Tun Dr Siti Hasmah dilahirkan pada 1926, di Kampung Jawa, Klang, Selangor. Bapa beliau adalah seorang penjawat awam sementara ibu beliau ialah suri rumah tangga sepenuh masa. Tun ialah anak keenam daripada sepuluh adik beradik, dan mempunyai tujuh orang anak, lapan belas cucu dan seorang cicit.
Pada usia 92 tahun, Tun mempunyai banyak pengalaman untuk dikongsikan, dan Pengasuhan Positif berpeluang bertemu dengannya baru-baru ini untuk mendapatkan perspektif beliau mengenai keibubapaan pada masa dahulu, dan lebih penting lagi, untuk mendengar pendapatnya tentang isu-isu terkini berkaitan keibubapaan.
Keibubapaan Masa Dahulu
Pada 1920-an, ibu bapa Tun sangat konservatif. Keluarga yang besar adalah kebiasaan ketika itu dan keluarga beliau mempunyai seramai dua belas orang ahli. Kata beliau, “Frasa ‘gaya keibubapaan’ tidak wujud pada masa itu tetapi ibu bapa saya berpegang kepada idea tertentu berkenaan bagaimana anak-anak harus dibesarkan, terutamanya dari segi pendidikan dan disiplin.”
Walaupun ibu bapa Tun tidaklah begitu tegas, pendidikan dan kejujuran dipandang serius. Peranan ibu bapa juga jelas dibahagikan, dengan ibunya menguruskan kesejahteraan keluarga secara umum, dari segi kesihatan, makanan, pakaian dan sebagainya, sementara bapanya pula bertanggungjawab menguruskan pendidikan dan nilai moral mereka.
“Saya masih boleh ingat bagaimana ibu bapa saya akan panggil kesemua anak duduk bersama-sama untuk ‘mesyuarat keluarga’ jika salah seorang telah membuat kesalahan. Mereka akan menjelaskan apa kesalahan itu dan pesalah akan didenda serta merta. Dengan cara ini, setiap daripada kami akan tahu apakah kesalahan yang dibuat dan hukumannya. Ibu bapa saya masing-masing mempunyai kaedah tersendiri untuk memberikan hukuman; bapa saya akan menggunakan rotan dan ibu pula sering menggunakan pembaris,” cerita Tun.
Maju Ke Hadapan
Tun masih berpegang dengan kekuatan disiplin dan kepentingan pendidikan. Bagaimanapun, cara keibubapaan beliau sendiri tidak bergantung kepada hukuman keras tetapi lebih cenderung dengan kaedah kehilangan keistimewaan seperti mengambil telefon daripada anak buat sementara waktu.
“Satu lagi perkara penting ibu bapa harus ingat adalah mereka harus bertegas. Mereka juga patut menjadikan diri mereka sebagai contoh yang baik. Jangan berlembut apabila anak anda menangis. Anda harus menjadi tegas dan tidak mengalah, terutamanya jika anak anda telah melakukan kesalahan dan sedang didenda,” nasihat beliau.
Disiplin Hari Ini
Disiplin pada waktu dahulu sinonim dengan rotan, tetapi hari ini, cara keibubapaan lebih fokus kepada anak. Beliau menyokong pandangan moden itu dan tidak setuju dengan hukuman keras.
“Anda harus bercakap dengan anak anda, dan bertanya mengapa dia melakukan sedemikian. Jika anda mendenda mereka, pastikan anda menerangkan sebabnya juga,” kata Tun.
“Ibu bapa harus rapat dengan anak-anak mereka supaya anak-anak berasa yakin jika mereka mempunyai sebarang masalah, ibu bapa akan ada untuk membantu mereka, mendengar mereka, dan membantu mereka menyelesaikan masalah mereka. Ini penting dan relevan hari ini sebagaimana ia relevan sewaktu saya kecil. Komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak harus ada,” kata beliau.Tun turut menambah yang perkara ini harus diteruskan walaupun anak-anak sudah berkahwin dan mempunyai anak mereka sendiri.
Petua Tun
Menguruskan kerjaya yang sibuk sambil memenuhi tugas seorang ibu bukan perkara yang senang. Bagaimanapun, Tun berjaya menguruskan semuanya dengan baik kerana beliau boleh mengharapkan ibu bapanya, keluarga mertua, dan adik-beradik untuk membantu apabila anak-anak Tun perlu ditinggalkan di rumah.
Tun juga cukup bertuah kerana menjumpai seorang penjaga anak yang berpengalaman dari kampungnya sendiri, yang bermakna beliau tidak perlu bergantung kepada orang gaji asing sebagai pengasuh atau pembantu rumah. Aspek terpenting yang harus dicari dalam seseorang penjaga adalah kualiti penjagaan yang dia boleh berikan.
Gajet Digital & Keluarga
Tun menyuarakan kebimbangannya terhadap ibu bapa yang terlalu bergantung kepada gajet digital untuk membantu mereka. Menurut pemerhatian sendiri, katanya, “Kenalan lama saya dari Kedah kadangkala membawa anak-anaknya ke rumah kami dan biasanya memberikan mereka gajet digital agar mereka diam. Bagaimanapun, saya percaya sebarang ciptaan baik juga boleh disalahgunakan, terutamanya dengan kanak-kanak; mereka kelihatan sudah biasa dengan gajet sejak kecil.”
Tun juga menyatakan bahawa sesetengah kanak-kanak sudah mula menggunakan komputer seawal 6 tahun. Beliau akui, gajet digital mempunyai faedahnya sebagai sumber maklumat yang baik. Bagaimanapun, beliau berharap ibu bapa lebih berusaha untuk memantau kandungan yang diakses anak-anak mereka. Ia harus berkualiti tinggi dan terdapat kandungan pendidikan.
Tun juga menasihati ibu bapa untuk mengawal akses anak-anak mereka terhadap gajet digital dan juga kandungan yang mereka layari. Beliau menegaskan, “Pastikan anda mengajar anak anda untuk hanya menggunakan gajet digital pada waktu tertentu. Jangan benarkan penggunaan gajet digital semasa waktu makan bersama keluarga atau waktu berkumpul.”
“Berkomunikasi dengan anak-anak anda adalah penting. Anda harus meluangkan masa untuk mereka.”
Keibubapaan Proksi
Zaman bapa bekerja dan ibu tinggal di rumah sudah berlalu. Realiti kehidupan moden adalah keibubapaan kini menjadi satu usaha berpasukan, yang memerlukan bukan sahaja kedua-dua ibu bapa, tetapi satu pasukan sokongan yang besar. Sudah menjadi kebiasaan bagi ibu bapa untuk mendapatkan bantuan ibu bapa mereka, keluarga mertua, atau mengambil seseorang bekerja untuk menjaga anak mereka pada siang hari. Ini biasanya membawa kepada situasi di mana ibu bapa hanya meluangkan sedikit masa dengan anak-anak mereka setiap hari. Sambil menggeleng kepalanya, Tun menambah, “Ya, saya tahu sesetengah perkara lebih senang dikatakan daripada dilakukan. Pada masa yang sama, kita harus menumpukan perhatian kepada anak-anak atau meluangkan lebih banyak masa dengan mereka apabila boleh. Tetapi hakikatnya, ibu bapa mungkin tiba di rumah lewat kerana kerja, kesesakan trafik, atau sebab lain. Apabila mereka sampai di rumah, bayi atau anak-anak mereka mungkin sudah tidur. Walaupun begitu, berkomunikasi dengan anak-anak anda adalah penting. Anda harus meluangkan masa untuk mereka.
Kata Tun, “Saya masih ingat semasa (Tun Dr) Mahathir dan saya bekerja sebagai doktor… Saya akan pulang lebih awal untuk meluangkan masa dengan anak-anak, tetapi (Tun Dr) Mahathir seorang doktor umum ketika itu dan terpaksa pulang lewat biasanya. Perkara pertama yang dilakukannya sebaik tiba di rumah adalah meluangkan masa dengan anak-anak. Beliau akan mendukung mereka ke sana ke mari dan apabila tiba waktu tidur, beliau akan menghantar mereka ke bilik tidur.”
Tun juga berkata mereka juga sentiasa cuba untuk membawa anak-anak mereka ke mana-mana mereka pergi. Di samping dapat meluangkan masa sebagai keluarga, ia juga boleh mendidik anak-anak.
Sayangi Anak Anda
Tun juga menegaskan yang ibu bapa harus memenuhi peranan ibu bapa dengan serius dan berkata, “Apabila kita mempunyai anak, kita harus betul-betul menjaga anugerah ini yang diberikan oleh Tuhan menerusi kasih sayang anda dengan suami. Sedih apabila ibu bapa mendera anak mereka atas apa sebab sekalipun. Anak itu ‘terhasil’ dari hubungan anda dan suami, jadi tugas anda untuk mengasihi, melindungi dan menjaga mereka.”
Tun juga menasihati ibu bapa agar berfikir panjang sebelum mendapatkan anak, “Jika anda tidak mahu menjaga anak-anak anda atau tidak mampu, lebih baik anda tidak mempunyai anak. Apakah tujuan mempunyai anak jika anda akan mendera mereka? Bukan sahaja anda akan hancurkan hidup mereka, anda juga mungkin akan meringkuk di penjara!”
Tun juga menyokong penyusuan badan dan berpendapat ia sangat kritikal dalam membantu ibu menguatkan hubungan dengan anak-anak. Tun adalah penyokong tegas penyusuan susu ibu dan imunisasi. Ini adalah kerana beliau telah mula bekerja masa kes-kes difteria, batuk kokol, polio dan tuberkulosis masih berleluasa. Semua penyakit-penyakit ini sekarang tidak berlaku lagi disebabkan vaksin-vaksin yang diberi kepada kanak-kanak.
Beliau juga menasihati ibu bapa untuk menyayangi anak-anak dan menghargai masa dengan mereka, sambil berkata, “Apabila mereka sudah besar, anda akan menjadi kurang utama dalam hidup mereka, kerana mereka akan mempunyai rakan-rakan dan keutamaan mereka sendiri. Selain itu, jangan abaikan pendidikan agama mereka, kerana ia akan membantu memberikan mereka panduan yang mereka perlukan apabila dewasa. Memandangkan Malaysia negara pelbagai kaum dan budaya, galakkan mereka bergaul dengan semua orang. Dalam mengejar kecemerlangan akademik, jangan abaikan pengajaran nilai moral seperti mempunyai rasa hormat, jujur, dan rajin dalam apa saja yang mereka lakukan.”
Tun Dr Siti Hasmah’s Motherly Words on Parenting
Tun Dr Siti Hasmah’s Motherly Words on Parenting
Tun Dr Siti Hasmah: “If you don’t want to look after your children or you are not capable, it may be better not to have any children.”
Article: https://mypositiveparenting.org/2018/05/22/a-morning-with-yabhg-tun-dr-siti-hasmah/
Posted by Positive Parenting on Monday, July 23, 2018
Komen