Pengasuhan Positif

Ibu bapa berkongsi pengalaman mengenai penyakit Kawasaki

Baru-baru ini, anda mungkin ada terbaca laporan yang mengaitkan COVID-19 dengan “sindrom seperti penyakit Kawasaki” pada kanak-kanak. Beberapa laporan media menyatakan bahawa sebilangan kanak-kanak yang menghidap COVID-19 menunjukkan gejala yang jarang terjadi yang menyerupai penyakit Kawasaki dan sindrom kejutan toksik. Berita ini merisaukan segolongan ibu bapa.

Bagaimanapun, perlu dijelaskan bahawa sindrom seperti penyakit Kawasaki, atau kini dikenali sebagai sistem keradangan multisistem dalam kanak-kanak (MIS-C), yang dikaitkan dengan COVID-19, hanya dilaporkan dalam bilangan yang rendah di Amerika Utara dan Eropah.

Setakat ini, tiada kes yang dikenalpasti di Malaysia dan negara Asia lain, jelas Datuk Dr Zulkifli Ismail, pengerusi Pengasuhan Positif Malaysia dan pakar perunding kardiologi pediatrik.

Dalam temubualnya bersama saluran radio BFM baru-baru ini, Dr Zulkifli juga menyatakan bahawa kita perlu membezakan antara sindrom ini dengan penyakit Kawasaki yang biasa berlaku. Penyakit Kawasaki lebih kerap menyerang kanak-kanak bawah 5 tahun, manakala kebanyakan kes MIS-C terjadi pada kanak-kanak lebih tua. Gejala seperti sakit perut, cirit-birit dan muntah pula lebih menonjol dalam kes MIS-C berbanding penyakit Kawasaki. Kesan MIS-C juga dilihat lebih teruk berbanding penyakit Kawasaki.

Maklumat tentang MIS-C dan kaitannya dengan COVID-19 masih terhad. Oleh itu, Dr Zulkifli menasihati ibu bapa di Malaysia agar tidak panik atau membuat kesimpulan sendiri berdasarkan laporan tersebut, tapi terus mengamalkan langkah pencegahan untuk melindungi diri mereka, anak-anak dan orang tua daripada COVID-19.

Ramai orang tidak pernah mendengar tentang penyakit Kawasaki sebelum ini, dan ini mungkin menjadi faktor yang mencetuskan panik. Oleh itu, kita perlu mempelajari tentang penyakit ini. Secara umumnya, penyakit Kawasaki menyebabkan demam berpanjangan serta bengkak kelenjar limfa, mulut, tangan dan kaki yang kemerah-merahan, mata merah tidak berair, serta ruam. Ia menyebabkan keradangan pada dinding salur darah, terutamanya arteri koronari yang membekalkan darah ke otot jantung.

Pengalaman pertama seorang ayah

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang penyakit ini daripada perspektif ibu bapa, Pengasuhan Positif menemu bual Encik Abdul Basit M Ariff, ayah kepada Muhammad Umar El Fateh, berumur 18 bulan, yang telah di diagnosis dengan penyakit Kawasaki pada awal bulan Mei. Perlu dijelaskan bahawa kes ini tidak berkaitan dengan COVID-19.

Beliau mengakui bahawa penyakit ini tidak pernah didengarnya sebelum ini. “Kali pertama saya mendengarnya adalah apabila doktor perasan beberapa gejala yang berkaitan penyakit Kawasaki pada Umar.” Hanya selepas mendengar penjelasan doktor serta melakukan kajiannya sendiri, baru beliau sedar apakah ia dan betapa teruk akibatnya.

Abdul Basit menceritakan, “Pada awalnya, kami dapati Umar demam ketika bangun tidur, lalu kami berikannya ubat demam biasa dan perhatikan perkembangannya di rumah. Namun, di waktu malam dia nampak lebih lemah dan suhunya pun makin tinggi.”

“Keesokan paginya, suhunya mencecah 39.6 °C, jadi kami terus bawa dia ke klinik. Selepas pemeriksaan, doktor mendapati tonsilnya bengkak. Doktor terus berikan preskripsi antibiotik kerana suhunya masih tidak turun walaupun selepas diberi ubat semalam.”

Keadaan Umar bertambah teruk pada hari seterusnya. Dia mula muntah-muntah dan terdapat kelenjar besar di kawasan telinganya. Dia juga kelihatan sangat lemah. “Kami mahu kembali ke klinik, tapi ia ditutup, lalu kami terus pergi ke hospital. Doktor di jabatan kecemasan menasihati kami agar memasukkan Umar ke wad, supaya dia boleh diberi drip antibiotik.”

Abdul Basit semakin risau selepas hari kelima anaknya diberi antibiotik, kerana tiada tanda-tanda dia makin pulih. “Dia langsung tak mahu makan. Matanya nampak merah. Mukanya sembab, manakala tangan dan kakinya bengkak. Dia langsung tidak berdiri atau berjalan sepanjang tempoh ini. Asyik tidur dan berdukung saja. Dia juga asyik muntah dan cirit-birit. Pada ketika inilah, doktor mula perasan gejala penyakit Kawasaki padanya.”

“Ujian darah dijalankan esok harinya dan doktor mendapati terdapat tanda-tanda penyakit Kawasaki. Selepas jantung Umar diimbas dengan ekokardiografi, doktor mengesahkan diagnosis penyakit Kawasaki untuknya. Umar terus diberikan ubatan imunoglobulin intravena (IVIG) tanpa henti selama 12 jam untuk mengelakkan keadaannya makin teruk. Kos ubatnya sahaja sudah amat mahal!”

Umar semakin pulih pada hari seterusnya dan mula menunjukkan tindak balas kepada ibu bapanya. Namun, dia masih demam dan kulit pada tangannya mula menggelupas, kesan penyakit tersebut. Dia hanya dibenarkan pulang selepas beberapa hari lagi tinggal di dalam wad.

Walaupun pengalaman ini pahit, tapi Abdul Basit bersyukur: “Kami bersyukur kepada Tuhan, keluarga kami atas sokongan mereka serta para doktor dan jururawat kerana merawat Umar. Hari ini, Umar makin sihat. Dia makin aktif dan boleh makan seperti biasa.”

Beliau juga berkongsi beberapa teladan daripada pengalamannya ini: “Ibu bapa hendaklah sentiasa prihatin dengan kesihatan anak. Walaupun ia cuma demam biasa, anda hendaklah merujuk kepada doktor. Satu lagi perkara yang ibu bapa perlu ambil berat ialah perlindungan insurans perubatan untuk anak kita, terutamanya dalam kes kritikal seperti ini. Jangan pandang ringan pada perkara-perkara kecil kerana ia mungkin beri kesan besar pada orang tersayang.”

Diagnosis keempat

Mohd Ainuddin Mohd Razman juga tidak pernah mendengar tentang penyakit Kawasaki apabila anaknya, Rayyan Ali Jafri, diserang penyakit tersebut sekitar tujuh tahun lalu semasa dia berumur empat tahun. “Ia bermula dengan demam. Selepas beberapa hari, ruam mula muncul di kulit dan dalam mulutnya. Kami sangka ia hanya cacar air, jadi kami bawanya ke Hospital Ampang. Doktor juga berkata yang ia mungkin cacar air, lalu berikannya beberapa ubat dan menyuruh kami pulang ke rumah.”

“Tapi demam dan ruamnya semakin serius. Kami bawa Rayyan ke hospital untuk kali kedua dan ke klinik swasta selepas itu. Ketiga-tiga lawatan tidak berjaya mendiagnosis penyakit Kawasaki, dan para doktor cuma menganggap ia hanya demam, ulser mulut atau cacar air. Dia masih tidak menunjukkan perubahan, jadi kami merujuk sepupu saya, seorang pakar pediatrik.”

Ainuddin menyambung lagi, “Selepas memberitahu gejala-gejala tersebut, sepupu saya mengesyaki yang ia mungkin penyakit Kawasaki. Kami terus membawa anak kami untuk pemeriksaan dan dia disahkan menghidap penyakit Kawasaki. Ketika itu, keadaan Rayyan semakin teruk, dengan demam panas dan ruam di seluruh badan. Doktor berkata yang penyakit Kawasaki boleh menjejaskan jantung, dan jika tidak mendapat rawatan awal, boleh membawa maut.”

Ainuddin juga memberitahu, “Salah satu bahagian penting rawatan ialah untuk memeriksa keadaan jantung. Keradangan akibat penyakit Kawasaki boleh merosakkan arteri koronari kanak-kanak. Anak saya perlu melalui pelbagai jenis ujian jantung.”

Beliau menjelaskan lagi, “Sebahagian lagi rawatan ialah terapi imunoglobulin intravena (IVIG). Kos untuk satu suntikan infuse sahaja sudah beribu-ribu dan Rayyan pula memerlukan 4 ke 5 botol untuk rawatannya. Kami memerlukan kelulusan pengarah hospital kerana kosnya yang tinggi. Kami bersyukur kerana kos tersebut ditanggung kerajaan.”

“Rayyan akhirnya pulih sebulan selepas itu. Dia dimasukkan ke hospital selama dua ke tiga minggu dan diletakkan dalam bilik pengasingan. Saya masih ingat beberapa kumpulan pelajar perubatan dan doktor pelatih melawatnya setiap hari kerana penyakit ini amat jarang. Mujurlah penyakit ini tiada komplikasi yang kekal jika dirawat awal. Kini anak saya berumur 11 tahun dan membesar dengan sihat,” kata Ainuddin.

Lebih kurang 75% pesakit Kawasaki ialah kanak-kanak berumur bawah lima tahun, terutamanya kanak-kanak lelaki. Ia merupakan antara penyebab utama penyakit jantung dalam kanak-kanak. Jika dirawat awal, kebanyakan kanak-kanak akan pulih dalam beberapa hari. Ia tidak berjangkit, tapi sering terjadi dalam kluster atau keluarga. Ketahui lebih lanjut tentang penyakit Kawasaki dalam artikel oleh pakar kami ini: Mengenali Penyakit Kawasaki

**Dr Tomisaku Kawasaki yang mula-mula melaporkan penyakit yang dipanggil mucocutaneous lymph node syndrome (MCLS) pada tahun 1967 baru meninggal dunia pada awal bulan Jun 2020, berusia 95 tahun. Beliau telah melaporkan 50 kes yang sama presentasinya dalam jurnal perubatan Jepun sebelum diterjemah ke Bahasa Inggeris dan kes pertama dilaporkan di Hawaii lima tahun lepas itu.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen