Pengasuhan Positif

Vaksin mRNA: Apa Seterusnya di Masa Hadapan?

Apabila COVID-19 menyebabkan seluruh dunia terhenti, kita semua menantikan rawatan atau vaksin yang boleh membantu kita melawan koronavirus secepat mungkin.

Akhirnya, hari ini vaksin mRNA adalah antara faktor utama yang membolehkan kita kembali kepada normal seperti sebelum pandemik. Melihatkan betapa pantasnya proses penciptaan vaksin mRNA serta kesannya dalam membantu kita membasmi COVID-19, apakah masa depan bagi teknologi ini?

Apakah itu vaksin mRNA?

Bagi menjawab soalan ini, mari kita ulangkaji kelas biologi di sekolah menengah dahulu untuk memahami apa itu mRNA. Asid Ribonukleik Asid (Messenger Ribonucleic Acid, mRNA) berada dalam tubuh kita secara semula jadi. Ia molekul yang membantu sel dalam tubuh menukar bahan genetik menjadi protein. Ringkasnya, mRNA adalah molekul yang membawa ‘salinan’ arahan khas daripada DNA kepada sel untuk membolehkan protein dibina.

Seperti yang dijelaskan oleh Dr Husna Musa, “Bayangkan jika perpustakaan mempunyai buku resepi yang mengandungi resepi untuk semua juadah Malaysia. Buku resepi tersebut ialah DNA kita. Katakanlah anda berminat untuk memasak satu resepi khusus daripada buku ini. Resepi ini merujuk kepada bahan genetik tertentu. Dalam kes ini, mRNA sama seperti membuat salinan fotokopi resepi tersebut yang anda boleh bawa pulang ke rumah untuk menghasilkan juadah atau protein itu.”

Dengan mengetahui bagaimana mRNA berfungsi, kita boleh memahami bagaimana ia boleh digunakan dalam vaksin. “Vaksin mRNA mengandungi molekul mRNA dengan arahan untuk membina satu komponen patogen (antigen) yang akan merangsang penghasilan antibodi. Apabila disuntik ke dalam badan, sel badan akan membaca arahan ini dan membina antigen (bagi SARS-CoV-2, ia protein pepaku). Antigen ini akan merangsang sistem imun untuk menghasilkan antibodi tanpa perlu dijangkiti oleh patogen. Oleh itu, vaksin mRNA sama seperti menghantar salinan resepi (mRNA) kepada seseorang agar mereka boleh menghasilkan juadah atau protein itu sendiri,” terang pakar pediatrik itu lagi.

Vaksin mRNA COVID-19: Keberkesanan, kerisauan dan kesan sampingan

Terdapat selautan maklumat yang boleh didapati dalam talian dan ini menyukarkan ibu bapa untuk mendapatkan jawapan ringkas tentang vaksin mRNA COVID-19. Biasanya, mereka pasti pening membaca data ujian klinikal serta kertas kajian yang penuh dengan istilah saintifik. Oleh itu, amatlah penting bagi ibu bapa untuk menerima maklumat yang tepat, sahih dan ringkas supaya boleh membuat keputusan kesihatan berdasarkan fakta bagi diri sendiri dan keluarga.

Seperti yang dikatakan oleh Dato’ Dr Musa Mohd Nordin, “Apabila kita bercakap tentang keberkesanan vaksin COVID-19, ia bukannya semudah memberikan jawapan ‘Ya’ atau ‘Tidak’. Terdapat banyak faktor yang perlu dipertimbangkan apabila kita membincangkan sejauh mana vaksin berkesan. Contohnya, bagaimana ia ditentukan? Kumpulan umur mana yang kita gunakan? Dan dengan strain COVID-19 yang mana?”

Pakar perunding pediatrik ini menjelaskan, “Secara amnya, vaksin mRNA COVID-19 yang terdapat di Malaysia amat berkesan dalam mencegah COVID-19 yang teruk, kemasukan ke hospital dan kematian. Satu kajian tempatan baru-baru ini mendapati bahawa vaksinasi lengkap terhadap COVID-19 dengan vaksin mRNA adalah 92.5% berkesan dalam mencegah kemasukan ke ICU dan 96.5% berkesan untuk mencegah kematian akibat COVID-19. Risiko kematian akibat COVID-19 bagi individu yang tidak divaksin adalah 14.3 kali ganda lebih tinggi berbanding seseorang yang telah menerima 4 dos vaksin.”

Keberkesanan vaksin adalah antara aspek yang sering dipertimbangkan sebelum menerima suntikan. Namun, keselamatan vaksin juga antara faktor penting. “Ramai yang risau tentang kesan sampingan vaksin mRNA COVID-19. Namun, kajian menunjukkan bahawa vaksin mRNA COVID-19 mempunyai profil keselamatan yang boleh diterima, yang mana pesakit selalunya cuma mengalami kesan sampingan biasa yang ringan dan sementara, seperti sakit di tempat suntikan, kelesuan, demam, pening, loya dan cirit-birit,” tambahnya lagi.

 Bagi kesan sampingan serius pula, Dato’ Dr Musa menerangkan, “Kesan sampingan yang serius jarang berlaku. Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) melaporkan 26 kes serius per 1,000,000 dos. Malah, majoriti kes serius ini hanya memerlukan pemerhatian teliti atau beberapa hari kemasukan ke hospital. Selain itu, tiada komplikasi jangka panjang atau kematian dilaporkan yang berkait langsung dengan vaksinasi.”

“Salah satu kesan sampingan serius ialah tindak balas alahan, yang menyebabkan pening, sesak nafas, bengkak muka atau tekak, ruam atau kegatalan. NPRA melaporkan tindak balas alahan serius berlaku dalam 1.5 kes per 1,000,000 dos. Antara kesan sampingan serius yang lain ialah myokarditis dan perikarditis. Ini merujuk kepada keradangan otot jantung apabila pesakit melaporkan sakit dada, sukar bernafas atau berdebar-debar. NPRA melaporkan 1.4 kes myokarditis atau perikarditis per 1,000,000 dos. Namun, kebanyakan kes adalah ringan dan penerima vaksin menerima rawatan dan pulih dengan baik,” katanya lagi.

“Walaupun masih ada risiko, masyarakat perlu memahami bahawa manfaat menerima vaksin jauh lebih besar berbanding risiko dan bahaya penyakit ini. Tambahan lagi, pelbagai langkah pencegahan diambil ketika proses vaksinasi untuk memantau dan mengehadkan kesan sampingan serius daripada terjadi,” tambahnya.

Teladan daripada program vaksinasi COVID-19 besar-besaran

Selepas pelbagai ujian klinikal dan kajian keselamatan yang ketat, beberapa vaksin COVID-19 telah diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), diikuti oleh kelulusan daripada kerajaan setiap negara.

Ini menandakan permulaan program vaksinasi COVID-19 sedunia, yang bermula dengan pengedaran vaksin ini ke seluruh dunia. Di Malaysia, pusat vaksinasi COVID-19 dibuka di serata daerah sebagai usaha untuk memvaksin populasi dan mencapai imuniti kelompok.

Apabila dilihat semula, usaha vaksinasi COVID-19 sedunia ini merupakan satu peluang pembelajaran yang berguna untuk semua. Daripada kerajaan dan institusi kesihatan, sehinggalah kepada para ibu bapa, banyak perkara yang boleh kita pelajari.

Kata Datuk Dr Zulkifli Ismail, “Berkenaan vaksinasi mRNA secara amnya, kita dapati bahawa vaksin mRNA mempunyai banyak kelebihan berbanding vaksin tradisional. Pertamanya, kita kini tahu bahawa vaksin mRNA mungkin lebih selamat berbanding sesetengah vaksin tradisional. Seperti vaksin flu dan HPV, vaksin mRNA tidak berisiko menjangkiti individu yang divaksin, kerana tiada virus yang terlibat, tidak sebagaimana vaksin oral polio yang menggunakan poliovirus yang dilemahkan. Tambahan pula, mRNA cuma berada dalam tubuh kita buat sementara kerana ia akan musnah dalam beberapa hari.”

“Namun, kelebihan utama vaksin mRNA berbanding vaksin tradisional ialah kebolehan untuk meningkatkan penghasilannya. Vaksin tradisional menggunakan banyak sumber untuk menghasilkan antigen yang sesuai untuk digunakan dalam vaksin. Namun, teknologi mRNA mengarahkan tubuh manusia untuk membina antigen yang kemudiannya digunakan untuk merangsang sistem imun untuk menghasilkan antibodi. Maka, penghasilan vaksin mRNA boleh ditambah baik dengan mudah dan ini menjadikan proses pembuatan vaksin lebih lancar,” jelasnya lagi.

Dari sudut pandang tempatan pula, program vaksinasi COVID-19 juga mengajar beberapa perkara tentang sikap rakyat Malaysia terhadap vaksinasi. Kata pengerusi Pengasuhan Positif ini, “Kita juga kini mengetahui bagaimana pendapat rakyat Malaysia terhadap vaksin mRNA. Kajian menunjukkan bahawa penerimaan terhadap vaksin COVID-19 di kalangan rakyat Malaysia banyak dipengaruhi oleh kesan sampingan yang dilaporkan, keberkesanan dan statusnya dalam konteks agama, iaitu status halal vaksin tersebut.”

“Selain itu, kajian juga mendapati bahawa faktor utama di sebalik keraguan terhadap vaksin ialah ketidakpercayaan terhadap vaksin tersebut. Ini menunjukkan betapa pentingnya untuk menerangkan  fakta sahih berkenaan vaksinasi COVID-19 kepada masyarakat, khususnya melalui kempen pendidikan dan kesedaran,” ulasnya lagi.

Masa depan vaksin mRNA: Cerah atau gelap?

Pengenalan vaksin mRNA COVID-19 secara komersial menandakan pencapaian bersejarah dalam bidang perubatan moden. Malah, vaksin mRNA COVID-19 tidak akan dapat dihasilkan jika bukan kerana adanya kajian berdekad-dekad sebelum ini.

Seperti yang dijelaskan oleh Datuk Dr Zulkifli, “Ramai yang tidak tahu, tapi teknologi vaksin mRNA bukanlah baru. Ia telah digunakan dalam kajian klinikal sejak bertahun-tahun bagi mengkaji vaksin yang berpotensi terhadap HIV (human immunodeficiency virus), HPV (herpes simplex virus), RSV (respiratory syncytial virus), virus ebola dan virus zika. Namun, belum ada vaksin mRNA untuk penyakit-penyakit ini yang berjaya dihasilkan, biasanya kerana kekurangan dana.”

Dato’ Dr Musa juga menambah, “Walaupun mRNA ditemui pada 1960, vaksin mRNA pertama hanya berjaya dihasilkan pada tahun 2020 ketika pandemik COVID-19. Ini berjaya dicapai hasil dana dan pelaburan daripada agensi kesihatan sedunia dan kerajaan. Ia juga telah menggalakkan penciptaan vaksin mRNA lain. Terdapat sekurangnya 9 vaksin mRNA lain yang sedang diusahakan. Vaksin mRNA-HIV kini di Fasa 1 ujian klinikal. Keputusan awal daripada ujian vaksin mRNA-RSV juga menunjukkan vaksin tersebut 83.7% berkesan mengurangkan penyakit RSV sederhana. Terdapat juga kajian ke atas rawatan mRNA untuk masalah autoimun, barah dan masalah metabolisme bawaan, seperti fenilketonuria dan penyakit simpanan glikogen.”

Dr Husna pula memberikan pesanan terakhir, “Walaupun masa depan vaksin mRNA kelihatan cerah, usaha untuk menjadikan masa depan tersebut satu kenyataan harus bermula dengan apa yang kita lakukan hari ini. Bagi menjamin masa depan vaksin mRNA, kita semua perlu mempelajari, memahami dan menerima teknologi mRNA. Ini boleh dimulakan dengan melawan salah faham terhadap vaksin. Sama ada melalui sumber sahih dalam talian, kertas kajian atau perbincangan dengan pakar kesihatan, kita semua perlu berusaha mencari maklumat yang tepat, sahih dan berdasarkan sains sebelum membuat keputusan melibatkan kesihatan kita.”

Walaupun ramai yang menganggap sebaliknya, vaksin mRNA bukanlah teknologi yang baru. Laluan sepunya (common pathway) terakhir vaksin mRNA bukannya baru. mRNA mengarahkan tubuh untuk membina protein subunit (protein pepaku) yang akan mencetuskan penghasilan antibodi. Ini tidak banyak berbeza dengan penggunaan protein subunit dalam vaksin hepatitis B, HPV dan flu dinyahaktif. Apa yang baru adalah penggunaan mRNA untuk memasuki sitoplasma (bukan nukleus), yang kemudiannya bercantum dengan ribosom dan membina protein pepaku yang akan meninggalkan sel dan mencetuskan tindak balas imun. Bak kata pepatah, “Sains hari ini adalah teknologi hari esok,” dan masa depan kelihatan cerah bagi vaksin mRNA.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen