Pengasuhan Positif

Membesarkan Anak-Anak ‘Hijau’

Prof Dr Lucy Lum, seorang pakar perunding pediatrik, mempunyai minat amat mendalam dengan amalan  gaya hidup lestari dan telah membesarkan anak-anaknya agar prihatin terhadap alam sekitar.

Semangat dan ketabahannya membawa kepada penglibatan aktif dengan inisiatif kitar semula peringkat komuniti oleh sebuah organisasi tempatan bukan kerajaan.

Pengasuhan Positif menemu bual beliau untuk mengetahui cara-caranya membesarkan ‘anak-anak hijau’.

Ramai daripada kita kurang prihatin tentang alam sekitar. Kita harus memulakan langkah tanpa menunggu ahli politik berbuat sesuatu. Kesedaran alam sekitar banyak dipengaruhi oleh amalan peribadi kita.

Paling baik adalah untuk mendidik anak-anak anda sejak kecil. Prof Dr Lucy Lum memberitahu umur pra-sekolah ialah waktu terbaik dengan membawa anak ke pusat kitar semula sebagai permulaan.

“Cara paling penting untuk menggalakkan mereka pastinya dengan melakukan perkara itu dahulu! Luangkan masa untuk amalan kitar semula dan jadi suri teladan. Jangan hanya mengarah si anak, anda sendiri perlu tunjukkan kepada mereka!”

Anak-anak Prof Lucy masih ingat ibu mereka membasuh dan menjemur beg plastik untuk digunakan semula. Prof Lucy mendedahkan beliau pernah dituduh melakukan penderaan kanak-kanak. Namun, beliau menyesal tidak memperkenalkan kitar semula peringkat komuniti kepada anak- anaknya lebih awal, kerana beliau pun mula menyertai sejak lima tahun lalu.

Jika tidak berjaya pada mulanya…

Jangan bimbang jika si anak tidak berminat pada mulanya kerana mereka berpendapat aktiviti mengasingkan bahan kitar semula membosankan. Dengan sedikit kesabaran, ibu bapa semestinya akan menemui cara yang berkesan. Satu kaedah berkesan adalah dengan menyediakan aktiviti berorientasikan aksi kepada anak-anak seperti memampatkan botol plastik atau tin aluminium.

Untuk menyeronokkan aktiviti kitar semula, pasangkan musik dan biarkan si anak menari sambil melakukan kerja. Ini satu cara baik untuk menggabungkan aktiviti fizikal ke dalam usaha kitar semula anda, menjadikan ia aktiviti menyeronokkan dan mengurangkan stres.

Plastik tidak akan reput!

Sisa plastik adalah salah satu sumber pencemaran terbesar. Walaupun plastik boleh terurai atau menjadi serbuk, ia tetap tidak reput tetapi menjadi plastik mikro. Plastik tidak berubah dari segi kimia, tetapi menjadi lebih halus. Ini menjadi bahaya apabila plastik mikro ini menjadi sebahagian daripada rantai makanan. Apabila ikan memakannya, plastik mikro akan terkumpul dalam badannya, tetapi apa pula terjadi apabila kita memakan ikan tersebut?

Fikir sekali lagi sebelum anda mencapai beg plastik, terutamanya plastik pakai buang percuma yang diberikan semasa membeli barangan basah. Sudah menjadi satu kebiasaan bagi ramai orang untuk menyarungkan dua atau tiga plastik untuk barangan basah. Penyelesaiannya – kurangkan, atau lebih baik, jangan gunakan plastik langsung.

Malangnya, sikap ‘tidak apa’ bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi di seluruh dunia – kita bertanggungjawab atas apa yang berlaku kepada alam sekitar tetapi ramai masih tidak mengambil langkah yang sepatutnya.

Apa anda boleh lakukan

“Kami beli beg kain daripada WWF (Tabung Alam Sedunia) pada 1995 sebagai pengganti beg plastik dan ia masih digunakan sehingga hari ini. Semasa anak lelaki saya kecil, dia akan berkata, ‘Mak cik! Kenapa masih gunakan beg plastik?!’ apabila melihat kawan- kawan saya menggunakan beg plastik,” Prof Lucy berjenaka.

Semasa membeli-belah, beliau biasanya membawa beberapa bekas plastik (bekas aiskrim yang diguna semula), dan beg kain, yang beliau syorkan lebih kukuh dan tahan lama berbanding beg serat plastik yang mudah koyak. Dengan cara ini, seseorang itu dapat membasmi terus keperluan menggunakan sebarang jenis beg plastik, termasuk gulungan plastik pakai buang.

Penjimat masa yang mudah

Tambah Prof Lucy, kebaikan mengguna semula bekas aiskrim ialah anda boleh terus menyimpan barangan kering/ basah. Barang makanan kering
seperti bawang putih atau halia, terus dimasukkan dalam bekas manakala barang makanan basah (contohnya ikan atau daging) boleh terus disimpan di dalam peti sejuk. Ini menjimatkan banyak masa. Lebih baik lagi, rancang terlebih dahulu dan isikan barang makanan basah ke dalam bekas-bekas berasingan untuk nyahbeku yang lebih mudah.

“Anda perlu berusaha sedikit dari segi penyediaan tetapi apabila sudah biasa, amalan membeli- belah secara ‘hijau’ sangat mudah. Anda hanya perlu basuh dan ulang!” katanya penuh semangat.

Jadikan rutin

“Keluarga saya sudah lama mengamalkan tabiat ini apabila ke pasar setiap Sabtu,” katanya. “Memandangkan kami selalu pergi ke tempat yang sama, si penjual sudah tahu apa yang kami mahukan. Kami biasanya terus memberikan bekas untuk mereka isi sementara kami berjalan- jalan untuk membeli barangan dapur lain.”

Sesetengah orang yang ditemui beliau di pasar akan berkata kepadanya penggunaan bekas kitar semula ialah satu idea baik. Walaupun mereka berminat, ramai yang masih tidak mengamalkannya. Prof Lucy menganggarkan hanya 1 daripada 200 yang ditemuinya akan mengamalkan kitar semula.

Ketabahan menjadi kunci

Jelas Prof Lucy, kejayaannya dalam mengimbangkan kerjaya, amalan hijau dan membesarkan anak-anak hijau tidak terletak pada sebarang ‘teknik rahsia’. Tambahnya, ketabahan amat penting untuk bertahan sehinggalah seluruh keluarga biasa dengan amalan ‘hijau’.

Amalan ini sememangnya memerlukan sedikit kemahiran pengurusan, tetapi apabila semua orang berganding bahu dan biasa dengan cara tersebut, semuanya akan berjalan lancar. Usaha Prof Lucy membuahkan hasil dan beliau berjaya mengurangkan pembuangan sampah keluarganya, sehinggakan mereka mengguna semula beg plastik roti untuk sampah seisi rumah. Sebarang sisa makanan akan dijadikan kompos.

Jelas Prof Lucy lagi, falsafah di sebalik amalan hijau bukanlah tentang penjimatan wang tetapi lebih kepada mendidik anak- anak kita untuk menghormati alam dan kehidupan. Amalan hijau adalah tentang penjagaan sumber alam semula jadi dengan tidak mensia siakan atau membazirkannya. Paling penting, amalan ini mengajarkan si anak untuk menghargai alam semula jadi. Sebab inilah beliau menyokong pengajaran tabiat- tabiat mampan kepada anak- anak sejak awal agar mereka bersedia untuk kehidupan dan pemakanan yang lestari kepada bumi.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen