Pengasuhan Positif

Penyusuan Susu Ibu dan Ubatan Umum

Penyusuan susu ibu adalah penting kerana ia menyediakan pemakanan sempurna untuk bayi anda dan penting bagi tumbesaran dan perkembangannya yang sihat. Penyusuan susu ibu juga membantu mengurangkan insiden dan ketenatan penyakit berjangkit.

Jadi, bolehkah si ibu yang menyusu mengambil ubat sakit? Jawapan ringkasnya adalah ya, tetapi tidak semudah itu. Akademi Pediatrik Amerika (AAP) mengeluarkan laporan pada 2013 yang menunjukkan kebanyakan ubatan dan imunisasi boleh digunakan secara selamat sambil menyusukan anak. Ini tidak bermaksud anda boleh sewenang-wenangnya mengambil apa-apa jenis ubatan!

Sentiasa berunding dengan doktor

AAP mengesyorkan ibu yang menyusukan anak memaklumkan kepada doktor agar risiko dan faedah ubatan itu boleh dipertimbangkan. Doktor anda akan memutuskan sama ada ubatan itu wajar atau tidak dengan menasihati anda berkenaan kesan yang boleh berlaku pada pengeluaran susu ibu, jumlah ubat yang boleh masuk ke dalam susu anda dan sebarang kesan buruk pada bayi anda.

Bagi antibiotik, yang merupakan ubatan yang umum, sebahagian daripadanya akan memasuki susu ibu. Sesetengah ubatan untuk merawat alergi rinitis boleh mengurangkan pengeluaran susu ibu dan/atau membuatkan bayi meragam atau keletihan.

Dengan ubatan, ada kemungkinan bahan tersebut akan melalui susu ibu dan terkumpul dalam tubuh bayi. Sama ada perkara ini akan berlaku dan sejauh mana tahapnya bergantung kepada kadar metabolisma bayi dan tempoh ubatan digunakan. Oleh itu, penting untuk memberitahu doktor anda jika anda menyusu agar dia boleh memberikan alternatif yang lebih selamat.

Walaupun sebarang produk herba biasanya selamat untuk diambil semasa penyusuan, pastikan produk itu berasal dari sumber yang sah. Sesetengah produk herba mungkin mengandungi logam berat dan toksin. Maklumkan doktor anda juga kerana sesetengah herba mungkin mengandungi alkaloid tertentu (sejenis kompaun kimia) yang boleh membahayakan bayi yang menerimanya menerusi susu ibu. Anda juga harus elakkan vitamin berdos tinggi dan suplemen yang ganjil.

Secara umumnya selamat

Sesetengah ubatan adalah selamat termasuklah:

  • Beberapa ubat tahan sakit (Acetaminophen, Ibuprofen)
  • Sebahagian antibiotik (Fluconazole, Penisilin – seperti amoxicillin dan ampisilin)
  • Antihistamin (Loratadine, Fexofenadine)

Bagi kes mastitis penyusuan, antara rawatannya termasuklah menukar teknik penyusuan; anda digalakkan agar meneruskan penyusuan kerana ia tidak memberikan risiko kepada bayi anda. Jika antibiotik diberikan, berhati-hati dan periksa jika anda boleh meneruskan penyusuan secara normal, atau anda perlu elakkan daripada menyusu buat seketika selepas mengambil setiap dos. Selain itu, dekongestan yang mengandungi pseudoefedrin harus digunakan secara berhati-hati kerana bahan aktifnya boleh mengurangkan bekalan susu ibu.

Ubatan yang tidak harus diambil semasa menyusu:

  • Ubatan antikanser
  • Ubatan radioaktif
  • Amiodarone (sejenis ubat untuk jantung)
  • Chloramphenicol (sejenis antibiotik)
  • Ergotamine (digunakan untuk merawat sakit kepala contohnya migrain)
  • Sodium thiomalate emas (digunakan untuk artritis reumatoid)
  • Phenindione (antigumpal)
  • Retinoid (digunakan untuk merawat masalah kulit)
  • Tetracyclines (sejenis antibiotik)
  • Ubatan psikotropik

Jika ragu-ragu

Sentiasa semak dengan doktor anda apabila anda merancang untuk mengambil atau jika diberikan sebarang ubatan. Jangan anggap ia selamat atas alasan seorang doktor yang mempreskripsi ubatan itu, kerana dia mungkin tidak sedar anda sedang menyusu. Elakkan daripada mengambil ubatan yang tidak perlu seperti ubatan herba, vitamin berdos tinggi dan suplemen yang aneh.

Akhir sekali, tumpukan perhatian pada sebarang tanda membimbangkan pada bayi anda seperti perubahan dalam tabiat makan atau tidur, kecerewetan atau ruam. Jika sesuatu luar biasa berlaku, berhenti mengambil ubatan anda serta-merta dan terus berbincang dengan pakar pediatrik anak anda.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen