Ramai yang berkata umur hanyalah nombor, tetapi semasa kehamilan, ia satu faktor yang penting. Kini, semakin ramai pasangan membuat keputusan untuk menimang cahaya mata pada umur lebih lewat. Pasangan muda kini mahu fokus pada perkembangan kerjaya dan kestabilan kewangan terlebih dahulu, sebelum mengambil langkah besar ini.
Kesihatan: risiko dan kebimbangan
Ramai wanita yang berumur lebih 35 tahun mengalami kehamilan yang sihat dan melahirkan bayi yang sihat, jadi tiada masalah serta selamat untuk anda menambah ahli keluarga pada umur lebih lewat. Bagaimanapun, anda perlu memahami risiko kehamilan pada umur begini.
Ibu: Kolej Obstetrik dan Ginekologi Diraja (RCOG) mengesyorkan 20 ke 35 tahun sebagai umur kehamilan yang optimum. Kesuburan wanita menurun apabila anda mencapai pertengahan hingga akhir 30-an kerana telur anda menurun dari segi kuantiti dan kualiti. Oleh itu, mungkin lebih sukar untuk anda hamil.
Ibu yang berumur lebih berisiko menghidap diabetes gestasi dan praeklampsia semasa hamil, yang boleh menyebabkan komplikasi semasa melahirkan anak dan masalah kesihatan pada masa hadapan bagi ibu dan bayi. Anda juga lebih berkemungkinan untuk mendapat kandungan kembar dua atau tiga, kerana beberapa telur mungkin dikeluarkan pada masa yang sama akibat perubahan hormon.
Kelahiran yang sukar: Terdapat risiko lebih tinggi untuk hilang kandungan. Keguguran dan kematian dalam kandungan lebih kerap berlaku akibat masalah kesihatan sedia ada dan kualiti telur yang semakin menurun. Semasa melahirkan anak, pembedahan Caesarean juga biasa dilakukan kerana terdapat kemungkinan lebih tinggi berlakunya kelahiran songsang, tekanan pada janin, tempoh kelahiran terlalu lama, plasenta previa (plasenta menghalang serviks) dan komplikasi lain.
Bayi: Jika anda hamil pada umur lebih tua, terdapat kemungkinan lebih tinggi untuk anda melahirkan bayi pramatang, atau bayi yang kurang berat badan akibat sekatan tumbesaran janin. Bayi itu juga lebih berisiko mengalami abnormaliti kromosom (seperti Sindrom Down) atau kecacatan kelahiran bukan kromosom (seperti jantung abnormal).
Bapa: Lelaki yang berumur lebih sukar untuk menghamilkan pasangannya kerana tahap testosteron dan kualiti sperma cenderung untuk menurun seiring peningkatan umur. Beberapa kajian juga menunjukkan bapa yang berumur mungkin meningkatkan sedikit risiko semasa kehamilan dan masalah kesihatan bayi.
Bagaimanapun, anda tidak perlu bimbang, kerana ibu yang berusia lebih 35 tahun masih boleh melalui kehamilan yang sihat walaupun terdapat peningkatan risiko. Asalkan anda mengamalkan gaya hidup sihat dan bersedia untuk kehamilan, pasti tiada masalah. Anda mungkin perlu melalui banyak temu janji dan ujian pranatal. Ingat, awasi kenaikan berat semasa hamil dan elakkan mengambil bahan berbahaya.
Faedah dan cabaran
Selain risiko kesihatan, anda harus mengambil kira baik dan buruk menjadi ibu bapa pada umur lebih lewat. Apabila lebih berumur, anda lebih stabil dari segi kewangan dan matang dari segi emosi untuk memberikan pengasuhan yang terbaik bagi anak anda. Hubungan anda dan pasangan juga akan lebih stabil dan tenang, lalu boleh memberikan sokongan pada satu sama lain dalam menghadapi perjalanan keibubapaan. Pengalaman hidup yang lebih banyak akan mempersiapkan anda untuk menempuh pelbagai cabaran mendatang.
Pada masa yang sama, menjadi ibu bapa ketika sudah berumur mendatangkan cabaran unik, seperti menjadi generasi sandwic. Anda perlu membahagikan masa antara menjaga ibu bapa yang semakin tua dan anak yang masih kecil. Jika anda mendapatkan anak lebih awal, ibu bapa anda mungkin masih boleh membantu menjaga cucu mereka.
Selain itu, semestinya terdapat jurang generasi yang lebih jauh antara anda dan anak anda akibat perbezaan umur yang lebih besar. Mungkin sukar untuk anda memahami pandangan anak anda, terutamanya apabila dia menjadi remaja. Menjaga bayi dan kanak-kanak yang baru pandai berjalan juga mengambil tenaga yang banyak, dan ia mungkin memenatkan jika anda lebih berumur.
Segalanya di tangan anda!
Menjadi ibu bapa adalah keputusan yang penting dalam hidup anda. Asalkan anda sudah cukup bersedia, memahami cabarannya, dan mengambil langkah agar kehamilan sihat dan selamat, menjadi ibu bapa pada usia lebih lewat tidak seharusnya menjadi masalah. Dapatkan nasihat doktor jika anda merancang untuk hamil dan mempunyai sebarang kebimbangan. Menjaga diri anda sendiri ialah cara terbaik untuk menjaga bayi anda.
Dengan kerjasama Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia.
Komen