Dalam dunia yang bergerak pantas hari ini, membeli-belah bukan lagi sekadar mendapatkan barang keperluan asas. Ia telah menjadi satu hobi, dan bagi sesetengah orang, satu cara menangani stres. Ramai remaja, seperti orang dewasa, suka membeli-belah dan menganggapnya cara untuk menenangkan diri dan mengurangkan kesedihan, sehingga membeli-belah sering dianggap sebagai satu “terapi” apabila berhadapan dengan stres.
Masalah pembelian kompulsif
Walaupun tidak salah untuk sesekali membeli-belah bagi menaikkan semangat seseorang, bagi sesetengah golongan muda, beli-belah boleh menimbulkan masalah. Apabila tabiat ini bertukar menjadi pembelian kompulsif, ia boleh jadi tidak sihat dan menunjukkan corak ketagihan yang dikenali sebagai masalah pembelian kompulsif atau oniomania.
Ketagihan membeli-belah boleh dilihat apabila terdapat keinginan yang tidak boleh dikawal untuk membeli barangan, yang biasanya dicetuskan oleh emosi, bukannya keperluan. Ketagihan ini sama seperti kelakuan ketagihan yang lain seperti berjudi atau bermain permainan video, dan melibatkan perubahan dalam otak. Khususnya, tindakan membeli boleh merangsang dopamin, “bahan kimia ganjaran” dalam otak, yang menghasilkan rasa enak dan puas. Lama-kelamaan, otak mula ketagih dengan peningkatan dopamin, lalu menyebabkan kelakuan pembelian kompulsif apabila seseorang mahukan ganjaran “rasa nikmat” tersebut.
Bagi remaja yang sedang mengalami tempoh perkembangan emosi dan psikologi yang pesat, membeli-belah dengan mudah boleh menjadi mekanisme kendalian (coping mechanism) yang tidak sihat. Beli-belah dalam talian, contohnya, menawarkan saluran yang pantas dan mudah yang memberikan kepuasan cepat dengan hanya beberapa klik.
Tanda-tanda masalah pembelian kompulsif
Tidak mudah untuk mengenal pasti masalah pembelian kompulsif di kalangan remaja. Antara petunjuk utamanya ialah:
- Sentiasa berfikir untuk membeli-belah
- Tidak boleh berhenti membeli secara kompulsif atau melulu
- Mengalami “keterujaan” selepas membeli sesuatu
- Rasa bersalah atau menyesal
- Masalah kewangan (cth. mencuri, berhutang)
- Menipu atau menyorokkan pembelian
- Membeli-belah untuk menangani stres atau kesedihan

Faktor penyumbang
Beberapa faktor boleh menyebabkan remaja menjadi ketagih membeli-belah. Bagi sesetengah orang, pembelian kompulsif berpunca daripada keyakinan diri yang rendah atau tekanan sosial. Zaman remaja merupakan tempoh apabila menyesuaikan diri adalah penting, dan membeli pakaian, peranti, atau aksesori yang “canggih dan terkini” dianggap sebagai cara untuk meningkatkan status sosial.
Tambahan lagi, dunia dalam talian makin meningkatkan tekanan ini, dengan media sosial yang sering memaparkan produk dan mengangkat gaya hidup yang menarik. Ramai pempengaruh menggalakkan para pengikut untuk membeli produk agar mereka rasa atau tampil hebat, lalu meningkatkan keinginan remaja untuk membeli-belah walaupun tidak mampu. Remaja juga mungkin kurang pengalaman menguruskan kewangan, lalu menyukarkan mereka untuk mengawal diri apabila mereka mempunyai akses mudah terhadap dana atau kredit.
Cara ibu bapa boleh membantu
Sebagai ibu bapa, mungkin sukar untuk anda menangani pembelian kompulsif tanpa kelihatan kritikal atau menghukum. Namun, terdapat beberapa cara untuk menyokong anak remaja anda menguruskan kecenderungannya dan membentuk tabiat kewangan sihat:
- Galakkan perhubungan terbuka – Mulakan dengan mengadakan perbualan dengan anak remaja anda tentang tabiat beli-belah mereka tanpa menghukum. Fahami pencetus emosi di sebalik perbelanjaan mereka bagi membimbing mereka ke arah cara kendalian yang sihat.
- Ajar kemahiran kewangan – Bantu anak remaja anda memahami nilai wang dengan mengajar mereka tentang belanjawan dan simpanan. Galakkan mereka untuk mencatat perbelanjaan dan tetapkan had bagi pembelian tidak penting.
- Cadangkan strategi kendalian alternatif – Jika anak remaja anda menggunakan beli-belah untuk menangani stres, kesedihan, atau kebosanan, galakkan mereka untuk meneroka cara lain bagi mengendalikan perasaan tersebut seperti bersenam, melakukan hobi kreatif, dan meluangkan masa bersama rakan dan keluarga.
- Tetapkan had – Bagi remaja yang bergantung pada pembelian dalam talian, bantu mereka menetapkan had, seperti menunggu 24 jam sebelum membuat pembelian tidak penting. Tempoh “menunggu” ini boleh membantu mereka mempertimbangkan semula sama ada barangan tersebut benar-benar perlu atau tidak.
- Gunakan kawalan ibu bapa dalam talian – Dengan mengehadkan akses kepada aplikasi atau laman web tertentu atau menetapkan had masa penggunaan internet, ibu bapa boleh mencipta suasana berstruktur yang menggalakkan perbelanjaan berhemah dan bermatlamat.
- Tunjukkan tabiat perbelanjaan sihat – Remaja sering meniru kelakuan ibu bapa. Tunjukkan tabiat perbelanjaan yang bertanggungjawab dengan membincangkan cara anda berjimat dan menyimpan, dan cara anda membuat keputusan apabila berbelanja.

Ketagihan membeli-belah di kalangan remaja kini menjadi satu kerisauan, namun dengan kefahaman dan bimbingan, ibu bapa boleh membantu anak-anak remaja membentuk hubungan seimbang dengan perbelanjaan. Dengan mengenal pasti tanda-tanda ketagihan sejak awal dan memberikan sokongan yang tepat, anda boleh menyediakan bekalan kepada anak remaja anda supaya mereka boleh mengawal nafsu, bertanggungjawab dari segi kewangan, dan membina keyakinan diri secara sihat.

