Pengasuhan Positif

Saya Risau Terhadap Rakan Anak Saya: Apa Saya Perlu Buat?

Persahabatan berperanan penting dalam mencorakkan hidup kita, terutamanya semasa tempoh pembentukan identiti diri. Bagi remaja, mempunyai kumpulan rakan yang positif penting ketika mereka sedang meneroka kerumitan identiti diri, belajar berdikari, dan membuat keputusan tentang cabaran yang dihadapi. Mempunyai rakan yang menyokong bukan saja boleh memperkaya pengalaman anak remaja anda, malah meletakkan batu asas untuk hubungan sihat pada masa hadapan.

Sebagai ibu bapa, normal sekiranya anda risau tentang rakan-rakan yang dipilih anak anda, terutamanya jika anda rasa mereka boleh membawa pengaruh negatif. Namun, melainkan persahabatan tersebut terbukti memberi kesan buruk, anak remaja anda perlu belajar membuat keputusan sendiri. Isu ini perlu ditangani dengan berhati-hati bagi mengekalkan hubungan yang kukuh antara ibu bapa dan anak di samping membimbing anak remaja anda membuat keputusan yang lebih baik dan tepat.

Sebaliknya, anda sebagai ibu bapa juga perlu menilai perasaan anda sendiri. Adakah kerisauan anda berdasarkan kelakuan tertentu seperti tidak menghormati orang dan tidak menumpukan perhatian pada pelajaran, atau sangkaan berdasarkan latar belakang atau gaya hidup rakan tersebut? Apabila anda jelas tentang punca kerisauan anda, anda boleh memastikan pendekatan anda adil dan membina.

Apa yang ibu bapa boleh lakukan?

  1. Berkomunikasi dengan anak remaja anda
    Mulakan perbualan tentang rakan tersebut. Tanya soalan seperti, “Kenapa awak suka berkawan dengan dia?” atau “Selalunya apa yang awak buat dengan dia?” Elakkan kritikan keras atau label tertentu yang boleh membuatkan anak remaja anda membalas secara defensif. Sebaliknya, nyatakan pemerhatian anda dengan hormat tanpa mengaibkan rakan mereka, contohnya: “Ayah perasan dia selalu mengganggu orang di sekolah. Awak tak terkesankah?”
  2. Tetapkan sempadan yang jelas
    Teguhkan nilai-nilai dan harapan keluarga anda, seperti saling hormat- menghormati, kejujuran, dan mengutamakan pendidikan. Tetapkan peraturan tentang kelakuan yang dibenarkan dan waktu pulang rumah tanpa menyasarkan kelakuan rakan tersebut secara langsung.
  3. Galakkan lingkungan sosial yang positif
    Sokong anak remaja anda untuk bertemu rakan sebaya yang mempunyai nilai yang sama dengan menggalakkan penyertaan dalam kelab, sukan, atau kegiatan luar bilik darjah yang lain. Ini boleh menambah jaringan sosial dan menawarkan peluang persahabatan yang lebih sihat.
  4. Kenali rakan anak anda
    Kadangkala, ibu bapa tersilap menghakimi rakan anak- anak tanpa memahami latar belakang mereka. Jemput anak remaja anda dan rakannya menyertai aktiviti santai, seperti jamuan atau lawatan bersama keluarga. Ini membolehkan anda memerhatikan kelakuan dan niat rakan tersebut dalam latar yang neutral.
  5. Kukuhkan hubungan anda
    Ikatan yang kuat dengan anak remaja anda akan membantunya menangani pengaruh rakan sebaya. Pastikan anda berkomunikasi secara terbuka dan tidak menghakimi, agar dia rasa selamat untuk berkongsi pandangan dan pengalamannya. Perhatikan kelakuan, gred akademik, serta perasaan atau ‘angin’ anak anda. Jika terdapat perubahan negatif, adakan perbincangan lanjut dengan anak remaja anda secara lemah lembut dan dapatkan pendapat mereka.
  6. Dapatkan panduan pakar jika perlu
    Jika anda amat risau, dapatkan nasihat daripada kaunselor sekolah atau pakar psikologi. Mereka boleh memberikan pandangan secara objektif dan membantu anda dan anak remaja anda menangani cabaran tersebut secara konstruktif.

Ingat bahawa jalinan persahabatan semasa remaja berperanan penting dalam perkembangan minda dan sosial anak remaja anda. Bimbingan anda diperlukan, namun membenarkan anak remaja anda membuat keputusan sendiri – dalam had yang selamat – boleh membantu mereka mengasah kemahiran membuat keputusan dan ketahanan diri. Dengan mengimbangkan kepercayaan, komunikasi, dan sokongan proaktif, anda boleh membantunya meneroka persahabatan dengan bijak di samping mengukuhkan ikatan keluarga anda.

Langgani surat berita pengasuhan kami.