Pengasuhan Positif

Peparu & Kesihatan Pernafasan

Antara gejala COVID-19 yang tipikal ialah kesukaran bernafas. Ini tanda bahawa peparu atau sistem pernafasan telah diserang oleh virus. Tapi apa yang anda tahu tentang peparu dan bagaimana kita boleh menjaga organ penting ini?

Peparu adalah organ utama sistem pernafasan. Apabila kita menarik nafas, udara memenuhi peparu, lalu oksigen dalam udara akan diserap ke dalam salur darah. Pada masa yang sama, karbon dioksida yang dihasilkan oleh badan disingkirkan daripada salur darah ke dalam peparu dan dihembus keluar. Pertukaran gas ini berlaku dalam alveoli, iaitu sekelompok kantung udara di hujung bronkiol dalam peparu. Ini dipanggil proses respirasi, yang penting untuk setiap hidupan.

Tambahan lagi, peparu dan sistem pernafasan juga berperanan:

  • Mengatur suhu dan kelembapan udara yang disedut agar sesuai dengan tubuh.
  • Mengelakkan bahan berbahaya daripada memasuki tubuh dengan cara batuk, bersin atau menapis keluar.
  • Menyokong deria bau.

Contoh masalah peparu

  • Pneumonia: Jangkitan peparu akibat bakteria atau virus berbahaya. Selain virus, antara punca utama pneumonia adalah Streptococcus pneumoniae (juga dikenali sebagai pneumokokus).
  • Asma: Apabila salur udara meradang akibat pencetus seperti asap rokok, hama debu, kelemumur haiwan, dll. Antara gejalanya ialah sesak nafas dan berdehit.
  • Penyakit peparu obstruktif kronik (COPD): Sekumpulan penyakit peparu, seperti bronkitis kronik dan emfisema, yang menyebabkan masalah pernafasan dan aliran udara terhalang. COPD biasanya disebabkan merokok, terutamanya di kalangan orang dewasa.
  • Embolisme peparu: Apabila gumpalan darah menghalang arteri di peparu. Antara gejalanya ialah sesak nafas yang mendadak.
  • Barah peparu: Barah yang mengakibatkan kematian tertinggi di seluruh dunia. Kebanyakan kes berpunca daripada merokok.
  • COVID-19: Akibat jangkitan SARS-CoV-2 yang menyerang sistem pernafasan. COVID-19 boleh mengakibatkan kerosakan peparu jangka panjang, serta masalah pernafasan lain.

Cara menjaga peparu kita

  • Berhenti atau jangan merokok: Asap rokok mengandungi pelbagai bahan memudaratkan, seperti nikotin, tar dan karbon monoksida, yang boleh merengsa peparu dan merosakkan tisu peparu dalam jangka panjang. Malah, merokok ialah punca utama barah peparu dan COPD. Jika anda merokok, masih belum terlambat untuk berhenti. Beri amaran kepada anak anda tentang bahaya merokok dan vape.

  • Elakkan terdedah kepada pencemar: Terdedah kepada bahan pencemar dalam dan luar rumah seperti asap rokok sekunder, asap kenderaan atau bahan kimia di rumah atau tempat kerja boleh menjejaskan peparu. Jadikan rumah dan kereta anda zon bebas asap dan pastikan pengaliran udara yang baik dalam rumah. Elakkan bersenam atau meluangkan masa di luar apabila trafik sesak atau pencemaran udara teruk.

  • Kekal aktif: Senaman yang kerap boleh mengekalkan kesihatan tubuh dan mengoptimumkan fungsi peparu. Sasarkan 30 minit kegiatan fizikal sederhana lima kali seminggu. Lakukan senaman aerobik seperti berjoging atau lompat tali, serta senaman menguatkan otot seperti angkat berat atau tekan tubi. Jangan lupa senaman pernafasan untuk menambah baik fungsi peparu.
  • Pemeriksaan berkala: Sesetengah masalah peparu tidak mempunyai gejala ketara. Pemeriksaan kesihatan berkala penting untuk pengesanan dan rawatan awal jika terdapat sebarang masalah pernafasan, serta boleh mencegah ia daripada melarat. Semasa pemeriksaan, doktor akan mendengar pernafasan anda, menjawab sebarang kerisauan dan menjalankan ujian tambahan jika perlu.

  • Dapatkan vaksin: Jangkitan peparu boleh jadi berbahaya, terutamanya bagi populasi berisiko tinggi, seperti kanak-kanak bawah 5 tahun, warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik. Cara terbaik untuk mencegah jangkitan peparu adalah vaksinasi. Rujuk pengamal perubatan bagi mendapatkan vaksin pneumokokus, influenza dan COVID-19 untuk anda dan keluarga.

  • Langkah pencegahan lain: Amalan kebersihan yang baik, kerap mencuci tangan, etika batuk/bersin yang sesuai, memakai pelitup muka, mengelak tempat sesak – ini semua langkah yang terbukti berkesan mencegah penyebaran penyakit pernafasan, terutamanya ketika wabak.

Kadangkala, kita lupa kepentingan peparu. Hanya setelah masalah muncul barulah kita menyesal tidak menjaganya. Hakikatnya, peparu adalah organ penting yang memastikan kita terus hidup, maka kita perlulah mengutamakan kesihatan peparu dan sistem pernafasan. Jagalah peparu kita mulai hari ini!

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen