Pengasuhan Positif

Penyakit Pneumokokus, Pneumonia, dan Jangkitan Telinga: Apa Kaitannya?

Beberapa penyakit kanak-kanak boleh menyebabkan kesan yang amat teruk. Penyakit pneumokokus adalah antara penyakit tersebut, maka anda perlu benar-benar memahami apakah sebenarnya penyakit ini agar si manja anda kekal selamat dan sihat.

Apakah itu penyakit pneumokokus?

Penyakit pneumokokus merupakan jangkitan yang disebabkan oleh sejenis bakteria bernama S. pneumoniae, yang juga dikenali sebagai pneumokokus.1 Bakteria ini boleh tersebar melalui titisan pernafasan orang yang dijangkiti (cth. apabila seseorang yang dijangkiti bersin atau batuk).

Kebanyakan individu yang dijangkiti oleh penyakit pneumokokus biasanya mengalami gejala ringan.1 Namun, kanak-kanak bawah umur 2 tahun berisiko tinggi mendapat komplikasi teruk.2 Ini terjadi apabila bakteria tersebut merebak daripada tekak ke bahagian tubuh yang lain, seperti darah, paru-paru, telinga, dan otak.3

Kumpulan berisiko tinggi yang lain termasuklah individu yang1:

  • Mempunyai sistem imun yang lemah (cth. kesan kemoterapi, terapi pelemahan imun, dll.)
  • Mempunyai penyakit kronik (cth. diabetes, penyakit jantung, penyakit buah pinggang, dll.)
  • Mempunyai alat bantu pendengaran/implan koklea
  • Berumur lebih 65 tahun

Bagaimana penyakit pneumokokus menyebabkan pneumonia?

Jika S. pneumoniae merebak daripada tekak ke struktur sistem pernafasan yang lebih dalam, ini boleh menyebabkan pneumonia pneumokokus. Kes yang ringan akan menyebabkan gejala seperti demam, batuk, sakit dada, sakit kepala, sukar bernafas, dll. Namun, bagi kes yang lebih serius, ini boleh menyebabkan jangkitan lapisan otak (meningitis), kegagalan bernafas, malah kematian.3

Bagaimana penyakit pneumokokus menyebabkan otitis media akut (jangkitan telinga tengah)?

  1. pneumoniae juga boleh tersebar daripada tekak ke laluan sempit yang menyambungkan saluran hidung ke telinga (tiub Eustachia).4Apabila ini berlaku, ia boleh menjangkiti struktur berdekatan, lalu menyebabkan jangkitan telinga tengah. Ini boleh menyebabkan gejala seperti sakit telinga, sakit kepala, demam, nanah telinga, dll.3

Bagaimana untuk melindungi anak anda daripada penyakit pneumokokus?

  • Jaga kebersihan. Pastikan kanak-kanak membasuh tangan mereka dengan sabun dan air. Jika tidak boleh, anda juga boleh gunakan pencuci tangan berasaskan alkohol.5 Ini amat penting kerana anak anda banyak meluangkan masa di tempat yang sesak dan tertutup seperti di pusat jagaan kanak-kanak.
  • Pastikan sistem imun kuat. Ambil langkah yang tepat untuk mengoptimumkan sistem imun anak anda. Pastikan anak anda melakukan aktiviti fizikal yang cukup, mendapat pemakanan yang berkhasiat, dan tidur secukupnya setiap malam.5
  • Elakkan hubungan rapat dengan pesakit. Jika anda syak terdapat ahli keluarga atau kenalan yang dijangkiti penyakit pneumokokus, jauhkan anak anda daripada individu tersebut.
  • Jaga kebersihan pernafasan. Penyakit pneumokokus biasanya tersebar melalui titisan pernafasan, maka menjaga kebersihan pernafasan amat penting. Ini termasuklah memakai pelitup muka di tempat sesak.
  • Pastikan anak anda divaksin. Pastikan anak anda mendapat semua vaksin yang dijadualkan mengikut program imunisasi kebangsaan.6 Ini termasuklah vaksin konjugat pneumokokus (pneumococcal conjugate vaccine, PCV) yang boleh didapati di klinik kerajaan atau swasta.
Tentang Vaksin Konjugat Pneumokokus (PCV)

Vaksinasi ialah salah satu pilihan terbaik untuk ibu bapa melindungi anak-anak daripada jangkitan. Bagi penyakit pneumokokus, Malaysia telah memasukkan vaksin konjugat pneumokokus (PCV10) ke dalam jadual imunisasi kebangsaan.7 Vaksin PCV10 melindungi daripada 10 serotaip pneumokokus dan diberi dalam tiga dos: dua dos primer (pada umur empat dan enam bulan) dan satu dos penggalak pada umur 15 bulan.7

Dapatkan maklumat daripada doktor anda tentang vaksinasi untuk mengetahui lebih lanjut tentang cara melindungi si kecil anda daripada risiko penyakit pneumokokus.

Kesimpulan

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam melindungi kesihatan anak, maka amat penting untuk memahami penyakit kanak-kanak seperti penyakit pneumokokus. Ambil langkah yang betul bagi memastikan si kecil anda sihat dan selamat. Dengan ini, kita sama-sama boleh menjamin masa depan yang lebih sihat untuk anak-anak kita yang tersayang.

Langgani surat berita pengasuhan kami.