Pengasuhan Positif

Malpemakanan & Kehamilan

Malpemakanan adalah istilah umum bagi:

  • Kekurangan atau berlebihan zat makanan
  • Pengambilan nutrien yang tidak mencukupi atau melebihi keperluan untuk pertumbuhan dan untuk mengekalkan tubuh yang sihat

Punca utama malpemakanan:

  • Kurang pengambilan nutrien/kalori untuk memenuhi keperluan kehamilan.
  • Kurang pengetahuan tentang pemakanan prenatal yang mencukupi, atau pantang-larang pemakanan yang berkait dengan kehamilan.
  • Hilang atau kurang selera makan disebabkan masalah loya dan muntah ataupun mabuk hamil.
  • Sakit gigi atau penyakit mulut yang menghalang anda daripada makan.
  • Penggunaaan ubat-ubatan yang mengganggu penyerapan nutrien.
  • Penyakit atau masalah lain yang menyebabkan cirit-birit, mual, dan muntah-muntah.

malnutrition-and-pregnancy-1

Bahaya Malpemakanan

Malpemakanan merupakan risiko kesihatan serius bagi wanita hamil dan yang menyusukan bayi, memandangkan ia boleh menyebabkan kehamilan yang berisiko dan juga menjejaskan penghasilan susu ibu yang berkhasiat.

Risiko kesihatan:

Kekurangan zat makanan boleh menyebabkan peningkatan berat badan yang tidak mencukupi ketika hamil, lalu meningkatkan risiko kematian ibu dan bayi. Pemakanan berlebihan pula boleh menyebabkan bayi yang berlebihan berat ketika lahir. Kedua-dua bayi yang kurang berat (<2.5kg), dan yang berlebihan berat (>4kg) ketika lahir, berisiko membesar menjadi orang dewasa yang berlebihan berat badan atau obes (sekaligus meningkatkan risiko mereka terhadap penyakit-penyakit kronik seperti hipertensi, diabetes, dan penyakit jantung). Ingat, sumber khasiat untuk janin hanyalah daripada makanan dan minuman yang anda ambil!

Asid folik merupakan vitamin yang terdapat secara semula jadi di dalam makanan seperti bayam, brokoli, kacang hijau dan daun salad. Tanpa asid folik yang mencukupi dalam tubuh anda, bayi anda mungkin mengalami kecacatan sistem saraf seperti spina bifida (perkembangan saraf tunjang atau vertebra yang tidak sempurna) atau anensefali (perkembangan bahagian utama otak yang tidak sempurna). Anda mungkin ingin mendapatkan nasihat doktor anda tentang pengambilan suplemen zat besi dan asid folik yang juga mengandungi vitamin dan mineral lain.

Mencegah Malpemakanan

Makan mengikut Saranan Piramid Makanan Malaysia akan membantu anda mencegah daripada malpemakanan.

malpermakanan-dan-kehamilan

Satu prinsip yang sangat baik untuk diikuti bagi mendapatkan diet yang seimbang dan sihat ialah Seimbang, Sederhana, dan Pelbagai (SSP). Ini bermakna, diet anda harus seimbang dan terdiri daripada makanan daripada kesemua lima kumpulan makanan yang terdapat dalam Piramid Makanan Malaysia, mengikut saiz sajian sederhana yang dihidangkan mengikut jumlah sajian yang disarankan bagi setiap kumpulan makanan, dan mengandungi jenis makanan yang pelbagai untuk memenuhi kesemua keperluan pemakanan anda.

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen