Pengasuhan Positif

Pengasuhan: Daripada Anak-anak hingga Negara

Latar belakang YB Hannah Yeoh

Beliau ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Bual Bicara Masyarakat. Beliau juga ialah Ahli Parlimen Segambut, Kuala Lumpur. Beliau wanita pertama dilantik menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor daripada 2013 ke 2018, menjadikannya speaker termuda di Malaysia pada waktu itu. Sebelum pilihan raya yang membawanya ke Parlimen, beliau berkhidmat selama dua penggal sebagai wakil rakyat di Subang Jaya sejak 2008 sehingga 2018. Beliau ialah pemegang ijazah undang-undang dan seorang peguam di Australia dan Malaysia sebelum terlibat dalam politik. Pasangannya ialah Ramachandran Muniandy, dan mereka dikurniakan dua orang anak perempuan.

Kita sering melihat YB Hannah sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Walaupun begitu, bagaimana pula dengan keluarga beliau sendiri? Pengasuhan Positif baru-baru ini menemu bual YB Hannah untuk mendengar pengalaman dan pendapatnya sebagai ibu kepada dua orang anak.

Hannah bertuah kerana semuanya berjalan lancar untuk anak pertamanya. Oleh kerana beliau mempunyai fibroid, beliau melahirkan anaknya secara pembedahan Caesarean, yang menjadi satu pengalaman yang selesa.

“Mendapat anak merupakan perasaan paling hebat bagi saya. Saya tidak pernah rasa seperti saya tidak mampu menghadapinya. Pastinya ia lebih kelam-kabut semasa kelahiran anak kedua, memandangkan ketika itu ialah musim pilihan raya dan saya memang rasa amat tertekan,” luah ibu kepada dua cahaya mata itu.

Gaya pengasuhan

Gaya pengasuhan Hannah sebahagiannya terdorong daripada pengalaman kanak-kanaknya sendiri. Contohnya, bapanya sangat mementingkan keputusan yang bagus, maka, jangkaan yang tinggi sentiasa diletakkan ke atasnya untuk mencapai prestasi akademik cemerlang. Bagaimanapun, beliau cuba untuk tidak melakukan perkara sama kepada anak-anaknya kerana beliau sedar betapa jangkaan seperti itu boleh membawa tekanan.

“Pastinya saya bimbang jika saya terlalu tenang dengan anak-anak saya, tetapi kerana pengalaman saya membesar, melakukan perkara yang sangat berlawanan tidaklah mengejutkan. Walaupun saya anggap keputusan akademik adalah penting, saya tidak mahu anak-anak saya membesar sambil mengaitkan zaman kanak-kanak mereka dengan hanya belajar atau dipaksa menyertai aktiviti yang mereka tidak suka,” katanya.

Dari segi disiplin, beliau biasanya menggunakan teknik time out atau menarik balik kelebihan tertentu seperti waktu TV atau menghadiri parti kawan. Bagaimanapun, Hannah akui, “Saya masih cuba sedaya upaya untuk tidak memarahi mereka, tetapi ia sukar kerana anak-anak saya cenderung untuk membuat perangai di tempat awam kerana mereka tahu saya harus lebih bersabar dengan mereka di mata orang awam.”

Pengorbanan

“Saya terlibat dalam politik selama 10 tahun dan melalui tiga pilihan raya, dan adakalanya saya dan suami terpaksa melakukan penyesuaian,” kongsinya.

Sambil memetik penggal pertamanya sebagai contoh, Hannah berkata suaminya Ramachandran meletak jawatan dan memulakan perniagaan sendiri bagi memperuntukkan lebih masa bersama dan membantunya dalam dua tahun pertama beliau menjalankan tugas. Ini telah memberikan fleksibiliti kepada suaminya untuk bekerja sambil meluangkan masa bersama anak-anak mereka apabila Hannah perlu bertugas jauh dari rumah.

Kepentingan masa keluarga

Hannah dan Ramachandran kedua-duanya menyertai gereja komuniti di mana mereka membantu menyediakan perkhidmatan kaunseling pra- perkahwinan. Beliau sering berurusan dengan individu yang terkesan oleh zaman kanak- kanak yang bermasalah; oleh itu Hannah mahu memastikan pekerjaannya tidak menjejaskan masanya bersama keluarga.

“Saya tidak mahu anak saya membesar dengan rasa benci terhadap politik atau khidmat masyarakat kerana dua perkara itu mengambil masa ibu bapa mereka. Memandangkan kami telah melihat apa kesannya kepada orang muda, kami sedaya upaya cuba mengimbangkan kerja dan masa bersama anak-anak,” katanya.

Sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah mengamalkan apa yang beliau ucapkan tentang masa keluarga dan tentang menjadi ibu bapa yang bertanggungjawab dan penyayang. Beliau cuba yang terbaik untuk sekurang- kurangnya meluangkan masa bersama anak-anak semasa mereka rehat dan bersiap untuk tidur.

“Memandangkan anak-anak saya akan masuk tidur pada pukul 8.30 malam, saya perlu cermat dengan pengurusan masa saya sendiri agar boleh pulang untuk bertemu mereka; jika tidak, saya tak akan sempat jumpa mereka!” katanya.

Bahaya gajet digital

Sekarang beliau sangat tegas dengan masa gajet, dan hanya membenarkan penggunaan yang singkat. Malah, pakar turut bersetuju bahawa sepatutnya tiada gajet boleh diberikan kepada kanak-kanak di bawah dua tahun. Tentang media sosial pula, beliau juga memberi peringatan bahawa ibu bapa harus lebih berwaspada. “Bahaya membiarkan anak anda meneroka internet sendiri.

Saya sudah cuba di YouTube dan dengan hanya empat klik, anda boleh dibawa daripada Sesame Street kepada sesuatu yang tidak sesuai untuk kanak- kanak. Jangan lupa, banyak video yang penuh dengan maklumat atau fakta yang salah. Anda harus berbincang dengan anak-anak tentang keselamatan internet dan ingatkan mereka supaya jangan berbual dengan orang tidak dikenali.”

Namun, setiap kali beliau memberitahu anak-anaknya “Jangan bermain gajet!”, mereka akan membalas, “Ibu juga selalu menggunakan telefon semasa di rumah!” kerana beliau kerap menggunakan WhatsApp untuk komunikasi berkaitan kerja. Hannah memberitahu, “Ini membuatkan saya sedar bahawa pengasuhan yang berkesan adalah apabila ibu bapa konsisten dengan arahan yang diberitahu kepada anak- anak. Kita juga harus melakukan perkara yang sama. Menjadi hipokrit tidak berkesan kerana mereka akan lihat bahawa kita tidak
lakukan apa yang kita beritahu. Kita harus berhati-hati dengan perbuatan kita.”

Dekat di hati

Sebagai timbalan menteri dan juga seorang ibu, satu isu yang sangat beliau ambil berat ialah penderaan kanak- kanak. Katanya, “Kanak-kanak boleh terluka bukan sahaja secara fizikal, tetapi juga emosi. Saya sudah lihat bagaimana seseorang membawa luka atau masalah emosi daripada zaman kanak-kanak sehingga dewasa. Ia menjejaskan personaliti dan perangai mereka apabila dewasa, membawa kepada rasa sangsi terhadap orang lain, sentiasa menaikkan suara, atau kelakuan lain yang membezakan mereka daripada orang lain.”

Beliau menggalakkan ibu bapa membesarkan anak mereka agar bukan sahaja selamat daripada kecederaan fizikal, tetapi juga emosi. Katanya, “Parut emosi atau psikologi boleh meninggalkan trauma dan mengakibatkan kesukaran yang mereka perlu hadapi sepanjang hidup. Dapatkan kaunseling untuk anak anda jika perlu kerana ini sangat penting.”

Pengasuhan sememangnya pekerjaan sepenuh masa dan anda harus sentiasa bersedia. Bagaimanapun, terlalu menekankan sesuatu perkara bukanlah jawapannya kerana itu boleh membawa kepada zaman kanak-kanak yang terkongkong tanpa keseronokan.

Nasihat Hannah? Kata ibu berpengalaman ini, “Sukar untuk mendapatkan keseimbangan yang ideal antara terlalu sedikit dan terlalu banyak, tetapi perkara yang wajar dilakukan oleh ibu bapa adalah sentiasa belajar dengan membaca lebih banyak tentang pengasuhan atau menerusi perbincangan dengan pakar.”

 

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen