Pengasuhan Positif

Teknologi Digital dan Kemurungan

Generasi sekarang banyak meluangkan masa dengan peranti digital.

Walaupun peranti tersebut dapat membantu komunikasi harian serta pencarian sumber informasi, ianya boleh membawa kecelaruan dari segi psikologi sekiranya disalahgunakan. Kemahiran sosial serta kawalan diri boleh terbantut, dengan banyaknya komen dan kata- kata menyakitkan hati yang terpampang atas talian.

Selain itu, mesej teks juga boleh disalahertikan kerana kesalahan ejaan atau pilihan perkataan yang lemah.

Masalah lain yang mungkin terjadi termasuklah:

  • Limpahan kognitif: Terlebih meluangkan masa menggunakan teknologi digital bermakna lebih masa memfokuskan kepada maklumat visual secara sekilas pandang. Peralihan perhatian daripada satu maklumat ke maklumat lain secara pantas boleh menyebabkan limpahan kognitif dan keletihan mental.
  • Keletihan emosi: Harga diri yang dikaitkan dengan penerimaan diri atas talian yang kelihatan dalam tingkah laku asyik menyemak mesej dan berasa resah memikirkan cara membalas mesej atas talian boleh menyebabkan keletihan emosi serta mental, lalu kadang-kala berkelakuan biadap.
  • Ketagihan digital atau media sosial: Penggunaan berlebihan boleh membawa kepada ketagihan, lalu menjadi terasing daripada interaksi sosial dunia sebenar, serta mengurangkan peluang untuk membangunkan kemahiran tingkah laku adaptif untuk mengatasi cabaran hidup secara umum.

Keputusan penyelidikan yang membimbangkan

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017 menunjukkan:

  • Rancangan bunuh diri: 7.3%
  • Cubaan bunuh diri: 6.9%
  • Kemurungan: 18.3%
  • Keresahan: 39.7%
  • Stres: 9.6%
  • Ketagihan internet: 29.0%

Tinjauan dalam kalangan remaja dan belia  bawah 24 tahun di United Kingdom mendapati bukan semua media sosial memberi kesan buruk kepada kesihatan mental. Kebanyakan remaja menggunakan media sosial untuk berhubung dengan kawan dan mencari persahabatan atau sokongan, oleh itu larangan yang menyeluruh bukanlah penyelesaian. Ketika kita kian mendekati Industri 4.0, ajarlah remaja anda tentang bahaya media sosial, dan pada masa sama, berjaga- jaga jika terdapat tanda-tanda perubahan yang luar biasa pada perwatakannya.

Mengenal pasti kemurungan

Petanda yang ketara bagi episod kemurungan yang serius ialah kekurangan keceriaan dan emosi yang suram (termasuklah kurang berminat dalam aktiviti yang diminati) selama dua minggu atau lebih. Anak-anak yang lebih muda mungkin kelihatan lebih mudah marah berbanding muram. Tanda/ gejala lain termasuklah:

  • Rasa putus asa/tidak bernilai
  • Tidak berminat dalam aktiviti harian normal serta pergaulan sosial
  • Mudah marah
  • Kenaikan/penurunan berat badan mendadak
  • Kurang penjagaan diri
  • Perubahan ketara dalam selera makan
  • Perubahan ketara dalam corak tidur
  • Keletihan atau kehilangan tenaga
  • Kesukaran menumpukan perhatian atau membuat keputusan
  • Mengadu sakit kepala atau perut
  • Sering memikirkan tentang kematian (fikiran, tindakan, atau rancangan bunuh diri)

Kemurungan boleh menjejaskan prestasi akademik serta hubungan dengan kawan dan keluarga. Kemurungan dalam anak remaja boleh berlaku secara beransur- ansur, jadi bersedialah untuk mendapatkan bantuan sekiranya perlu.

Bagaimana harus anda membantu?

Elakkan daripada campur tangan serta merta dan berikan sedikit kelonggaran untuk anak remaja anda menangani masalah sendiri. Perkara lain yang perlu diingati adalah:

  • Jadilah suri  teladan. Patuhi peraturan anda sendiri (contohnya, tidak boleh menggunakan telefon semasa waktu makan) dalam menetapkan had. Tunjukkan anak anda cara menggunakan media sosial secara positif bagi mengembangkan pengalaman pembelajarannya.
  • Berbual dengan kerap. Jangan rasa takut untuk berkongsi pengalaman anda dengan media sosial (contohnya, emosi anda dan cara anda menghadapinya).
  • Lembutkan respons. Elakkan memberi respons yang menyalahkan.

Paling penting, berbincanglah dengannya dan cuba dapatkan maklumat sebanyak mungkin tentang apa yang mengganggunya. Jangan serta-merta ingin menyelesaikan masalah untuknya, tapi gunakan peluang ini sebagai pembelajaran untuk dirinya mempelajari cara menangani masalah. Berikan cadangan kepadanya, tetapi biarkan dia pilih cara untuk bertindak terhadap masalah tersebut. Sedarilah bahawa kemurungan lazimnya mempunyai pelbagai unsur, dan bukan hanya daripada media sosial ataupun peranti digital. Akan tetapi, penyalahgunaan peranti digital boleh menyumbang kepada kekurangan kemahiran untuk menangani kecelaruan emosi.

 

 

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen