Pengasuhan Positif

Mencegah Remaja Bunuh Diri

Hujung tahun lalu, seorang pelajar 15 tahun di Malaysia ditemui mati tergantung dari kipas siling selepas dibuang sekolah, dan seorang penyanyi K-pop mengambil nyawanya sendiri akibat kemurungan. Kes-kes ini contoh gejala bunuh diri yang membimbangkan dalam kalangan belia di Malaysia dan di dunia.

Menurut Befrienders KL, sebuah NGO pencegahan bunuh diri, kecenderungan bunuh diri dalam kalangan belia sedang meningkat. Terdapat pertambahan pemanggil yang mengaku terfikir untuk bunuh diri daripada 5,739 kes (2015) ke 7,446 kes (2016). Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 juga melaporkan peningkatan prevalens masalah mental dalam kalangan dewasa di Malaysia daripada 10.7% (1996) kepada 29.2% (2015) serta 12.1% prevalens masalah mental dalam kalangan kanak-kanak berumur 5-15 tahun.

Rekod Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia melaporkan kadar kematian bunuh diri pada 2009 adalah 1.18 per 100,000 penduduk. Jumlah ini jauh lebih rendah daripada yang sebenar dan berbanding indeks global. Ini disebabkan laporan punca kematian yang rendah dalam rekod hospital, mungkin kerana stigma dan undang-undang di Malaysia. Gejala bunuh diri sememangnya masalah serius di Malaysia, terutamanya dalam kalangan remaja dan belia. Kita harus berganding bahu menangani masalah ini.

5 langkah cegah bunuh diri

Apa yang anda boleh lakukan jika seseorang yang anda kenali berniat membunuh diri atau menunjukkan kecenderungan bunuh diri? Berikut lima langkah yang anda boleh ambil.

  • Tanya untuk pengesahan: Tanya mereka secara terus, “Anda rasa hendak bunuh diri?” Ini perlu agar kita lebih jelas dengan niat mereka. Kemudian, dapatkan bantuan untuk mereka. Ini menunjukkan anda ambil berat tentang mereka. Mereka mungkin menafikan niat bunuh diri, tetapi anda boleh terus memerhatikan tanda-tanda lain.
  • Pastikan mereka selamat: Satu cara mencegah bunuh diri adalah dengan mengehadkan akses mereka kepada objek atau tempat berbahaya. Jangan biar mereka simpan objek tajam atau bahan beracun. Jangan biarkan mereka ke tempat tinggi atau berdekatan air berseorangan. Tanya jika mereka merancang untuk bunuh diri, lalu terus singkirkan alat atau kaedah bunuh diri berkenaan.
  • Berada di sisi dan dengar: Sentiasa ada di sisi mereka dan tunjukkan yang anda sedia membantu. Dengar kata-kata mereka dengan teliti untuk memahami perasaan mereka. Berbicara tentang perasaan mereka dan memperakui keinginan bunuh diri mereka boleh mengawal kecenderungan bunuh diri.
  • Dapatkan bantuan: Kebanyakan kes bunuh diri disebabkan kemurungan klinikal. Rujuk kes begini kepada pakar kesihatan mental profesional. Kenalkan mereka dengan NGO seperti Befrienders, penasihat spiritual atau individu lain yang dipercayai yang boleh membantu mereka. Simpan nombor penting dalam telefon anda dan mereka agar mudah dihubungi apabila perlu.
  • Sentiasa berhubung: Selepas sesuatu krisis atau rawatan, teruskan berhubung rapat dengan mereka. Perhatikan kelakuan berulang yang menandakan keinginan bunuh diri. Hubungan rapat dengan mereka yang berisiko bunuh diri boleh mencegah cubaan bunuh diri di masa depan.

Mengenal pasti individu cenderung bunuh diri

Langkah di atas boleh membantu, tetapi anda juga perlu tahu cara mengenali mereka. Ia mungkin lebih mudah jika anda rapat dengan mereka, namun kadang-kala keluarga terdekat juga tidak sedar dengan masalah mereka. Berikut ialah kelakuan yang sering ditunjukkan oleh seseorang yang cenderung bunuh diri.

  • Bercakap tentang keinginan untuk mati atau membunuh diri
  • Bercakap tentang rasa kosong, tiada harapan atau sebab untuk hidup
  • Bercakap tentang rasa bersalah atau malu yang amat
  • Bercakap tentang rasa terperangkap atau berasa seolah-olah tiada penyelesaian
  • Bercakap tentang diri mereka yang membebankan orang lain
  • Mengambil risiko besar yang boleh membawa maut seperti memandu dengan laju
  • Menyingkirkan diri daripada keluarga dan rakan
  • Memberikan barangan kepada orang lain atau menulis nota yang luarbiasa panjang
  • Memuat naik mesej ‘selamat tinggal’ di media sosial

Individu berisiko

Terdapat individu tertentu yang lebih cenderung untuk cuba membunuh diri, terutamanya dengan petanda di atas. Apa pun, perbuatan bunuh diri tidak memilih dan boleh terjadi kepada sesiapa dari sebarang latar belakang. Di bawah adalah beberapa faktor risiko untuk bunuh diri:

  • Kemurungan klinikal, gangguan mental lain, atau penyalahgunaan dadah
  • Kes gangguan mental, penyalahgunaan dadah, bunuh diri, atau penderaan dalam sejarah keluarga
  • Terdedah dengan kes bunuh diri orang lain, seperti ahli keluarga, rakan, atau selebriti

Waktu remaja boleh menjadi tempoh sukar disebabkan tekanan rakan sebaya, perubahan hormon, tekanan akibat harapan tidak realistik, dan pelbagai faktor lain. Ini boleh membawa kepada kemurungan dan keinginan bunuh diri, lalu mendorong mereka untuk cuba membunuh diri. Panduan ini boleh membantu sebagai langkah awal. Sentiasa berfikiran terbuka dan jangan cepat menghakimi mereka. Jika anda rasa seseorang memerlukan sokongan emosi,

Befrienders KL boleh dihubungi di 03-79568145 atau [email protected]. Maklumat lanjut terdapat di laman web www.befrienders.org.my. Hubungi 999 atau pihak berkuasa jika anda dapati seseorang cuba membunuh diri.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen