Pengasuhan Positif

Perjalanan Keibubapaan, Kembara Sepanjang Hayat

Menjadi ibu bapa merupakan tanggungjawab seumur hidup yang memerlukan anda sentiasa belajar dan menyesuaikan diri, tapi ia dipenuhi dengan kegembiraan dan kenangan indah.

 

Menjadi ibu bapa sememangnya satu kembara sepanjang hayat kerana peranan sebagai ibu bapa tidak terhenti apabila anak mencapai umur tertentu. Sebagai ibu bapa, anda akan dapati anak anda memerlukan panduan dan sokongan anda dalam menempuh pelbagai peringkat hidup, daripada zaman bayi ke zaman dewasa dan seterusnya. Walaupun anak yang sudah dewasa akan memacu hidupnya sendiri, ibu bapa masih boleh menawarkan nasihat, sokongan dan kasih sayang.

 

Pengerusi Program Pengasuhan Positif, Datuk Dr Zulkifli Ismail berkata di samping memberikan sokongan berterusan, ibu bapa juga perlu sentiasa menyesuaikan diri dengan cabaran dan perubahan baru dalam hidup anak-anak. Apabila anak-anak membesar dan makin dewasa, keperluan dan minat mereka juga berubah, dan ibu bapa perlu menyelaraskan gaya keibubapaan mereka. “Keibubapaan bukanlah satu pendekatan ‘one-size-fits-all’ tapi satu perjalanan peribadi yang memerlukan pembelajaran dan perkembangan berterusan. Ibu bapa harus komited dengan kembara ini; walaupun mencabar, ia juga indah dan bermakna.”

 

Pengasuhan Positif juga sempat menemubual empat orang ibu bapa, dan berdasarkan jawapan mereka, jelaslah bahawa meluangkan masa bersama, melakukan kegiatan menyeronokkan sebagai keluarga, mempunyai jaringan sokongan yang utuh, serta menghadapi masa mencabar dengan kasih sayang, semuanya penting dalam membina sebuah keluarga yang bahagia dan sejahtera.

 

Melihat mereka membesar

Dr Nurul Muiz Murad, 47, dan isterinya, Jasmin Mohd Ramli, 44, mempunyai dua anak dan tinggal di Bandar Utama, Selangor. Nurul ialah perunding kelestarian dan isterinya bekerja sebagai eksekutif pemasaran kanan di sebuah syarikat berkaitan kerajaan. Anak-anak mereka, Ali Imran, 12 dan Iris Soraya, 10, belajar di sekolah rendah.

Dr Nurul Muiz dan keluarga

“Saya seorang bapa ‘sepenuh masa’ kerana isteri saya bekerja sepenuh masa. Saya sering rasa sukar mengimbangi antara kerja dan anak-anak kerana saya yang menguruskan kebanyakan hal logistik, termasuk menghantar dan mengambil mereka dari sekolah dan kegiatan luar bilik darjah, serta memasak dan mengemas rumah. Tapi mereka gembira kerana saya sentiasa ada. Saya amat percaya yang sekurang-kurangnya salah seorang daripada ibu bapa perlu meluangkan masa bersama anak-anak kerana mereka sedang membesar dan ini penting untuk membina perwatakan mereka.”

 

Nurul berkata dia dan isterinya telah menyusun satu sistem. “Ia tidaklah serumit yang disangka kerana kami telah melakukannya sejak anak-anak masih kecil. Isteri saya akan mencuci dan mengemas pada hujung minggu. Dan saya akan lakukan selebihnya. Anak-anak juga sering membantu melakukan kerja rumah lain.”

 

Nurul berkongsi bahawa melihat anak-anaknya membesar di depan mata merupakan antara hal yang dihargai sepanjang perjalanan keibubapaannya. “Saya telah bersama mereka sejak mereka dilahirkan. Dan melihat mereka membesar daripada bayi ke kanak-kanak petatih ke awal remaja… ia sangat menggembirakan. Saya tak sabar ingin melihat bagaimana perwatakan mereka terus berkembang apabila mereka makin dewasa.”

 

Dia bersyukur kerana dia mendapat sokongan daripada keluarga Jasmin. “Jika saya ada mesyuarat di luar, antara cabarannya adalah untuk mendapatkan pengasuh. Mujurlah, keluarga mertua saya tinggal berdekatan. Jadi saya akan hantar anak-anak ke sana jika saya perlu keluar sekejap untuk berjumpa klien.”

Terlibat sepenuhnya

Berasal daripada Petaling Jaya, Lee Mei Li, 39, ialah seorang suri rumah dan ibu kepada sepasang kembar berusia tujuh tahun, Jacob dan Joshua, serta bayi berusia 15 bulan, Joel.

Lee Mei Li dan anak kembarnya

“Saya ingat bertanggungjawab ke atas seorang bayi apabila kali pertama menjadi ibu dah cukup sukar… Dengan anak kembar, ia lebih mencabar!” kata Lee apabila mengenang kelahiran pertamanya. “Tahun pertama amat meletihkan kerana kadangkala saya rasa macam perlukan 12 tangan hanya untuk menjaga dua bayi. Menjaga bayi kembar amatlah meletihkan badan, tapi apabila kami sudah ada rutin harian, yang kami ikut dengan setia walaupun terdapat gangguan tidur dan lonjakan perkembangan, ia menjadi lebih mudah.”

 

Kata Lee, walaupun si kembarnya banyak karenah, terdapat banyak manfaat juga apabila membesarkan dua anak kecil yang sama umur. “Apabila mereka mula bersekolah, hampir tiada langsung keresahan pemisahan kerana mereka bersama. Apabila mereka jatuh sakit, biasanya mereka akan bergilir dan ini sangat membantu kami kerana kami sudah tahu apa yang perlu dijangka,” kata Lee.

 

Apabila tekanan meningkat, Lee bersyukur kerana dia ada pasangannya, James Oye. “Kepada dialah saya meluahkan perasaan apabila dia pulang ke rumah selepas kerja, dan dia jugalah yang setia mendengar saya bercakap tentang anak-anak, tak kira betapa letihnya dia ketika itu. Saya bersyukur saya boleh terlibat sepenuhnya dalam membesarkan anak-anak dan saya tak akan dapat melakukannya tanpa sokongan suami saya.”

 

“Kini, dengan anak ketiga di samping dua abang kembarnya, suasana di rumah tak pernah hambar – si kembar sangat sayangkan adik mereka dan hati saya berbunga apabila mereka cuba mengasuh adik mereka juga.”

Lebih mudah kali kedua

Susan Thomas-Taylor, 39, seorang guru, membesar di Subang Jaya, dan kini menetap di Fukuoka, Jepun bersama suaminya, Joel Taylor, seorang warga Kanada, dan dua anak perempuannya, Ziv Lucine, 3, dan Thea Thomas, 1.

Susan dan anak-anaknya

 

“Apabila saya menjadi seorang ibu, saya tahu yang hidup pasti akan sangat berbeza. Jadual baru mengatur hidup saya dan insan kecil ini ialah bos saya. Saya gemar belajar tentang semua tugasan berbeza sebagai ibu dan gembira melihat bayi saya mencapai titik perkembangan berbeza. Seluruh hidup saya dipenuhi dengan lebih banyak rasa sayang, senyuman, pelukan, tangisan, tapi juga kurang masa bersama pasangan dan pastinya kurang tidur!”

 

Susan berkata, dengan anak pertamanya, semuanya baru dan dia risau tentang semua perkara, tapi dia cepat belajar tentang penyusuan badan, bayi meragam, jadual tidur, tidur bersama bayi dan rumah selamat untuk bayi. “Anak saya mengajar saya agar menerima perubahan dan menyesuaikan diri untuk bertahan,” kongsinya.

 

“Apabila saya hamil dengan anak kedua, semuanya sudah kelihatan biasa bagi saya. Saya telah mengalaminya sebelum ini dan lebih yakin dengan kehamilan kedua ini. Walaupun ada cabaran melibatkan deria bau, penglihatan dan diabetes semasa hamil, saya tidak lagi menangis kerana hal-hal ini.”

 

Katanya, cabaran yang dihadapinya sebagai ibu datang dalam pelbagai saiz dan bentuk yang kerap berubah seperti sebuah cerita tanpa penamat. “Dengan si kakak, dia asyik buat perangai tentang mainan atau makanan atau taman yang mana kami harus pergi… Dia berada di satu peringkat di mana dia mahu melanggar sempadan. Dengan si adik pula, cabaran ketika ini ialah kami tidur bersamanya dan dia masih mahu bangun menyusu pada waktu malam dan saya sedang berusaha keras untuk menghentikannya!”

 

Susan suka melihat anak-anaknya meneroka dunia di sekitar mereka, serta mengagumi pelbagai pemandangan, bunyi, warna dan bau. “Saya mahu membantu mereka mencari arah hidup yang akan diambil. Saya mahu mendorong mereka agar berbuat baik dan jujur dalam apa saja yang mereka lakukan. Saya gembira kerana sebagai ibu, saya berpeluang melakukan tugas ini.”

Membina ikatan setelah dewasa

Pesara dan ibu tunggal, Mary Nathan, 57, daripada Rawang, masih ingat betapa banyak perbalahan antara dia dan anaknya, Ravena, yang baru memasuki usia 30 tahun. “Semasa dia remaja, Ravena memang banyak karenah. Kami ada hubungan yang rapat, tapi ini tidak menghalangnya daripada memberontak dan mahu mencuba bermacam perkara seperti mewarna rambutnya, mendapatkan tindik dan tatu, dan pergi ke konsert metal sehingga lewat malam!”

 

Mary masih ingat zaman remaja anaknya itu sebagai tempoh paling mencabar sepanjang perjalanan keibubapaannya. “Ravena memang degil sejak dulu lagi dan sering bertegas mahu mengikut caranya. Saya ingat lagi kami banyak bergaduh sehingga kami berdua mengalirkan air mata. Ketika itu, saya amat sedih dan rasa gagal sebagai ibu. Saya tak tahu di mana silap saya kerana saya telah habiskan banyak masa memupuk dan menjaganya semasa dia kecil, walaupun saya juga bekerja sepenuh masa ketika itu. Walaupun setelah Ravena memasuki umur 21 tahun, saya masih rasa sukar untuk membiarkan dia membina jalan hidupnya sendiri tanpa mengenakan peraturan saya.”

 

Kini, Ravena telah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. “Hubungan kami juga telah bertambah baik dan sebagai orang dewasa, kami saling hormat-menghormati, walaupun kadangkala kami masih lagi berselisih pendapat. Ravena telah menjadi seorang wanita muda yang cantik, penyayang, tegas dan bertanggungjawab. Kami kerap menelefon dan berbual dengan satu sama lain, berkongsi masalah kami, saling memberikan nasihat dan menantikan waktu cuti apabila kami boleh meluangkan masa bersama. Walaupun ada cabaran di sepanjang jalan, saya gembira kerana kami boleh belajar dan memperbaiki diri bersama.”

 

 

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen