Pengasuhan Positif

5 Sebab untuk Bermain di Luar

Statistik daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) Malaysia 2019 menunjukkan 1 daripada 2 orang dewasa dan 1 daripada 3 kanak-kanak mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti. Selain daripada pemakanan, kekurangan aktiviti fizikal juga merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada statistik ini, di mana 1 daripada 4 orang dewasa dan 2 daripada 5 kanak-kanak sekolah menjalani gaya hidup sedentari.

Semua orang tahu bahawa aktiviti fizikal yang kerap adalah bagus untuk keluarga. Selain itu, meluangkan masa di luar rumah juga bermanfaat. Pelbagai kajian telah membuktikan bahawa bermain di luar juga boleh membawa kebaikan untuk kesihatan mental selain daripada kesihatan fizikal!

Berikut ialah lima sebab ibu bapa digalakkan untuk bermain di luar bersama-sama sebagai keluarga dan bukan sekadar memerhati anak-anak bermain…

1. Meningkatkan aktiviti fizikal. Berlari-lari di taman mungkin lebih menyeronokkan untuk kanak-kanak, dan anda pasti akan lebih menikmati masa berjalan atau berbasikal bersama mereka berbanding bersenam di gim. Ia mungkin tidak cukup intensif berbanding senaman gim, tapi ia masih dikira sebahagian daripada aktiviti fizikal harian anda.

2. Sumber vitamin D. Tubuh kita boleh menghasilkan vitamin D apabila terdedah kepada cahaya matahari. Vitamin ini penting kerana ia membantu tubuh menyerap kalsium bagi kesihatan tulang. Satu kajian pada tahun 2012 menunjukkan bahawa hampir setengah kanak-kanak di Malaysia kekurangan vitamin D. Kajian lain juga menunjukkan bahawa orang dewasa yang kekurangan vitamin D mungkin lebih berisiko menghidap penyakit tidak berjangkit seperti penyakit kardiovaskular dan obesiti. Oleh itu, bermainlah di luar dengan lebih kerap untuk membantu mendapatkan vitamin D, terutamanya bagi kanak-kanak yang sedang membesar.

3. Bermanfaat untuk imuniti. Pendedahan kepada persekitaran luar rumah yang semulajadi adalah baik untuk kesihatan mental dan kesejahteraan anak anda, dan ini boleh memberi kesan positif kepada sistem imunnya. Anda juga boleh meningkatkan imunitinya dengan memasukkan makanan kaya dengan probiotik dalam diet anak anda. Bakteria ‘baik’ ini boleh mengekalkan kesihatan sistem penghadamannya (yang juga merupakan barisan pertahanan pertama daripada jangkitan). Bagi orang dewasa juga, meluangkan masa di luar boleh meningkatkan fungsi imun untuk kesihatan menyeluruh dan mencegah penyakit kronik.

4. Meningkatkan ketajaman mental. Berada di luar rumah dikelilingi alam semulajadi boleh merangsang rasa ingin tahu anak anda apabila dia terdedah kepada pelbagai hidupan di persekitaran, seperti tumbuhan, bunga, serangga dan haiwan. Bermain di luar dengan kanak-kanak lain juga boleh meningkatkan kreativiti dan kemahiran menyelesaikan masalah. Ia juga memberikan pengalaman deria unik kepada anak kecil.

5. Mengukuhkan ikatan keluarga. Meluangkan masa bersama keluarga di luar memberi semua orang peluang untuk rehat daripada rutin harian yang sibuk, dan membolehkan anda bergembira dan berhubung dengan satu sama lain. Ingat, peranti digital anda harus disimpan!

Aktiviti luar rumah memberi lebih banyak peluang untuk keluarga bermain secara aktif dan mencuba benda baru. Memilih sesuatu yang digemari semua orang mungkin sukar, tetapi jika berjaya, ia pasti menyeronokkan.

Mari mulakan!

Mulakan dengan aktiviti mudah, seperti pergi ke taman permainan. Bawa bersama bola, gelung hula atau tali skip untuk mempelbagaikan aktiviti dan menjadikannya lebih seronok. Beranikan diri untuk meneroka tempat baru dan mencuba aktiviti baru!

Penduduk di bandar boleh pergi meneroka denai rimba, taman hutan, air terjun, atau hutan simpan dan meluangkan masa bersama keluarga di situ. Anda boleh juga berbasikal di sekitar kawasan perumahan, atau jika mahu lebih mencabar, cuba laluan basikal off-road. Anda juga boleh mencuba sukan seperti bola sepak, badminton dan bola keranjang bersama keluarga.

Seperti aktiviti keluarga yang lain, persediaan ringkas diperlukan – sediakan snek sihat dan banyak air minuman, serta pastikan ada peti pertolongan cemas dan penyembur serangga. Anda juga boleh memeriksa ramalan cuaca; jika kualiti udara adalah teruk, tunda aktiviti anda. Berusahalah untuk melakukan aktiviti luar secara kerap dan berterusan. Lama-kelamaan, ia akan menjadi tradisi keluarga anda!

Berwaspadalah!

Pandemik COVID-19 masih belum berakhir dan anda perlu lebih berhati-hati apabila keluar rumah:

  • Pakai pelitup muka apabila berada dengan orang lain.
  • Elakkan kawasan orang ramai dan jaga penjarakan fizikal.
  • Guna pembersih tangan jika perlu.
  • Bawa tisu pembasmi kuman untuk diguna apabila perlu.

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen