Pengasuhan Positif

Rumah Yang Selamat untuk Kanak-kanak

Rumah seharusnya menjadi tempat selamat untuk kanak-kanak pelbagai umur. Namun, ia biasanya menyimpan berbagai barangan yang boleh jadi berbahaya jika dibiarkan begitu saja, seperti perabot, bateri, ubat-ubatan, bahan pencuci serta objek panas atau tajam.

Ibu bapa dan penjaga perlu sentiasa peka dengan keselamatan kanak-kanak dan bersedia dengan langkah-langkah yang perlu agar rumah kekal selamat untuk kanak-kanak. Dengan ini, kecederaan seperti jatuh, melecur, keracunan, lemas, dan tercekik boleh dielakkan. Selain itu, pada umur kanak-kanak yang berbeza, terdapat perkara berbeza yang perlu diberi perhatian.

Bayi (≤ 1 tahun)

Keselamatan harus menjadi keutamaan semasa waktu mandi, tidur dan makan. Bayi perlu pengawasan sepenuhnya ketika dimandikan, dan suhu air juga penting! Tempat tidur juga sepatutnya tidak serabut – benda-benda seperti bantal, selimut dan patung mainan tidak diperlukan kerana ia boleh menyebabkan bayi lemas. Apabila bayi menaiki kereta, pastikan anda menggunakan kerusi keselamatan yang sesuai dengan umurnya. Bermula umur 6 bulan, bayi pandai bergerak sendiri dan ini boleh menyebabkan kemalangan akibat terjatuh.

Kanak-kanak petatih (1-3 tahun)

Kini anak anda boleh berjalan dan meneroka sendiri persekitarannya. Maka, pastikan pintu ke dapur, bilik air dan laman rumah sentiasa dikunci. Anda juga boleh memasang penghadang keselamatan untuk mengelakkan anak anda turun atau naik tangga. Pastikan ubatan, bahan pencuci dan bahan berbahaya lain tidak diletakkan merata-rata di sekitar rumah kerana ini boleh membahayakan kanak-kanak.

Kanak-kanak prasekolah (4-6 tahun)

Anak anda perlu belajar tentang keselamatan di jalan raya, taman permainan dan dengan orang tidak dikenali. Kegiatan mudah seperti berbasikal dan berenang juga boleh mendatangkan bahaya. Pada peringkat ini, kanak-kanak bukan saja perlu diawasi, tapi juga perlu diajar tentang keselamatan. Ibu bapa harus menjadi teladan bagi kelakuan selamat dan memberikan arahan yang jelas

Jika boleh, ibu bapa dan penjaga perlu mengetahui asas pertolongan cemas dan CPR, agar mereka boleh memberi pertolongan cemas sekiranya berlaku kemalangan.

Petua keselamatan di sekitar rumah:

Bilik tidur dan ruang tamu

  • Pastikan wayar-wayar tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak, terutamanya yang bersambung dengan alatan panas seperti seterika, cerek elektrik, periuk nasi atau pengering rambut
  • Jangan tinggalkan wayar pada suis yang terpasang (cth: pengecas telefon)
  • Tutup semua peralatan elektrik jika tidak digunakan

Bilik air

  • Pasang alas pencegah licin di lantai bilik air untuk mengelakkan daripada jatuh
  • Waktu mandi perlu sentiasa diawasi (kanak-kanak boleh lemas dalam sekelip mata walaupun dalam air secetek 6 cm)
  • Pastikan tempat duduk tandas ditutup dan dikunci jika perlu
  • Pastikan sabun dan syampu disimpan elok-elok jika tidak digunakan

Dapur

  • Pemegang periuk perlu diletakkan menghala ke dalam di atas dapur
  • Perkakas dapur perlu disimpan dengan betul
  • Jauhkan objek mudah terbakar daripada permukaan panas
  • Guna penghadang bayi untuk menghalang bayi dan kanak-kanak petatih
  • Pastikan pemadam kebakaran tersedia

Laman rumah

  • Simpan semua racun serangga dan perkakas taman dengan selamat
  • Pastikan perkakas elektrik (pemotong rumput, pemotong semak) dan barangan tajam jauh daripada capaian kanak-kanak

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen