Pengasuhan Positif

Adakah Ini Cacar Air atau Campak?

Jangkitan cacar air (chickenpox) dan campak (measles) pada kanak-kanak mungkin kelihatan sama, terutamanya pada peringkat awal jangkitan. Ini boleh menyukarkan ibu bapa untuk membezakan antara kedua-dua penyakit tersebut. Kefahaman tentang perbezaan antara kedua-dua penyakit ini penting untuk penjagaan yang sesuai.

Cacar air vs campak: apakah persamaannya?

  • Jangkitan virus. Cacar air dan campak kedua-duanya berpunca daripada virus.
  • Amat mudah berjangkit. Kedua-dua jangkitan amat mudah berjangkit dan boleh tersebar dengan pantas.
  • Kaedah penyebaran. Cacar air dan campak kedua-duanya tersebar melalui titisan pernafasan daripada orang yang dijangkiti. Selain itu, kedua-dua virus juga boleh tersebar melalui sentuhan langsung dengan cecair tubuh yang dijangkiti, seperti cecair pernafasan bagi campak, dan cecair daripada gelembung yang pecah bagi cacar air.
  • Penyakit yang menyebabkan ruam. Kedua-dua jangkitan menyebabkan kemunculan ruam pada tubuh.

Cacar air vs campak: apakah perbezaannya?

Perbezaan #1: Punca jangkitan

Cacar air dan campak disebabkan oleh dua virus berbeza. Cacar air disebabkan oleh virus varisela-zoster, manakala campak pula disebabkan oleh paramiksovirus campak.

Perbezaan #2: Jenis ruam

Jenis ruam yang muncul berbeza. Cacar air biasanya bermula dengan bintik-bintik merah yang timbul di dada, perut, muka dan belakang. Kemudian ia berubah menjadi gelembung berisi cecair yang boleh pecah dan mengeluarkan cecair, dan akhirnya menyebabkan kuping. Sebaliknya, campak bermula dengan ruam merah, bertompok dan rata di dahi yang kemudiannya merebak ke bahagian badan yang lain.

Perbezaan #3: Gejala berkaitan

Selain daripada kemunculan ruam, kanak-kanak yang dijangkiti cacar air dan campak juga akan mengalami gejala lain. Individu yang dijangkiti cacar air lazimnya akan mengalami sakit kepala, hilang selera, dan kelesuan. Ini jarang dilihat dalam kalangan pesakit campak, yang biasanya mengalami hidung berair, sakit tekak, dan batuk.

Perbezaan #4: Tempoh jangkitan

Cacar air biasanya berlaku untuk tempoh masa yang lebih pendek, biasanya sekitar 4-7 hari. Sebaliknya, campak mungkin berlaku untuk jangka masa lebih panjang, biasanya sehingga 10-12 hari, dan dalam sesetengah kes, sehingga beberapa minggu.

Bagaimana cacar air dan campak dirawat dan dicegah?

Rawatan cacar air dan campak di kalangan kanak-kanak adalah untuk melegakan gejala dan mengurangkan komplikasi. Ini termasuklah mengambil ubatan seperti parasetamol untuk demam dan tahan sakit, memakai sarung tangan untuk mengelakkan pesakit menggaru ruam semasa tidur, serta mandi dengan air sejuk untuk melegakan kegatalan.

Salah satu langkah pencegahan terbaik ialah vaksin untuk cacar air dan campak. Bagi cacar air, vaksin varisela-zoster boleh diambil. Vaksin ini tidak disertakan dalam program imunisasi kebangsaan, tapi boleh didapatkan di klinik dan hospital swasta. Vaksin cacar air boleh diberikan bermula umur 12 bulan dan ke atas.

Bagi imunisasi campak pula, vaksin MMR (measles, mumps, rubella) boleh diambil. Vaksin ini disertakan dalam program imunisasi kebangsaan dan diberikan pada umur 9 bulan dan 1 tahun. Bagi mengetahui lebih lanjut tentang vaksin cacar air dan campak, sila dapatkan nasihat doktor anda atau pakar pediatrik.

Kesimpulan

Jangkitan cacar air dan campak pada kanak-kanak mungkin kelihatan serupa, maka ibu bapa harus tahu bagaimana untuk membezakan kedua-duanya. Memahami perbezaan ini penting untuk memastikan kanak-kanak menerima rawatan awal dan penjagaan yang sesuai. Ibu bapa yang bersedia dan berpengetahuan boleh mengambil langkah tepat untuk melindungi anak-anak dan mendapatkan rawatan apabila perlu.

Langgani surat berita pengasuhan kami.