Pengasuhan Positif

Fakta Tentang Pertumbuhan Gigi yang Perlu Ibu Bapa Ketahui

Sesetengah ibu bapa mungkin menganggap bahawa mereka tidak perlu mengutamakan kesihatan gigi anak kecil kerana gigi susu tidak kekal. Ini merupakan satu salah faham yang sering terjadi.

Pertumbuhan gigi susu dan kekal merupakan sebahagian penting daripada proses perkembangan kanak-kanak. Selain daripada jadual perkembangan yang lain, ibu bapa juga perlu mengetahui dan memantau perkembangan gigi anak sejak dari awal.

Kenali gigi

Pertama sekali, anda perlu pelajari jenis-jenis gigi, sama ada gigi susu atau kekal.

  • Gigi kacip: Gigi hadapan dengan hujung yang nipis, terdiri daripada gigi kacip tengah dan gigi kacip tepi yang berfungsi untuk menggigit dan memotong makanan. Terdapat 8 gigi kacip sama ada dalam gigi susu atau kekal.
  • Gigi taring: Gigi yang runcing ini terletak bersebelahan gigi kacip dan digunakan untuk mengoyak makanan. Terdapat 4 gigi taring sama ada dalam gigi susu atau kekal.
  • Gigi geraham kecil dan besar: Gigi dengan permukaan lebar dan rata di sisi dan belakang mulut yang menghancur dan melumatkan makanan. Terdapat 8 gigi geraham besar dalam gigi susu dan 12 gigi geraham besar dalam gigi kekal. 8 gigi geraham kecil pula cuma didapati dalam gigi kekal.

Perkembangan gigi

Pertumbuhan gigi ialah satu proses di mana gigi susu mula muncul dan keluar daripada gusi. Amnya, gigi pertama yang akan tumbuh ialah 2 gigi kacip tengah di rahang bawah pada umur 6 bulan. Ini diikuti oleh 2 gigi kacip tengah di rahang atas, gigi kacip tepi atas dan bawah, 4 gigi geraham pertama, 4 gigi taring dan akhirnya, 4 gigi geraham kedua. Biasanya, 1 gigi akan tumbuh setiap 1-2 bulan setelah gigi mula tumbuh.

Masa pertumbuhan gigi mungkin berbeza antara kanak-kanak, manakala turutannya pula lebih seragam. Selalunya, kanak-kanak akan memiliki satu set lengkap 20 gigi susu pada umur 2-3 tahun. Jika ada ruang antara gigi di bahagian atas depan, ia adalah normal dan tiada rawatan diperlukan. Ini proses pertumbuhan semulajadi untuk menyediakan ruang yang diperlukan oleh gigi kekal yang lebih besar nanti.

Menangani pertumbuhan gigi

Pertumbuhan gigi mungkin rasa tidak selesa bagi kanak-kanak. Berikut beberapa cara untuk melegakannya:

  • Urut gusi dengan kain bersih, lembut dan basah
  • Gegelang gigit yang disejukkan
  • Biskut gigit tanpa gula
  • Ubat tahan sakit

Gigi kekal kanak-kanak akan mula tumbuh antara umur 6-7 tahun. Biasanya, gigi kekal pertama yang akan tumbuh ialah gigi geraham besar pertama, yang mungkin muncul di belakang gigi geraham susu. Kemudian, gigi kacip bawah juga mungkin tumbuh di belakang gigi kacip susu, lalu membuatkannya kelihatan seperti ada dua lapis gigi. Ini tidak perlu dirisaukan kerana gigi susu akan bergoyang dan gugur sendiri apabila gigi kekal muncul dan masuk ke tempatnya. Ibu bapa perlu memastikan gigi yang sedang tumbuh juga dibersihkan.

Baki gigi kekal yang lain akan tumbuh mengisi ruang-ruang yang ditinggalkan oleh gigi susu. Antara umur 6-12 tahun, kanak-kanak akan mempunyai campuran gigi susu dan gigi kekal dalam mulut. Pada umur 21 tahun, seseorang akan mempunyai satu set lengkap 32 gigi kekal, termasuk gigi bongsu (atau gigi geraham ketiga).

Kepentingan menjaga gigi susu

Gigi susu tidak kekal, tapi ia merupakan sebahagian daripada proses perkembangan gigi anak anda. Gigi susu membuat dan membuka ruang bagi gigi kekal untuk tumbuh. Gigi susu juga berperanan dalam perkembangan pertuturan dan struktur wajah yang normal. Selain itu, gigi susu yang sihat membantu pengambilan nutrien dan memberi permulaan yang baik untuk gigi kekal, kerana gigi susu yang rosak atau dijangkiti boleh menjejaskan pengambilan makanan dan perkembangan gigi.

Oleh itu, penjagaan kesihatan gigi patut bermula seawal mungkin. Ibu bapa patut mengajar anak-anak menggosok gigi dengan ubat gigi berfluorida sebaik saja gigi susu pertama tumbuh. Anda boleh membawa anak anda berjumpa doktor gigi buat kali pertama apabila gigi pertamanya muncul atau selewatnya pada umur 12 bulan. Bermula dengan awal ialah cara terbaik memupuk tabiat penjagaan gigi yang sihat untuk anak anda.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen