Pengasuhan Positif

Perkembangan Sosial dan Emosi Remaja

Usia remaja ialah fasa peralihan dari alam kanak-kanak ke alam dewasa. Ramai ibu bapa khuatir akan ketibaan waktu ini, kerana ketika inilah anak kecil mereka yang dahulunya ceria dan bertenaga mungkin bertukar menjadi remaja yang murung dan bersikap tidak menentu. Oleh itu, memahami perkembangan sosial dan emosi remaja pada peringkat ini akan membantu ibu bapa memahami kesukaran yang dihadapi remaja dan berkongsi nasihat-nasihat berguna.

Apakah pencetus perubahan ini?

Remaja mengalami perkembangan psikososial dengan pantas, yang memberi kesan ke atas cara mereka berfikir dan membuat keputusan. Ini didorong oleh peningkatan hormon seks ketika baligh. Turun naik hormon estrogen, progesteron, dan testosteron berperanan dalam mengatur emosi mereka, selain menyebabkan perubahan fizikal dan ciri-ciri seksual sekunder. Transformasi ini, ditambah dengan tekanan rakan sebaya dan masyarakat, mempengaruhi imej tubuh dan keyakinan diri mereka.

Apakah perubahan yang biasa dialami?

Setiap remaja unik dan memiliki cara yang berbeza dalam menyesuaikan diri dengan tubuh dan persekitaran yang baru. Antara perubahan sosial dan emosi yang biasa mereka tunjukkan adalah:

  • Menonjolkan citarasa baru dalam fesyen, penampilan diri, muzik, dan subbudaya lain. Segelintir daripada mereka akan menjadikan selebriti sebagai teladan dan meniru gaya mereka.
  • Menjadi lebih akrab dengan rakan sebaya dan terlibat dalam hubungan romantik. Ini mungkin membuatkan mereka kurang meluangkan masa bersama keluarga serta menjadi lebih berahsia dengan kehidupan peribadi mereka.
  • Memiliki emosi yang lebih mendalam dan tidak dapat diramal yang membuatkan mereka mudah tersinggung, sedih, atau kecewa. Namun, perubahan emosi yang ekstrem mungkin petanda gangguan emosi, yang biasa berlaku dalam kalangan remaja.
  • Mencari kebebasan dan tanggungjawab sebagai sebahagian daripada penerokaan identiti. Mereka mempunyai keinginan yang kuat untuk membuat pilihan sendiri, namun tanpa pengawasan, ini boleh membawa kepada tingkah laku yang berisiko.

Bagaimana ibu bapa dapat menyokong mereka?

Tidak mudah bagi ibu bapa untuk membiasakan diri dengan perubahan-perubahan ini. Namun begitu, mereka tidak boleh membiarkan anak remaja mereka terpesong tanpa bimbingan yang betul; oleh itu, beberapa pendekatan berikut boleh diguna pakai:

  • Jadi contoh teladan:Remaja memerhati cara ibu bapa mereka berinteraksi dan menyelesaikan konflik. Jika anda mahu anak remaja anda berkelakuan dengan cara yang mencerminkan nilai-nilai positif, seperti baik hati dan bertanggungjawab, anda harus menerapkan nilai-nilai ini dalam diri sendiri.
  • Berkomunikasi secara berkesan:Galakkan anak remaja anda untuk berkongsi cabaran yang dihadapi dengan menyediakan ruang selamat. Elakkan daripada menghakimi pilihan peribadi mereka dan tunjukkan minat terhadap apa dan siapa mereka luangkan masa bersama.
  • Beri didikan: Remaja biasanya akan rasa malu untuk bertanya soalan-soalan tertentu kepada ibu bapa. Oleh itu, mereka mungkin akan mencari jawapan daripada sumber-sumber yang tidak sahih, jadi sentiasa ambil inisiatif untuk berbincang mengenai pelajaran, hobi, hubungan, serta masalah hidup dan kongsikan pandangan anda jika boleh.
  • Sentiasa berjaga-jaga: Perasaan ingin bebas mungkin akan menjurus kepada pilihan yang salah dan tingkah laku berisiko tinggi seperti merokok, menggunakan bahan terlarang, ponteng sekolah, dan berkelakuan ganas. Sentiasa awasi gerak-geri anak remaja anda, dan minta maklum balas daripada guru serta rakan mereka.
  • Campur tangan bila perlu: Jika anda rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan kelakuan anak remaja anda, tanganinya dengan tenang. Cuba kenal pasti masalah dan penyelesaiannya dengan berkomunikasi secara hormat, dan dapatkan bantuan pakar jika masalah tersebut di luar kemampuan anda.

Sebagai ibu bapa, melihat anak anda membesar menjadi remaja sudah semestinya suatu pengalaman yang menyentuh hati. Apa pun, ini ialah waktu yang tepat untuk membina asas kehidupan alam dewasa yang sihat dan bermakna untuk anak anda dengan mencetuskan perubahan yang berkesan dalam perkembangan sosial dan emosi mereka. Maka, ibu bapa perlu lakukan yang terbaik dalam membimbing anak remaja mereka sepanjang tempoh ini.

Langgani surat berita pengasuhan kami.