Pengasuhan Positif

6 Tip Mudah Menangani Ekzema dalam Kanak-kanak

Anak anda mengalami ekzema? Walaupun ekzema sukar sembuh, jangan risau! Terdapat cara untuk menangani gejala-gejalanya dan membantu anak anda menikmati hidup yang sihat dan gembira.

Apakah itu ekzema?

Ekzema biasanya menyebabkan kerengsaan atau keradangan kulit, dan anak anda juga cenderung menghidap alahan lain seperti asma dan resdung (rhinitis). Antara tanda utama ekzema ialah kegatalan kulit. Kulit anak anda juga akan menjadi merah, kering atau keras.

Tip menangani ekzema dalam kanak-kanak

  1. Sapu pelembap! Pilih pelembap yang boleh melegakan keradangan dan melembapkan semula kulit. Sapu beberapa kali setiap hari, terutamanya selepas anak anda mandi.
  2. Guna fabrik yang sesuai. Fabrik yang kasar atau kesat boleh merengsakan kulit, jadi elakkan bahan seperti bulu bebiri. Sebaliknya, pilih fabrik yang ringan dan ringkas seperti kapas untuk pakaian dan kelengkapan tidur.
  3. Basuh pakaian baru. Ini untuk menyingkirkan alergen jika ada. Namun, ingatlah bahawa sesetengah cecair cucian juga boleh mencetuskan ekzema. Guna produk pencuci yang sesuai.
  4. Pastikan kuku sentiasa pendek. Ini akan mencegah kerosakan kulit akibat menggaru. Digalakkan juga untuk memakai sarung tangan.
  5. Amalkan rutin mandi yang baik. Mandi kerap tapi jangan mandi terlalu lama menggunakan air panas. Guna pencuci yang sesuai dan elakkan sabun biasa.
  6. Guna pencuci bebas pewangi. Pewangi boleh mencetuskan kerengsaan. Pilih pencuci dengan pH rendah yang mengandungi bahan yang boleh melegakan ekzema, seperti asid lemak omega-6 atau -3.

Cara memilih pelembap

  • Pilih pelembap yang mengandungi bahan aktif (emollient plus) seperti licochalcone A dan menthoxypropanediol yang boleh meredakan gejala.
  • Cari pelembap yang mengandungi bahan yang boleh memulihkan kulit seperti seramida, asid lemak omega-6, mil oat koloid dan prebiotik.
  • Elakkan produk yang mengandungi sodium lauryl sulfate (SLS).
  • Cari pelembap yang bebas pewarna dan pewangi (“tanpa bau” mungkin masih mengandungi pewangi).

Paling penting, pilih pelembap yang sesuai dan berkesan untuk anak anda.

Ekzema ialah masalah jangka panjang di kalangan kanak-kanak, tapi ia akan pulih sendiri dengan peningkatan umur kanak-kanak terutamanya semasa zaman persekolahan. Selain daripada penjagaan kendiri yang dicadangkan di sini, anda juga perlu merujuk pakar kesihatan bagi merancang rawatan untuk si manja anda.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen