Pengasuhan Positif

“Ibu, Saya Tak Boleh Dengar.”

Kebanyakan kanak-kanak boleh mendengar sejak mereka lahir. Bagaimanapun, ada kanak-kanak yang dilahirkan pekak atau kurang pendengaran. Adakah anak anda seorang daripadanya?

Oleh Profesor Dato’ Dr Lokman Saim, Pakar Perunding Otorinolaringologi

Kanak-kanak belajar bercakap dengan meniru bunyi dan suara yang mereka dengar dari sekeliling mereka. Ini adalah satu daripada aspek penting perkembangan mereka. Justeru, masalah pendengaran boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak. Tahap dan jenis kehilangan pendengaran penting kepada perkembangan kemahiran pertuturan mereka. Kehilangan pendengaran menjejaskan si manja dalam empat cara utama:

  • Ia menyebabkan kelewatan dalam perkembangan kemahiran pertuturan dan bahasa
  • Ia menyebabkan masalah pembelajaran yang boleh menyusutkan prestasi akademik
  • Kesulitan komunikasi menyebabkan kanak-kanak terasing
  • Kesukaran membuat pilihan vokasional pada masa hadapan

Kehilangan pendengaran perlu dikenal pasti dengan segera. Jika kehilangan pendengaran adalah kekal, si manja perlukan alat bantuan pendengaran seawal mungkin untuk membantu keupayaan pendengarannya agar pertuturan, pembelajaran serta kehidupan sosialnya dapat berkembang secara optimum.

Kanak-kanak Kecil

  • Tidak memusing kepala menghala arah bunyi
  • Bayi tidak terjaga bila terdapat bunyi yang kuat
  • Perkembangan pertuturan tertunda iaitu kegagalan pertuturan perkataan tunggal pada usia satu setengah tahun
  • Tidak menunjukkan minat bila dibacakan buku atau bermain permainan perkataan
  • Suka menjerit atau memekik bila berkomunikasi atau bermain
  • Lebih responsif kepada ekspresi muka daripada percakapan
  • Malu atau menyendiri
  • Sering keliru dan bingung

Kanak-kanak Lebih Besar

  • Tidak dapat memberi respons kepada soalan atau bunyi
  • Tidak dapat memberi respons kepada permintaan secara lisan
  • Tidak memberi tumpuan

Beberapa Punca Kehilangan Pendengaran

Penyakit Virus

Rubela yang menjangkiti ibu semasa mengandung tiga bulan pertama boleh mengganggu perkembangan bahagian dalam telinga janin. Penyakit virus lain seperti beguk juga boleh menyebabkan kecacatan pendengaran.

Masalah Semasa Lahir

Jaundis atau penyakit kuning yang dikesan semasa bayi lahir atau sejurus selepas lahir boleh merosakkan bahagian dalaman telinga.

Kecacatan Keturunan

Lima puluh peratus kehilangan pendengaran kanak-kanak adalah berpunca daripada keturunan, lebih-lebih lagi jika masalah yang sama dialami oleh saudara jauh.

Meningitis

Sesekali meningitis menyebabkan kehilangan pendengaran, tahap ringan hingga berat.

Dapatkan Bantuan

Kanak-kanak yang mengalami sesetengah bentuk kehilangan pendengaran masih boleh mendengar, sama ada dengan menjalani pembedahan telinga atau penggunaan alat bantuan pendengaran yang dipasang betul. Untuk mengenal pasti tahap kehilangan pendengaran dan memilih alat bantuan pendengaran yang sesuai untuk si manja, anda perlu membawanya berjumpa pakar audiologi.

Antara rawatan yang biasa digunakan termasuk pengambilan antibiotik untuk menyembuhkan jangkitan (bagi kes kehilangan pendengaran sementara), mengeluarkan tahi telinga atau benda asing, menggunakan alat bantuan pendengaran, alat bantuan vibrotaktil (yang menterjemahkan bunyi ke dalam getaran yang dirasai menerusi kulit), dan implan koklea, kaedah paling berkesan bila dilakukan pada usia muda. Selain itu, terapi pertuturan juga penting untuk kanak-kanak yang mengalami sebarang jenis kehilangan pendengaran kekal untuk membantu mereka memaksimumkan kemahiran komunikasi mereka.

Kebanyakan sekolah mempunyai program yang membantu ibu bapa mengajar anak-anak mereka mendengar. Kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran boleh mendaftar kelas khas untuk pelajar cacat pendengaran atau dalam kelas biasa dengan tambahan bantuan pertuturan.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen