Pengasuhan Positif

Mengenali Penyakit Kawasaki

Penyakit Kawasaki pertama kali dilaporkan pada 1967 oleh pakar pediatrik Jepun, Dr Tomisaku Kawasaki. Kes-kes pertama di luar Jepun dilaporkan di Hawaii pada 1976. Lebih kurang 75% pesakit penyakit Kawasaki ialah kanak-kanak berumur bawah 5 tahun, kebanyakannya lelaki, dan ia penyebab paling biasa untuk penyakit jantung perolehan (acquired) dalam kanak-kanak. Jika dirawat awal, kebanyakan kanak-kanak pulih dalam beberapa hari. Penyebab utamanya masih tidak diketahui tetapi ia tidak berjangkit secara langsung.

Penyakit Kawasaki biasanya menyebabkan demam berpanjangan dengan nodus limfa (kelenjar) yang membesar, kemerahan di mulut, tangan dan kaki, serta kadangkala dengan ruam. Ia menyebabkan keradangan pada dinding salur darah, terutamanya arteri koronari yang membekalkan darah ke otot jantung.

Diagram of a heart

Tanda dan simptom

Simptom paling kerap ialah demam panas, antara 38.3-39.4°C yang melebihi 4 hari dan tidak sembuh dengan ubatan demam biasa. Simptom lain yang turut muncul dalam masa 14 hari sejak demam bermula termasuklah:

Simptomnya muncul dalam tiga peringkat. Ia boleh menyebabkan masalah kepada jantung antara 10-14 hari selepas bermulanya simptom pertama. Sesetengah pesakit mungkin mengalami radang atau sakit sendi antara masa demam berakhir sehingga hari ke-25 penyakit tersebut. Penyakit Kawasaki boleh berterusan sehingga lapan minggu.

Diagnosis

Untuk membuat diagnosis penyakit Kawasaki, rasa syak yang tinggi perlu ada. Doktor anak anda akan menentukan berdasarkan kombinasi simptom dan tanda sekiranya anak anda mempunyai penyakit Kawasaki.

Rawatan

Anda boleh memberikan parasetamol untuk demam tetapi anak anda perlu diperiksa untuk mendiagnos penyakit Kawasaki. Oleh kerana risiko komplikasi tinggi, anak anda mungkin perlu ditahan di hospital sambil menerima rawatan awal. Ini termasuklah infusi IV (intravena) imunoglobulin serta ubatan lain. Pesakit memerlukan cecair yang banyak untuk mengelakkan dehidrasi. Dia juga mungkin diberikan aspirin untuk beberapa minggu.

Risiko komplikasi

Penyakit ini boleh menjejaskan jantung di kalangan 20% pesakit. Walaupun kebanyakan kanak-kanak pulih sepenuhnya, terdapat kes-kes terpencil di mana komplikasi berlaku akibat keradangan salur darah menyebabkan dinding arteri semakin lemah lalu menyebabkan aneurisme. Bahagian lain pada jantung yang mungkin turut terkesan ialah membran yang menyelaputi jantung, injap dan otot jantung. Penyakit Kawasaki semasa zaman kanak-kanak juga dikaitkan dengan risiko penyakit jantung yang meningkat apabila dewasa.

Bayi menghadapi risiko komplikasi serius yang lebih tinggi. Rawatan awal akan mengurangkan risiko kesan jangka panjang. Tiada kumpulan sokongan rasmi untuk penyakit ini, tetapi terdapat kumpulan sokongan tidak rasmi untuk rakyat Malaysia di Facebook (cari: Kawasaki Disease Support Group Malaysia).

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen