Pengasuhan Positif

Vaksinasi Ketika Hamil

Ketibaan vaksin COVID-19 merupakan satu berita baik buat semua, tapi sebagai ibu hamil, anda pasti tertanya-tanya sama ada anda boleh mengambilnya. Bagaimana pula dengan vaksin lain?

Kenapa ambil vaksin semasa hamil?

Ibu berkongsi banyak perkara dengan bayi semasa hamil: nutrien, oksigen, antibodi. Oleh itu, apabila wanita hamil menerima vaksin, mereka bukan saja melindungi diri sendiri, malah menyumbang imuniti kepada bayi mereka melalui plasenta. Ini memberikan perlindungan pasif kepada bayi baru lahir semasa minggu-minggu terawal yang penting kerana bayi masih terlalu muda untuk menerima vaksin secara langsung.

Selain itu, sesetengah wanita mungkin tidak menerima pelalian lengkap semasa kanak-kanak dan terdedah kepada jangkitan yang berbahaya kepada mereka dan anak dalam kandungan; maka, mereka disarankan untuk membuat ujian prakehamilan. Suntikan penggalak dan vaksinasi tahunan juga mungkin perlu bagi sesetengah vaksin untuk memastikan perlindungan lebih baik bagi ibu dan anak.

Adakah ia selamat?

Secara amnya, vaksin bakteria/virus hidup yang dilemahkan tidak disarankan semasa hamil kerana secara teorinya terdapat risiko terhadap janin. Sebaliknya, vaksin yang dibuat dengan toksoid atau bakteria/virus mati (tak aktif) boleh diberi ketika hamil apabila disarankan oleh doktor.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat menyatakan, “Manfaat memvaksin wanita hamil selalunya melebihi potensi risiko apabila terdapat kemungkinan tinggi terdedah kepada penyakit, apabila jangkitan berisiko terhadap ibu atau janin, dan apabila vaksin tidak mencetuskan bahaya.”

Vaksin yang disarankan

  • Tetanus/difteria/pertusis (Tdap): Wanita hamil disarankan untuk mendapatkan vaksin Tdap, sebaiknya antara minggu ke-27 dan ke-36 kehamilan, untuk memberi bayi mereka perlindungan awal untuk jangka pendek semasa minggu-minggu terawal kelahiran, terutamanya daripada pertusis (batuk kokol). Ini penting kerana pertusis boleh mengancam nyawa bayi baru lahir dan gejalanya mungkin tidak jelas kerana ramai bayi dengan penyakit ini tidak batuk dan terus berhenti bernafas.
  • Influenza (tak aktif): Wanita hamil mudah terkena flu dan ini meningkatkan risiko kelahiran pramatang. Suntikan flu disarankan untuk wanita yang hamil sebelum atau semasa musim flu. Ia boleh diambil pada bila-bila masa ketika hamil. Ia juga melindungi bayi baru lahir daripada flu beberapa bulan selepas lahir.
  • Hepatitis B (HepB): Wanita hamil yang berisiko tinggi dijangkiti virus ini (contoh: ada sejarah penyakit kelamin (STD), penggunaan dadah suntikan) harus divaksin untuk melindungi ibu dan bayi. Bayi boleh dijangkiti hepatitis B daripada ibu semasa dalam kandungan dan ketika kelahiran. Tiga dos diperlukan untuk mendapat imuniti (dos kedua dan ketiga diberi 1 dan 6 bulan selepas dos pertama), maka ia perlu mula diberi sebelum atau di awal kehamilan.
  • Berkaitan perjalanan: Wanita hamil yang merancang untuk ke luar negara perlu merujuk doktor sekurang-kurangnya 4-6 minggu sebelum perjalanan untuk mengetahui jika ada vaksin yang diperlukan. Antara vaksin yang disarankan untuk perjalanan termasuklah antraks, rabies, demam kepialu dan demam kuning, bergantung kepada risiko.

Vaksin yang TIDAK disarankan KETIKA hamil

Vaksin yang mengandungi virus atau bakteria hidup secara amnya tidak disarankan semasa hamil kerana ada risiko komplikasi kelahiran. Ini termasuklah vaksin HPV (virus papiloma manusia), influenza (semburan hidung), MMR (beguk/campak/rubela), varisela (cacar air), zoster (kayap) dan BCG. Wanita yang merancang untuk hamil harus memeriksa imuniti mereka terhadap rubela dan varisela, dan jika perlu, dapatkan vaksin sekurang-kurangnya sebulan sebelum cuba hamil.

Tentang vaksin COVID-19

Secara amnya, semua vaksin COVID-19 tidak berisiko kepada wanita hamil dan bayi mereka kerana semua vaksin tersebut tidak mengandungi virus hidup. Jika anda hamil, anda dinasihatkan untuk merujuk doktor terlebih dulu. WHO mengesyorkan wanita hamil mengambil vaksin COVID-19 jika manfaatnya melebihi risiko. Ketika artikel ditulis, vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac telah diluluskan di Malaysia untuk wanita mengandung, namun vaksin Pfizer masih menjadi keutamaan untuk diberi pada minggu 14-33 kehamilan.

Jika anda hamil atau merancang untuk hamil, dapatkan pemeriksaan menyeluruh dan berbincang dengan doktor untuk mengetahui jika ada vaksin yang diperlukan atau disarankan. Doktor akan memastikan anda dan bayi anda menerima perlindungan terbaik. Dan jangan lupa untuk mematuhi jadual pelalian untuk bayi anda selepas kelahirannya!

Dengan kerjasama Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen