Pengasuhan Positif

Menyediakan Persekitaran Yang Selamat Untuk Bayi Anda

Bayi yang baru lahir adalah lemah dan terdedah kepada bahaya. Oleh itu, anda perlu melakukan yang terbaik untuk melindungi daripada sebarang kecederaan, walau sekecil mana sekalipun. Tempat terbaik untuk memulakannya ialah di rumah. Berikut adalah langkahlangkah yang boleh diambil untuk menjadikan persekitaran si manja lebih selamat pada bulan-bulan terawal.

Keselamatan Katil Bayi

  • Katil bayi adalah tempat paling selamat untuk si manja tidur. Walaupun kebanyakan ibu bapa Asia menggunakan buai, kami tidak menggalakkanya berdasarkan sebab-sebab yang diberikan kemudian.
  • Skru, selak dan kancing mesti dipasang dengan kemas dan betul supaya katil bayi tidak roboh.
  • Pastikan katil bayi mempunyai kemasan yang tahan lasak dan dicat mengguna cat tanpa plumbum supaya tidak membahayakan bayi.
  • Pastikan tiada bucu yang tajam atau skru, selak dan kancing yang terdedah yang boleh melukakan bayi atau menyentap pakaian (yang boleh menyebabkan bayi tercekik atau mengalami kecederaan yang serius).
  • Tilam mestilah muat dengan katil. Pastikan ruang kosong di antara tilam dan bahagian tepi katil bayi tidak melebihi dua jari.
  • Ruang antara palang katil bayi seharusnya tidak melebihi dari 6 sentimeter. Jika lubang terlalu besar, bayi boleh terbolos dan tersangkut di antara palang.
  • Jangan gunakan bantal sebagai penghadang di sekeliling katil bayi kerana ia boleh menutup muka bayi. Pasang penghadang alas lembut di keliling katil bayi yang mempunyai pengikat keselamatan yang selamat. Periksa pengikat keselamatan dengan kerap supaya ia ketat dan tidak mudah tertanggal.
  • Jangan guna alas tilam plastik. Ia boleh melekat ke muka bayi dan menyebabkan bayi lemas.
  • Palang atas katil bayi mestilah berukuran 65 sentimeter dari bahagian bawah tilam (apabila dinaikkan) dan sekurang-kurangnya 23 sentimeter (apabila diturunkan).
  • Tidurkan bayi dengan berbaring terlentang melainkan dinasihatkan oleh doktor untuk berbuat sebaliknya. Posisi ini dapat mengelakkan Sindrom Kematian Bayi Terkejut (Sudden Infant Death Syndrome atau SIDS).
  • Jangan penuhkan katil bayi dengan bantal, alat permainan atau selimut tebal. Simpan semua alat permainan sebelum bayi tidur.
  • Jangan sesekali menutup muka bayi dengan selimut kerana ia boleh mengakibatkan kesesakan nafas. Sekiranya ingin menggunakan selimut, gunakan selimut yang mempunyai lubang-lubang kecil bagi membolehkan aliran udara, seterusnya mengurangkan risiko bayi lemas. Letakkan bayi pada posisi di mana kakinya dapat mencapai katil bayi bagi mengelakkan bayi bergerak-gerak sehingga masuk di bawah selimut.
  • Jangan sekali-kali mengikat bayi anda di dalam katil bayi.

Tip-tip Keselamatan Katil Bayi Untuk Si Manja Yang Sedang Membesar

  • Semua katil bayi mempunyai 2 atau 3 ketinggian tilam yang boleh diubahsuai. Mulakan dengan tilam di kedudukan paling tinggi (jarak dari permukaan atas tilam ke bahagian atas palang harus tidak kurang daripada 30 sm). Apabila bayi mula membesar dan mula duduk dan berdiri, anda perlu merendahkan kedudukan tilamnya mengikut aras seterusnya.
  • Cot bumpers seharusnya dikeluarkan apabila bayi boleh duduk tanpa bantuan.
  • Jangan letakkan katil bayi berdekatan dengan tingkap, langsir, lampu, wayar dan peralatan elektrik (seperti kipas) atau perabot-perabot lain yang boleh digunakan oleh kanak-kanak untuk memanjat keluar.

Bahaya Buai dan Katil

Buai dan katil orang dewasa tidak selamat untuk bayi. Ramai bayi yang diletakkan dalam buai terpaksa dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan kepala yang serius akibat terhantuk perabot atau terjatuh dari buai. Pergerakan ke atas dan ke bawah apabila menghayun buai dikatakan boleh menyebabkan pendarahan selaput otak. Jangan sekali-kali meninggalkan bayi berseorangan di atas katil kerana dikhuatiri jatuh.

Tip-tip Keselamatan Bayi Yang Lain

  • Menukar Lampin. Jangan sekali-kali meninggalkan bayi tanpa pengawasan anda di atas meja menukar lampin atau katil. Letak sebelah tangan pada bayi sepanjang masa apabila menukar lampin di atas tempat menukar lampin atau katil. Anda juga boleh menukar lampin bayi dengan meletakkan tilam atau selimut di atas lantai yang bersih.
  • Barangan Bayi. Jangan menggoncangkan bedak bayi berhampiran muka bayi bagi mengelakkan bayi menyedut masuk. Pastikan minyak dan losyen bayi jauh dari tangan bayi kerana boleh menyebabkan penyakit jika ditelan.
  • Alat Pemantau Bayi. Anda boleh gunakan alat permantauan bayi untuk memberitahu anda sekiranya bayi resah atau terjaga dari tidur. Gunakan alat yang sudah diuji keselamatannya, patuhi panduan dari pengeluar alat tersebut, uji bateri dengan kerap dan pastikan alat tidak boleh dicapai oleh bayi.
  • Bahan-bahan alahan. Pastikan kebersihan rumah dan haiwan peliharaan. Debu, kulat, sesetengah jenis serangga dan bulu haiwan boleh menyebabkan serangan lelah atau alahan.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen