Pengasuhan Positif

Penyusuan susu ibu bagi bayi yang menghidap CHD

Kecacatan kongenital jantung boleh terjadi akibat faktor-faktor persekitaran seperti ibu yang merokok atau mengambil alkohol dan juga akibat genetik (seperti Trisomi 21 [Sindrom Downs] atau Trisomi 18 [Sindrom Edward]). Bayi-bayi mungkin menunjukkan tanda-tanda kegagalan jantung awal jika terdapat lubang yang besar di dalam jantung. Ada yang menjadi biru akibat aliran balik darah yang memintas paruparu. Kegagalan jantung datang dengan kesesakan nafas semasa menyusu.

Terdapat ibu-ibu yang mungkin khuatir untuk menyusukan bayi mereka dengan susu ibu kerana bimbang ia akan menerukkan lagi simptom anak mereka atau menyebabkan serangan. Berikut adalah beberapa salah tanggapan mengenai penyusuan susu ibu bagi bayi yang menghidap penyakit jantung kongenital:

Salah Tanggapan

1. Bayi yang menghidap penyakit jantung kongenital (CHD) hanya boleh menyusu formula secara eksklusif.

  • Kajian menunjukkan bahawa keberkesanan susu ibu meningkat dalam bayi-bayi pramatang atau bayi yang sakit. Susu ibu juga mudah dihadam dan mengandungi antibodi-antibodi yang tidak dapat diberi oleh formula.
  • Lazimnya melibatkan kombinasi formula, suplemen dan susu ibu.
  • Pihak hospital akan berunding tentang pilihan jenis penyusuan untuk bayi. Kesudahannya, keadaan semasa bayi akan menentukan pilihan yang terbaik.

2. Penyusuan susu ibu lebih cepat meletihkan bayi yang menghidap penyakit CHD berbanding penyusuan botol.

  • Para pakar bersetuju bahawa penghisapan, penelanan dan pernafasan adalah lebih mudah apabila bayi menyusu susu ibu jika teknik betul (pelekapan dan posisi yang betul) digunakan.

Apakah pelekapan yang betul?

Mulut bayi menutup seluruh puting, dagu dan hidungnya menyentuh payudara anda. Anda boleh mendengar bayi menelan dan anda tidak mengalami kesakitan. Penyusuan susu ibu tidak seharusnya menyakitkan puting anda.

posisi-penyusuan

3. Bayi yang menghidap penyakit CHD yang dirawat di unit penjagaan rapi tidak boleh diberi susu ibu.

  • Susu ibu perahan yang ditambah dengan suplemen boleh diberi kepada bayi di unit penjagaan rapi.
  • Bantu ibu-ibu berasa terlibat dalam perkembangan anak mereka di dalam unit penjagaan rapi.
  • Susukan bayi dengan penyusuan yang sekejap-kejap tetapi kerap dan pam susu anda apabila anda tidak boleh menyusukan bayi disebabkan halangan-halangan (iaitu bayi ditempatkan di dalam inkubator) dan kemudian susu yang diperah boleh diberi melalui tiub.
  • Walau apa jua, susu anda masih boleh disimpan dan digunakan apabila bayi sudah bersedia. Memerah susu anda juga akan mencegah komplikasi seperti kebengkakan payu dara, seriawan atau mastitis.

4. Bayi yang diberi susu botol pulih lebih cepat.

  • Kajian-kajian telah menunjukkan bahawa bayi yang menghidap penyakit CHD yang menyusu susu ibu bertambah berat badan lebih cepat daripada bayi sebaya yang diberi susu botol. Antibodi-antibodi di dalam susu ibu juga membantu bayi melawan jangkitan. Ini bermakna tempoh tinggal di hospital yang lebih singkat.
  • Keterukan penyakit tiada kaitan dengan penyusuan susu ibu, dan penyusuan susu ibu juga tidak menjejaskan penyakit.

Memandangkan penyusuan susu ibu adalah suatu aktiviti yang mengeratkan kasih sayang antara ibu dan anak, emosi ibu-ibu mungkin terganggu jika tidak menyusukan bayi. Oleh itu, ketekunan dan ketabahan sebuah unit keluarga yang menyokong termasuk ahli keluarga terdekat dan rakan-rakan amatlah penting. Tidak ada pengganti bagi kebaikan susu ibu untuk bayi baru lahir. Namun, jangan berasa tawar hati atau rendah diri jika anda tidak dapat menyusukan bayi anda dengan kerap. Yang lebih penting pada masa ini adalah bayi anda mendapat rawatan perubatan yang sempurna bagi penyakit jantungnya.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen