Pengasuhan Positif

Bagaimana Perubatan Moden Membantu Pasangan Mendapatkan Zuriat

Kadar kesuburan di Malaysia telah menurun dari tahun ke tahun dan kini jatuh di bawah kadar penggantian populasi sebanyak 2.1 anak per wanita, iaitu kadar diperlukan untuk memastikan setiap generasi dapat menggantikan dirinya. Walaupun pelbagai faktor mempengaruhi trend ini – termasuk gaya hidup, keutamaan kerjaya dan kos membesarkan anak – salah satu faktor perubatan yang wajar diberi perhatian ialah masalah kesuburan.

Memahami penurunan kadar kesuburan

Semakin sedikit bayi dilahirkan kerana lebih ramai pasangan menghadapi kesukaran untuk hamil. Kemandulan ditakrifkan sebagai ketidakupayaan untuk hamil selepas setahun hubungan seks tanpa perlindungan (atau enam bulan jika wanita berusia lebih 35 tahun). Masalah ini menjejaskan kira-kira satu daripada enam pasangan di seluruh dunia – termasuk di Malaysia.

Salah satu punca utama ialah kelewatan untuk menimang cahaya mata. Ramai wanita Malaysia kini melanjutkan pelajaran dan mengejar kerjaya sebelum memulakan keluarga. Ini menyebabkan perkahwinan dan kehamilan pertama berlaku pada usia lebih lewat. Malangnya, umur memainkan peranan besar dalam kesuburan. Kualiti dan kuantiti telur wanita merosot selepas usia 35 tahun, lalu menyukarkan proses kehamilan serta meningkatkan risiko keguguran dan masalah genetik.

Selain itu, ramai pasangan juga menangguhkan memiliki anak atau memilih keluarga yang lebih kecil kerana kos sara hidup dan kos membesarkan anak yang semakin meningkat, dipengaruhi oleh infl asi ekonomi dan kuasa beli yang menurun.

Keadaan perubatan lain yang boleh menjejaskan kesuburan termasuklah:

  • Penyakit gaya hidup: Kadar obesiti, diabetes dan sindrom ovari polisistik yang meningkat boleh mengganggu ovulasi dan kesihatan reproduktif.
  • Masalah kesuburan lelaki: Hampir separuh kes kemandulan berpunca daripada masalah sperma seperti jumlah rendah, pergerakan tidak normal atau bentuk tidak normal.
  • Penyakit tiub fallopio: Tiub fallopio tersumbat akibat jangkitan pelvis boleh menghalang pertemuan ovum dan sperma.
  • Endometriosis: Masalah yang menyakitkan apabila tisu seperti lapisan rahim tumbuh di luar rahim hingga menyebabkan keradangan dan menjejaskan kesuburan.

Bagaimana Teknologi Reproduktif Berbantu (ART) boleh membantu

Bagi pasangan yang menghadapi masalah perubatan ini, Teknologi Reproduktif Berbantu (Assisted Reproductive Technology, ART) menawarkan harapan. ART merujuk kepada rawatan kesuburan yang melibatkan pengendalian telur atau embrio di luar badan bagi membantu proses kehamilan. Teknik ini membantu mengatasi halangan biologi seperti tiub tersumbat, kualiti sperma rendah atau simpanan telur berkurangan. Walaupun ART tidak dapat mengundurkan trend kesuburan negara secara keseluruhan, ia memberi peluang kepada pasangan yang benar-benar ingin memiliki anak untuk membina keluarga.

Jenis rawatan ART

  • Persenyawaan in vitro (IVF): Prosedur paling dikenali di Malaysia. Proses ini melibatkan pengambilan telur dari ovari wanita, pensenyawaan dengan sperma di makmal dan memasukkan embrio yang terhasil ke dalam rahim.
  • Permanian intrauterus (IUI): Sperma yang telah diproses dimasukkan terus ke dalam rahim ketika ovulasi untuk membantu persenyawaan. Kaedah ini kurang invasif dan meningkatkan peluang kehamilan dengan memendekkan jarak perjalanan sperma ke telur.
  • Suntikan sperma intrasitoplasma (ICSI): Biasanya sebahagian daripada IVF, kaedah ini melibatkan suntikan satu sperma yang sihat terus ke dalam telur untuk membantu persenyawaan – sesuai untuk masalah kesuburan lelaki yang serius.
  • Kriopreservasi (pembekuan telur, sperma atau embrio): Pilihan ini membolehkan individu atau pasangan mengekalkan kesuburan untuk masa depan. Sebagai contoh, wanita yang ingin menangguhkan kehamilan atau yang menjalani rawatan seperti kemoterapi boleh membekukan telur mereka semasa masih muda dan lebih subur.

Sokongan kerajaan kepada pasangan

Menyedari beban emosi dan kewangan rawatan kesuburan, kerajaan memperkenalkan beberapa bantuan:

  • Pengeluaran KWSP: Warganegara dan pemastautin tetap di bawah umur 55 tahun boleh mengeluarkan simpanan Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk rawatan kesuburan seperti IVF atau IUI bagi diri sendiri atau pasangan.
  • Pelepasan cukai: Pelepasan cukai perubatan sehingga RM10,000 merangkumi rawatan kesuburan bagi individu atau pasangan. Rujuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk maklumat lanjut.
  • Inisiatif BuAI: Di bawah Belanjawan 2025, RM6 juta diperuntukkan untuk meningkatkan kesedaran awam tentang kemandulan dan menyediakan sehingga dua kitaran rawatan IUI bersubsidi penuh kepada 1,300 pasangan yang layak melalui Klinik Subfertiliti LPPKN dan Klinik Nur Sejahtera. Pasangan dengan pendapatan isi rumah kurang RM10,000 dan belum pernah menerima bantuan rawatan kesuburan daripada mana-mana agensi layak menerima bantuan.
  • Akses rawatan meluas: Rangkaian 50 klinik LPPKN di seluruh negara menyediakan akses mudah kepada rawatan subfertiliti yang mampu milik.
  • Klinik kesihatan lelaki: Menyedari keperluan khusus untuk kesejahteraan dan kesuburan lelaki, LPPKN menyediakan perkhidmatan kesihatan untuk lelaki pada kos berpatutan di tujuh klinik LPPKN di seluruh negara. Dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara

Inisiatif ini, di samping dasar-dasar penjagaan anak, sokongan tempat kerja dan insentif kewangan lain, menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyokong pasangan yang memerlukan bantuan perubatan untuk memulakan keluarga.

Gambaran besar

Penurunan kadar kesuburan adalah isu negara, tetapi ia juga merupakan hal yang amat peribadi bagi pasangan yang mahukan zuriat. Walaupun dasar sosial dan ekonomi memainkan peranan, akses kepada rawatan perubatan seperti ART memastikan kemandulan bukan penghalang untuk menjadi ibu bapa. Bagi ramai rakyat Malaysia, perjalanan untuk mendapatkan anak mungkin mencabar – namun dengan maklumat yang tepat, bimbingan pakar, dan sokongan yang tersedia, harapan sentiasa ada.

Langgani surat berita pengasuhan kami.