran logik, penyelesaian masalah dan lain-lain) dan kekurangan penyesuaian tingkah laku yang diperlukan untuk kehidupan harian (seperti kemahiran interpersonal, nilai kendiri, kemampuan untuk mengikuti peraturan / mematuhi undang-undang).

Banyak faktor yang boleh mencetuskannya, tetapi yang lebih ketara adalah; kecenderungan genetik (seperti sindrom down), komplikasi ketika hamil atau melahirkan anak (penyalahgunaan bahan), kecederaan (seperti hampir lemas), trauma (seperti pengabaian ibu bapa yang teru ) atau jangkitan (seperti meningitis).

Kenali Tanda-Tandanya

Mengetahui bila anak anda harus mencapai tahap perkembangan tertentu (rujuk artikel “Memupuk Kesihatan Mental dalam kalangan Kanak-kanak”) dapat memberikan anda petunjuk sama ada mereka membesar pada kadar yang normal atau sama ada perkembangan mereka terencat.

Kesedaran awal akan memastikan langkah pencegahan yang lebih baik dapat diambil untuk kanak-kanak tersebut. Maka, dapatkan bantuan profesional (seperti pakar kanak-kanak, doktor) dengan segera jika anda mengesan sebarang tanda-tanda perkembangan yang lewat.

Tanda-tanda tersebut mungkin muncul semasa bayi, atau tidak dapat dilihat sehingga kanak-kanak tersebut mencapai usia persekolahan. Tingkah laku yang biasa dilihat termasuklah:

  • Kekurangan atau perkembangan kemahiran motor, bahasa dan bantu diri yang lambat terutama jika dibandingkan dengan rakan-rakan sebaya
  • Kegagalan untuk berkembang secara intelektual atau tingkah laku yang berterusan seperti bayi
  • Kurang rasa ingin tahu
  • Kegagalan untuk menyesuaikan diri (menyesuaikan diri dengan situasi baharu)
  • Kesukaran memahami dan mengikut peraturan-peraturan sosial

Mendiagnos Permasalahanya

Penilaian dan klasifikasi kecacatan intelektual adalah masalah yang kompleks dan harus dilakukan oleh seorang profesional. Walau bagaimanapun, pada dasarnya, hal ini melibatkan:

  • batasan yang ketara dalam kebolehan intelektual
  • batasan yang ketara dalam penyesuaian tingkah laku
  • bermula sebelum usia 18 tahun

Ujian IQ adalah alat utama yang digunakan oleh para profesional dalam mengukur kebolehan intelektual.Ini juga termasuk ujian untuk batasan dalam penyesuaian tingkah laku (seperti konsep, sosial, dan kemahiran praktikal).

Secara amnya, skor ujian IQ sekitar 70 atau setinggi 75 menunjukkan keterbatasan dalam kebolehan intelektual.

Jangan Putus Harapan

Ibu bapa yang menjaga anak terencat akal akan melalui beberapa cabaran tertentu yang biasanya tidak dialami oleh kebanyakan ibu bapa lain. Ini termasuk (antara yang lain) penerimaan masyarakat terhadap anak mereka akibat stigma, menyalahkan diri sendiri sehingga membawa kepada kemurungan, dan rasa bimbang yang melampau mengenai kesejahteraan masa hadapan anak-anak mereka jika mereka meninggal dunia kelak.

Namun demikian, ini tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk mengabaikan mereka–masa hadapan, kesejahteraan dan kebahagiaan anak-anak adalah keutamaan. Pertimbangkan tip-tip yang berikut:

  • Belajar untuk menerima keadaan anak anda dan menghargai mereka tanpa mengira siapa mereka. Satu pandangan dan sikap positif yang bersesuaian adalah penting – anak anda memerlukan bantuan; membuang masa meratapi nasib anda adalah suatu yang tidak produktif.
  • Dapatkan maklumat sebanyak mana yang anda boleh mengenai keadaan anak anda. Lebih banyak anda tahu lebih baik sokongan yang boleh diberikan untuk anak anda.
  • Memainkan peranan yang aktif dan menyediakan persekitaran yang membolehkan anak anda membentuk kebolehan, kemahiran dan minatnya yang berbeza.
  • Ajar anak anda semua kemahiran hidup yang diperlukan untuk menjalankan fungsi seharian sekurang-kurangnya kebolehan melakukan perkara-perkara asas (contohnya kebersihan, wang, pemakanan dan sebagainya).
  • Daftar anak anda untuk program intervensi awal dengan seawal mungkin. Program-program ini diubahsuai untuk memenuhi keadaan, umur dan lengkung pembelajaran tertentu anak anda.
  • Ikuti dengan rapat kemajuan anak anda di sekolah bersama guru dan memperkuatkan apa yang diajar di rumah.
  • Merancang untuk masa hadapan mereka – keberdikarian penuh lebih baik tetapi mungkin sukar dicapai. Maka, pertimbangkan rawatan perubatan, kewangan dan perancangan sosial untuk anak anda dan pastikan ahli keluarga lain yang sudi (atau pun temanteman rapat) untuk terlibat.
  • Bersikap terbuka terhadap kaunseling oleh profesional untuk membantu anda mengatasi cabaran atau tekanan yang mungkin anda hadapi.
  • Anda tidak bersendirian dalam hal ini. Berhubung dengan ibu bapa lain yang memiliki anak-anak kurang upaya intelektual. Mereka boleh membantu dan menyokong anda pada masa-masa anda paling memerlukan.
  • Cari sokongan sosial yang ditawarkan oleh kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menangani beberapa cabaran yang bakal dihadapi.

Yang paling penting, limpahkan anak anda dengan kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya dan perkasakan anak anda dengan perasaan harga diri yang tinggi. Ingat, anak anda – walau dalam ketidaksempurnaannya– tetap adalah sebahagian dari diri anda. Anak-anak adalah anugerah yang dipinjamkan kepada anda untuk dihargai dan berterima kasih.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen