Pengasuhan Positif

Kaedah Utama Melegakan Sakit Ketika Bersalin

Bakal-bakal ibu sering risau apabila membayangkan kesakitan dan ketidakselesaan yang perlu mereka hadapi ketika waktu bersalin nanti. Namun begitu, ramai wanita telah melalui pengalaman ini sejak dahulu lagi dan berjaya mengharunginya dengan tabah.

Bukanlah niat saya untuk memperkecilkan sakit bersalin, tetapi ada cara untuk menghadapinya. Pengurusan sakit bersalin yang berkesan adalah penting – sakit yang melampau juga akan menyukarkan proses kelahiran. Mari kita lihat beberapa kaedah mengurangkan kesakitan yang boleh diambil oleh bakal-bakal ibu.

Kaedah tanpa perubatan

Kaedah ini berguna bagi para ibu yang tidak mahu terlalu bergantung kepada perubatan. Terdapat dua asas yang perlu difahami, iaitu:

  • Keadaan fizikal yang sihat. Melahirkan anak amat meletihkan, maka tahap kecergasan fizikal yang baik banyak membantu. Teruskan rutin senaman ringan secara kerap sepanjang tempoh mengandung dan elakkan senaman berat. Senaman paling mudah adalah berjalan di waktu pagi atau petang. Senaman rendah impak lain juga sesuai, cth: yoga pranatal, pilates.

Women walking in a park

  • Postur yang betul. Ini boleh mengurangkan keletihan dan sakit di bahagian belakang dan leher. Jika anda tidak pasti bagaimana untuk mendapatkan postur yang baik, tanya pakar ginekologi tentang postur berdiri dan duduk yang betul. Semasa bersandar, gunakan bantal kecil untuk menyokong badan dan kaki anda apabila perlu.

Good posture figure

Cara alternatif lain yang boleh digunakan untuk mengurangkan sakit bersalin:

  • Bola senaman. Bola besar berisi angin yang juga dipanggil bola fisioterapi/bola stabil ini biasa digunakan sebagai alat senaman. Ia juga boleh digunakan semasa mengandung sehinggalah bersalin agar anda lebih selesa. Contohnya, anda boleh duduk di atasnya, kemudian menggoyangkan badan sambil tunduk ke depan di atas katil dengan bantuan pasangan anda. Seperti alat senaman lain, anda perlu berhati-hati semasa menggunakannya.

Exercise ball

  • Rangsangan saraf elektrik transkutan (TENS). Terapi ini menggunakan arus elektrik rendah untuk merangsang saraf dan otot. Penggunaannya semasa mengandung perlu dikendalikan oleh pakar kerana ia boleh mencetuskan kelahiran jika elektrod diletakkan pada titik akupunktur yang salah dan menyebabkan kontraksi. Ia boleh digunakan dengan atau tanpa kaedah mengurangkan kesakitan yang lain.

Selepas bersalin, anda boleh mencuba urutan lepas bersalin untuk melegakan kesakitan, serta memulihkan tubuh. Urutan ini berguna dalam mempercepatkan proses pemulihan dan melegakan fizikal, mental dan emosi, terutamanya jika anda mengalami proses bersalin yang sukar.

Kaedah perubatan

Selain daripada kaedah kelegaan tanpa perubatan, terdapat juga pilihan kaedah perubatan yang telah terbukti. Ini termasuklah:

  • Sedutan gas. Campuran gas nitrus oksida dan oksigen disedut apabila kontraksi bermula. Ia tidak menghilangkan rasa sakit, tapi ia membantu mengurangkan kesakitan kontraksi. Ia juga tidak mengganggu kontraksi dan tidak kekal dalam tubuh ibu atau bayi selepas kelahiran.
  • Petidina ialah pilihan yang popular kerana ia selamat untuk ibu dan bayi. Ia boleh disuntik pada otot besar seperti punggung atau secara intravena. Namun, sebilangan wanita melaporkan rasa mual, disorientasi, sesak nafas, serta masih rasa sakit.
  • Satu pilihan berkesan yang disuntik terus ke saraf tunjang. Prosedurnya boleh menyakitkan, tapi apabila ia menunjukkan kesan, si ibu akan rasa kebas di bahagian bawah pinggang. Antara kesan sampingannya ialah rasa mual dan lemah, mungkin sukar melahirkan melalui vagina (kerana kekebasan), serta sakit/pedih di tempat suntikan.

Epidural

Sebelum anda membuat pilihan

Ibu mengandung boleh membincangkan pilihan yang sesuai dengan doktor mereka. Setiap cara ada kelebihan dan kekurangannya, jadi dapatkan maklumat lanjut daripada doktor anda untuk membuat keputusan yang tepat.

Jangan risau! Sama ada anda bersalin secara semula jadi, secara pembedahan Caesarean, atau dengan (atau tanpa) kaedah mengurangkan kesakitan, anda masih akan menjadi seorang ibu. Yang utama sekali, ia tubuh anda dan anda berhak untuk membuat pilihan dalam melahirkan anak anda.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen