Pengasuhan Positif

Pembuka Bicara dengan Kanak-kanak

Conversation Starters with Kids

Komunikasi adalah penting untuk membina hubungan yang sihat. Lebih kerap anda berbual dengan seseorang, lebih erat hubungan anda. Hubungan amat penting untuk dimulakan seawal bayi lagi, tetapi memulakan perbualan kadangkala amat mencabar, terutamanya dengan kanak-kanak kerana usia yang berbeza.

Kepentingan perbualan

Bagi memastikan terdapat komunikasi terbuka dalam hubungan anda dan anak, anda perlu mengambil langkah proaktif, terutamanya apabila anak anda makin membesar.

Komunikasi yang sihat akan memudahkan kita menangani apa saja konflik yang mungkin timbul dan mengukuhkan lagi hubungan dengan anak anda. Kenali anak anda dengan lebih mendalam melalui topik-topik seperti “Apa harapan awak di masa depan?” dan “Apa yang awak suka lakukan?” Jadikan ia satu kebiasaan untuk berbual topik seperti ini agar mereka selesa dengannya.

Memulakan perbualan mungkin mencabar pada mulanya, tetapi apabila anda sudah terbiasa, anda akan mendapat manfaat daripada komunikasi terbuka. Mulakan seawal mungkin, malah sejak bayi dalam rahim lagi. Cara anda bertanya soalan kepada anak anda tentunya boleh menggalakkan mereka bercakap, atau sebaliknya, boleh membuat mereka lebih tertutup. Oleh itu, tumpukan perhatian semasa berbual dengan mereka.

Tip untuk perbualan yang lancar

  • Cuba tanya soalan yang subjektif dan bukan soalan yang boleh dijawab dengan “ya” atau “tidak”. Contohnya, anda boleh tanya “Apa perkara paling menarik awak buat di sekolah hari ini?” bukannya “Bagaimana sekolah hari ini?”
  • Mulakan dengan pemerhatian Apabila kanak-kanak boleh merujuk kepada suatu contoh, lebih mudah untuk mereka menyumbang kepada perbualan. Contohnya, anda boleh berkata “Ibu dengar awak menyanyi lagi Negaraku semasa perhimpunan pagi ini, tapi tak semua ikut sekali. Kenapa awak rasa ada murid yang tak menyanyi?”
  • Kongsi sesuatu tentang diri anda yang mereka juga alami. Contohnya, anda boleh kongsi apa makanan anda pada waktu rehat di sekolah dahulu dan dengar pendapat mereka.
  • Pastikan anda dan anak anda selesa dengan topik yang dibualkan.
  • Bercakap dengan anak anda pada aras mata mereka, terutamanya dengan kanak-kanak lebih kecil.

Cadangan pembuka bicara

Anda mungkin selalu sibuk tapi cubalah mencari masa untuk berbual semasa sarapan, ketika makan malam atau sebelum tidur. Ingat, tumpukan perhatian kepada anak anda – pastikan anda tidak menggunakan telefon atau peranti lain. Berikut beberapa soalan mudah untuk memulakan perbualan dengan mereka:

Sarapan

  • “Apa yang awak suka dengan sarapan hari ini?”
  • “Kalau kita bertukar tempat, apa yang awak akan sediakan untuk sarapan?”

Makan malam

  • “Apa perkara terbaik awak buat di sekolah hari ini?”
  • “Apa perkara paling menarik cikgu ajar hari ini?”

Sebelum tidur

  • “Apa perkara awak paling bersyukur hari ini?”
  • “Apa perkara paling baik awak buat hari ini?”

Walaupun pembuka bicara bukanlah satu formula magik, ia boleh membantu anda. Jangan harapkan jawapan panjang berjela daripada anak anda. Sasarannya adalah untuk mengadakan perbualan-perbualan ringkas sedikit demi sedikit. Dalam jangka masa panjang, anda akan memupuk persekitaran yang sesuai untuk komunikasi terbuka yang akan menyumbang kepada kesejahteraan keluarga. Mulakan perbualan anda hari ini!

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen