Pengasuhan Positif

Bahaya Kehamilan Luar Rahim (Ektopik)

Kehamilan luar rahim adalah punca utama kematian ibu mengandung di Malaysia pada 2023 hingga melibatkan 15.4% daripada kematian ibu mengandung. Masalah ini berlaku apabila telur yang telah tersenyawa mula melekat (implantasi) dan membesar di luar rahim, biasanya di salur fallopion. Salur fallopion tidak boleh menampung tumbesaran janin, oleh itu telur tersenyawa tersebut tidak boleh berkembang di situ.

Jika tidak dikesan dan dirawat dengan segera, kehamilan luar rahim boleh menyebabkan maut akibat organ pecah dan pendarahan dalaman. Diagnosis dan rawatan awal, termasuklah ubatan atau pembedahan, adalah penting untuk mencegah komplikasi lanjut dan menjamin keselamatan ibu.

Terdapat beberapa tempat di dalam dan luar sistem pembiakan wanita di mana kehamilan luar rahim boleh terjadi, seperti yang ditunjukkan dalam ilustrasi berikut:

Faktor risiko

  • Penyakit keradangan pelvis
  • Pernah mengalami kehamilan luar rahim
  • Pernah menjalani pembedahan
  • Endometriosis

Gejala dan komplikasi
Gejala awal kehamilan luar rahim menyerupai kehamilan normal, dan ini menyukarkan kita untuk membezakan antara keduanya. Walaupun sesetengah petanda mungkin kelihatan tipikal, terdapat juga gejala abnormal yang mungkin menunjukkan komplikasi. Mengenal pasti perbezaan ini penting untuk diagnosis yang tepat.

  • Tanda kehamilan tipikal (kedua-dua kehamilan normal dan luar rahim):
    • Tidak datang haid
    • Kerap membuang air kecil
    • Payudara bengkak dan sensitif
    • Muntah-muntah
  • Tanda amaran kehamilan luar rahim:
    • Sakit di abdomen bawah atau pelvis: Sakit yang tertumpu di salah satu sisi abdomen bawah atau pelvis, dan biasanya rasa tajam atau kejang. Rasa sakit ini mungkin menjadi lebih kuat atau berpanjangan apabila kehamilan luar rahim makin membesar.
    • Cecair perang keluar dari faraj: Pendarahan ringan (spotting) yang berbeza daripada haid mungkin berlaku. Darah tersebut mungkin berwarna perang atau pucat, menunjukkan ia darah lama.
    • Gejala kehilangan darah: Apabila kehamilan luar rahim makin membesar dan menyebabkan pendarahan dalaman, ibu hamil mungkin mengalami gejala kehilangan darah seperti pening, pengsan, atau rasa lemah.
    • Sakit di hujung bahu: Ini boleh berlaku akibat pendarahan dalaman setelah salur fallopion pecah. Darah dalam rongga abdomen boleh merengsakan diafragma, lalu menyebabkan sakit di hujung bahu, terutamanya apabila baring atau menarik nafas.
  • Komplikasi:
    • Kehamilan luar rahim pecah: Kehamilan luar rahim pecah: Apabila telur yang tersenyawa membesar di luar tempat lekatan atau implantasi normal, ia akan menyebabkan tisu di sekeliling meregang dan akhirnya koyak. Koyakan ini boleh menyebabkan pendarahan dalaman yang teruk kerana salur darah di tempat yang terjejas telah rosak. Kehilangan darah ini boleh mengancam nyawa, menyebabkan kejutan, kegagalan organ, dan kematian ibu, jika tidak diberi rawatan kecemasan.
Ruptured ectopic pregnancy. Body. Growing fetus ruptures fallopian tube. Medical anatomy illustration.

Rawatan
Rawatan bagi kehamilan luar rahim biasanya melibatkan pengguguran kandungan menggunakan ubatan seperti methotrexate atau melalui pembedahan. Selain itu, doktor juga akan melihat jika terdapat kehamilan heterotropik, di mana kehamilan normal dalam rahim berlaku serentak dengan kehamilan luar rahim. Ini memerlukan penilaian teliti bagi memastikan rawatan yang betul diberikan tanpa merisikokan nyawa ibu dan janin yang sihat.

Saranan
Sila jumpa doktor anda atau pakar sakit puan untuk mengesahkan kehamilan anda sejak awal dan memastikan ia berada dalam rahim dan bukannya kehamilan luar rahim. Ujian ultrasound pentarikhan awal juga membantu menguruskan kehamilan anda.

Kesimpulannya, meningkatkan kesedaran tentang tanda dan gejala kehamilan luar rahim di kalangan ibu mengandung adalah penting supaya rawatan awal boleh diberi bagi mengurangkan kematian ibu akibat masalah ini. Diagnosis dan rawatan awal adalah kunci bagi melindungi wanita hamil daripada akibatnya yang boleh mengancam nyawa.

Rujukan:

  1. https://www.moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/Perkhidmatan%20OnG%20&%20Ped/O%20&%20G/FINAL_DRAF_LAYOUT_Handbook_of_Obstetrics_Guideline_PDF.pdf
  2. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/ectopic-pregnancy/symptoms-causes/syc-20372088
  3. https://www.nhs.uk/conditions/ectopic-pregnancy/
  4. https://www.dosm.gov.my/portal-main/release-content/statistics-on-causes-of-death-malaysia-2024#
  5. https://link.springer.com/article/10.1007/s00261-020-02681-6 (Figure)

Langgani surat berita pengasuhan kami.