Pengasuhan Positif mendekati Daphne Iking, personaliti TV, pengacara dan pelakon terkenal di Malaysia, bagi menemubual pengalaman beliau membesar, perjalanan hidupnya sebagai seorang ibu, dan pandangannya berkenaan pelbagai aspek pengasuhan pada zaman moden ini.
Daphne yang lantang bersuara dalam isu berkaitan kanak-kanak dan keibubapaan, membesar di Keningau, Sabah, dan merupakan anak kedua daripada empat orang adik-beradik. Beliau pernah menjadi hos untuk pelbagai rancangan TV seperti Say Yes To The Dress Asia, Bella, The Breakfast Show dan Explorace. Beliau juga pernah membintangi beberapa filem, antaranya Sindiket (2017) and Relationship Status (2012). Daphne tinggal bersama-sama suaminya, Azmi Abdul Rahman, seorang ahli perniagaan, dan anak-anak mereka, Isidore Daniel Iking Azmi, 2, Iman Daniella Iking Azmi, 7, Isobel Daniella Iking, 11, dan Ariff Jazzmi Azmi, 23.
Boleh ceritakan sedikit tentang zaman kanak-kanak anda?
Zaman kanak-kanak kami banyak dihabiskan dengan bermain sesama sendiri. Semasa saya kecil, bapa saya melanjutkan pengajian dalam bidang perundangan di UK dan ibu saya melakukan kerja sambilan. Selepas sekolah, saya dan adik-beradik akan menjaga sesama sendiri. Apabila kembali ke Malaysia, kami membesar dalam sebuah komuniti di mana semua orang akan bersama saling menjaga setiap anak-anak.
Saya mahukan sepasang kasut beroda dan lebih banyak seluar jean semasa kecil. Bapa saya enggan membelikan kami “perkara mengarut” ini, dan hanya membelikan kami buku. Jadi saya berusaha untuk memperoleh wang tambahan untuk membeli barangan saya sendiri. Saya pernah menjual tomato hasil tanaman ibu di tepi jalan semasa berumur 11 tahun. Saya juga menjadi pelayan sambilan di Hotel Shangri-La ketika berumur 15 tahun serta kerja-kerja lain. Saya berjaya menyembunyikan perkara ini daripada bapa saya yang mahukan kami menumpukan perhatian pada pelajaran.
Boleh ceritakan tentang cara pengasuhan ibu bapa anda?
Bapa saya seorang yang tegas. Dia dapat tahu saya membuat persembahan dengan sebuah kugiran di satu acara. Dia pukul saya dengan penyapu, dan saya enggan bercakap dengannya selama sebulan. Katanya, “Kamu baru 15 tahun! Fokus pada peperiksaan!”, tetapi saya tetap bekerja semasa cuti sekolah dan berjaya memperoleh semua A untuk PMR (Penilaian Menengah Rendah). Saya layak menyertai aliran Sains, tetapi saya mahu bersama dengan kawan-kawan saya di aliran Perdagangan. Bapa saya paksa saya ambil aliran Sains agar lebih banyak pilihan untuk pengajian ijazah nanti. Saya kerap memberontak tetapi saya tetap takut kepada bapa saya, jadi saya patuhi arahannya. Akhirnya, saya berpeluang memilih haluan sendiri di universiti dan membayar yuran pengajian saya dengan mengajar Bahasa Inggeris dan Matematik secara sambilan.
Ibu saya lebih praktikal. Dia berterus-terang dengan kami, sekiranya kami mengandung tanpa sengaja, kami perlu selesaikannya sendiri, kerana dia masih perlu bekerjadan tidak dapat menjaga anak-anak kami. Saya sentiasa ingat bagaimana dia mendidik kami untuk menghormati tubuh kami dengan nasihatnya, “Kamu tidak akan hanya berpegangan tangan apabila sudah mula bercium dengan seorang lelaki.”
Bagaimana pula anda sebagai ibu? Apakah cara pengasuhan anda?
Saya seorang yang praktikal dan tegas, seperti ibu saya. Saya tidak percayakan pendekatan terlalu tegas, tetapi anda harus bijak menentukan cara pengasuhan anda sejak awal. Paling penting, anda harus menjadi contoh baik kepada anak-anak. Saya tidak ragu-ragu untuk mengakui kesalahan saya dan meminta maaf. Keempat-empat anak saya berbeza; saya dan suami menggunakan pendekatan berbeza untuk setiap daripada mereka. Yang pasti, kami cuba bersependapat dalam membesarkan anak-anak. Contohnya, apabila Isobel mahu tidur di rumah kawannya, Azmi dan saya akan berbincang sebelum menyoal Isobel untuk menentukan jika dia mampu berkelakuan baik dan menjaga diri semasa ketiadaan kami.
Saya juga pentingkan komitmen. Iman terpilih untuk menyertai pertandingan gimnastik dan memandangkan ia memerlukan lebih wang untuk latihan tambahan, pengangkutan, pakaian, dan juga lebih masa untuk latihan, saya mahukan Iman betul-betul pasti dengan pilihannya sebelum saya bersetuju. Dua minggu sebelum pertandingan, latihan yang panjang telah memenatkan Iman. Dia mahu berhenti. Saya tidak membenarkannya sambil menjelaskan bahawa dia telah membuat satu komitmen, jadi dia harus berpegang kepada keputusannya. Sukar bagi saya melihatnya menangis, tetapi setelah berjaya menjadi antara peserta teratas, dia sangat gembira saya bertegas dengannya.
Sebagai wanita berkerjaya dan seorang ibu, apakah cabaran terbesar dalam membesarkan anak-anak?
Saya bekerja dari rumah, jadi kadangkala sukar untuk saya menumpukan sepenuh perhatian sama ada pada kerja atau anak-anak. Contohnya, seorang klien mungkin akan singgah untuk melihat video, tetapi tiba-tiba, anak saya yang berumur 7 tahun datang menunjukkan kerja rumahnya yang belum siap! Tetapi bagi saya, ini boleh diuruskan. Satu lagi cabaran adalah memberitahu anak-anak saya agar tidak terlalu bergantung kepada gajet mereka, tetapi pada waktu yang sama, kerja saya banyak melibatkan gajet. Jadi, bagaimanakah harus saya menjadi contoh yang baik tanpa menjejaskan kerja dan integriti saya sebagai ibu?
Bagaimanakah anda menyeimbangkan kerja dan masa keluarga?
Saya ada jadual. Jika saya tidak menetapkan jadual dan menguruskan masa, saya tidak dapat menumpukan perhatian pada perkara yang saya patut lakukan. Saya pentingkan kualiti berbanding kuantiti. Jika saya mempunyai slot masa selama satu jam bersama anak-anak, saya akan gunakan 100% masa itu untuk mereka dan ketepikan kerja sepenuhnya. Dengan ini, saya tidak rasa terlalu bersalah kerana menumpukan 100% perhatian pada kerja sebelum itu.
Sebagai seorang personaliti terkenal, adakah anda berpendapat ia akan memberi kesan kepada anak-anak semasa mereka membesar?
Kami cuba yang terbaik untuk memastikan mereka selamat. Saya tahu anak-anak saya pernah didekati oleh orang tidak dikenali untuk bergambar. Saya beritahu mereka agar berkelakuan sopan tetapi jika sesiapa membuatkan mereka tidak selesa, mereka boleh menolak atau datang kepada kami. Anak-anak saya didedahkan dengan apa yang saya lakukan dan nampaknya ia memberi kesan kepada mereka. Iman mahukan saluran YouTube sendiri, dan Isobel berminat dengan seni dan perbahasan. Saya benarkan mereka membuat pilihan dan meneroka minat mereka.
Apakah pendapat anda tentang penggunaan peranti digital dan media sosial dalam kalangan kanak-kanak?
Saya menerima teknologi dengan terbuka dan tidak menghalang anak-anak daripada menggunakannya. Kami didik mereka tentang pelayaran internet yang selamat serta bahaya yang wujud di internet, seperti pemangsa seksual. Saya benarkan mereka menonton filem, klip video dan bermain permainan, tetapi hanya untuk masa terhad dan setelah mereka siapkan kerja sekolah atau tugasan. Mereka harus belajar bertanggungjawab, jadi saya tidak menghalang mereka. Saya pilih untuk mendidik dan memberi contoh yang baik.
Apakah pendapat anda tentang pengasuhan proksi, iaitu kanak-kanak dibesarkan oleh datuk dan nenek atau pengasuh?
Saya dibesarkan oleh komuniti setempat kerana kedua-dua ibu bapa saya bekerja. Saya tiada masalah membenarkan ibu atau pembantu rumah saya untuk membantu. Malah, saya suka mempunyai seseorang yang boleh diharap untuk membantu saya agar saya dapat tumpu pada kerja. Dan masa waktu keluarga, saya memberikan sepenuh perhatian kepada mereka. Memandangkan saya bekerja dari rumah, saya bertuah kerana saya masih boleh meluangkan banyak masa untuk anak-anak.
Apakah nasihat yang anda mahu kongsikan dengan ibu-ibu bekerja di luar sana?
Luangkan masa untuk menyayangi diri sendiri. Saya pernah berikan sepenuh masa dan komitmen kepada keluarga, kerana “itulah yang akan dilakukan oleh seorang ibu yang baik”, tetapi saya mula rasa tidak tenteram. Saya luahkan kekecewaan saya kepada suami, dan kami menemui cara untuk bertolak ansur. Kini saya kembali menyertai larian maraton dan mengamalkan senaman yoga – sambil mengajar ibu-ibu mengandung di rumah kebajikan – dan saya mempunyai waktu untuk diluangkan dengan rakan-rakan. Saya pulang ke rumah berasa segar dan bersemangat.
Komen